Wednesday, August 31, 2011

Gara-Gara Mercun Atau Budaya Pemikiran?

Gara-Gara Mercun Atau Budaya Pemikiran?

Suasana Hariraya 2011 Diselubungi Kekesalan

Kelmarin Tun Sheikh menziarahi dan berhariraya ke rumah saudara terdekat Bugis di Benut Pontian. Sedang berbual-bual menikmati juadah kuih serta burasak Bugis, suasana rumah menjadi kecoh seketika. Sebagai tetamu dan saudara yang agak dekat, Tun Sheikh buat tak tahu saja tetapi tidak dapat mengelak dari mendengar. Bukan itu sahaja, Pak Bacok pula berterus terang menjadikannya topik perbualan pula. Tun Sheikh terasa seperti dapat ilham untuk dikongsi bersama di sini. Ia berkisar dengan sebuah keluarga Bugis di Benut berasal dari keturunan kaya atau banyak harta iaitu keluarga Pak Bacok yang miskin tetapi sedang membangun semula.

Pada hari minggu lepas, Pak Bacok ditimpa kemalangan ketika gairah mencari barang-barang keperluan dapur untuk hari raya. Beliau begitu bersemangat kerana semua anak-anaknya akan balik awal. Pak Bacok berusia 71 tahun tetapi masih sihat dan rajin ke kebun dan ke Pontian dengan kereta kancil yang dihadiahkan oleh anak sulungnya, Rus. Rus bekerja sebagai kerani di Johor Bahru. Boleh dikatakan mereka bergantung kepadanya kerana setelah Rus tamat SPM dan bekerja, nasib keluarga ini berubah. Dulu Pak Bacok hanya bergantung kepada hasil kebun yang tidak seberapa dan hasil menjual daun pisang yang dicari di sepanjang sungai di kampungnya. Kerana terlalu bergantung kepada anak sulungnya, Pak Bacok pernah memutuskan pertunangan Rus sebanyak 3 kali kerana kuatir bantuan wang yang diterima terputus.

Rus hanya bertemu jodoh ketika berusia 30 tahun setelah bernikah tanpa pengetahuan bapanya. Kini telah berusia 41 tahun dan beranak 3, yang sulung baru berusia 7 tahun dan bongsu berusia tahun. Tetapi suaminya diakui oleh Pak Bacok sebagai seorang yang gentlemen kerana sedikit pun tidak mengganggu duit isteri yang memberi Pak Bacok sebanyak RM650 sebulan. Malah menantunya tidak pernah tidak mengulur wang RM100 atau RM200 ketika pulang ke kampong 2 kali sebulan.

Pada hari raya tahun ini seperti pada tahun-tahun lepas Pak Bacok suka membawa anak-cucunya berhari-raya ke rumah sanak saudaranya di seluruh Pontian. Dia suka cerita mengenai kemajuan anak-anaknya walau pun tidaklah terlalu cemerlang. Pak Bacok seolah-olah sungguh bangga kerana keluarganya telah senang dan tidak lagi dibelenggu kemiskinan. Anaknya yang kedua, Azman seorang teknisyen kilang di Pekan Nenas, sudah berkhwin dan mempunyai 2 orang anak. Beliau jarang menghulur wang kerana berdendam kepada bapanya yang tidak benarkannya melanjutkan pelajaran. Anak ketiga, Ita seorang kerani di sebuah syarikat pembinaan, mempunyai 2 orang anak juga masih kecil sering terikut-ikut gaya kakaknya Rus sehingga suaminya terpaksa menanggong hutang. Anak keempat Amit, teknisyen computer di UTM, beranak 1, seorang yang sungguh kuat berjimat hingga dianggap kedekut. Dan lelaki bongsu Fin, sedang belajar di tahun akhir pengajian diploma computer di KUIM Melaka. Abang-abang dan kakak menganggap adiknya Fin telah rosak perangai dan minda kerana biadab akibat terlalu dimanja oleh ibu bapa mereka.

Setiap tetamu yang datang, cerita Pak Bacok adalah sama. Begitu juga bila beliau berhari raya ke rumah saudara mara. Saudara mara faham kerana dulu Pak Bacok sangat susah sampai tidak mampu menghantar anak-anak ke universiti meskipun semua anak-anaknya cerdek dan pandai di sekolah. Saudara mara tidak bersetuju Pak Bacok menghentikan persekolahan anak untuk cepat bekerja dan membantunya. Pak Bacok sungguh bangga terhadap keluarganya meskipun beliau tahu saudara mara beliau lebih berada dan mewah kerana berharta dan anak-anak bekerja setelah berijazah dari dalam dan luar negeri.

Hari raya tahun ini ialah mengenai dirinya yang terlibat dalam kemalangan. Beliau telah berangan-angan hendak menukar kereta besar dan disangkanya itu yang mengakibatkan kereta kancilnya remuk teruk kerana merajuk setelah terlanggar tiang telefon. Keretanya hancur tetapi beliau sedikit pun tidak cedera atau luka. Sebenarnya beliau terlelap ketika memandu pulang setelah berbelanja sakan untuk hari raya. Saudara mara memang tahu keturunan mereka memang ada ilmu atau saka yang pelik-pelik menyebabakan Pak Bacok tidak cedera. Tahun lepas ceritanya mengenai sakit batu karang dan pembedahan pakar beharga RM11,000 diceritakannya berulang-ulang kerana mendapat perkhidmatan pakar yang dibayar oleh anak sulungnya. Saudara mara sampai faham sebenarnya bukan sakit batu karang yang hendak diceritakannya tetapi rasa bangga terhadap Rus dan kerana mampu membayar pakar.

Kadang-kadang cerita Pak Bacok mengenai kemajuan anak-anaknya hingga menimbulkan fitnah dan menjadi bualan orang kampong. Ini adalah kerana anak sulungnya memang cantik dan bergaya tetapi jika hanya sebagai seorang kerani tentu sekali tidak mampu membiayai kemewahan yang ditunjukkan. Orang mula mengesyaki seolah-olah dapat duit daripada sumber tidak baik. Perbelanjaan membesarkan rumah, membeli perabut, memiliki kereta baru dan barang kemas yang agak mahal tidak dapat diterima jika hanya dengan gaji kerani. Pernah orang kampung cerita anaknya ialah seorang pengikis, suka mengoda bos-bosnya yang kaya dan suka minta belanja daripada teman lelaki dan wanita sehingga gajinya sendiri tidak terusik. Tetapi apalah ertinya kepada orang yang miskin dan susah. Orang boleh bercerita sama ada fitnah atau betul-betul berlaku tidak dihiraukan oleh Pak Bacok. Ini adalah kerana semasa dia miskin dan susah menjual daun pisang, tiada siapa pun datang membantu malah beliau pernah dimarahi dan bertengkar kerana mengambil daun pisang yang dianggap tidak bertuan kerana pokok pisang itu terbiar di atas tanah rezab sungai dan taliair tanah kerajaan.

Oleh kerana usia dan seperti pangkat abang, Tun Sheikh menjelaskan, sebenarnya saudara mara berasa bangga dan hormat kepada Pak Bacok. Pada ketika ini, Pak Bacok berhadapan dengan masalah persaingan keluarga sendiri. Pak Bacok tidak perlu lagi memberitahu kesenangan Pak Bacok kepada saudara mara kerana mereka pun prihatin. Malah boleh dianggap riak pula nanti. Lagipun mereka tidak boleh disamakan dengan kesenangan dan kemewahan yang dinikmati Pak Bacok kerana mereka lebih daripada Pak Bacok sendiri dan kesusahan Pak Bacok dulu adalah disebabkan oleh Pak Bacok sendiri yang tidak suka ke sekolah, berlagak kaya dan suka menghabiskan harta orang tua dengan menjual kebun.

Buktinya ialah perangai anak-anak Pak Bacok sendiri seolah-olah mewarisinya. Amit telah mengemas barang dan mengajak isterinya pulang tergesa-gesa kerana menyalahkan abang iparnya yang telah mengakibatkan cermin kereta perdananya retak. Dia kecewa kerana kereta itu baru sahaja dibelinya untuk menunjuk kepada saudara mara sempena hari raya. Dia langsung tidak terfikir bahawa tindakannya sangat menghampakan ibubapanya sendiri. Dia terlalu mementingkan diri sendiri. Suami Rus pula membantah kerana tidak lojik dituduh membakarkan mercun bola untuk anak-anaknya mengakibatkan cermin kereta pecah. Abang iparnya mendakwa itu adalah kesilapan Amit sendiri yang meletak kereta di tengah panas tanpa membuka sedikit lubang tingkap.

Abang iparnya juga mengambil tindakan sama, mengemas beg dan terus pulang tetapi isterinya enggan ikut kerana dia belum puas beraya di kampung dengan kereta baru Exoranya. Isterinya sempat mengungkit kerana suaminya balik hanya di raya pertama berikutan kerja pada hari Isnin dan enggan pulang walau pun di beritahu bapanya kemalangan. Kerana Rus pulang memandu sendiri maka dia tidak menghiraukan ajakan suaminya untuk sama-sama konvoi balik. Suami Rus juga kecewa dan alasan terpaksa kerja pada hari Isnin tidak diterima oleh Rus. Suami Rus tidak mahu pulang di hari kemalangan kerana beranggapan bapa mertuanya selamat dan sihat. Dia juga masak dengan perangai isteri dan ibu mertuanya yang suka berlebih-lebih dalam segala hal. Dia dimaklumkan kereta kancil mertuanya hancur tetapi apabila ditanya sama ada mertuanya cedera parah, dan mendapati tidak luka pun, lalu mengetahui isterinya berlebih-lebih mengenai kemalangan itu.

Pak Bacok sungguh sedih dengan sikap anak-anaknya. Beliau mengaku telah tidak memberi didikan sempurna kerana miskin dan sibuk mencari nafkah membesarkan mereka. Pada raya pertama, anaknya Azman juga tergesa-gesa mengekori isterinya balik ke rumah sendiri kerana berselisih faham dengan adiknya Ita dan ibunya yang memarahi kenakalan anak-anaknya. Anak bongsunya Fin pula sejak balik jarang lama di rumah kerana tidak selesa dengan abang-abang dan kakak-kakak yang tidak menyukainya. Apabila kawan perempuan datang ajak beraya bersama, beliau diperli sedang kemaruk cinta dan gila betina.

Tun Sheikh hanya dapat menasihati agar Pak Bacok bersabar dan tidaklah perlu terikut-ikut kehendak hati menunjukkan gembira kerana anak-anaknya telah memiliki kereta dan sebagainya kepada orang lain. Tetapi Pak Bacok mestilah berusaha memberitahu keinginannya melihat anak-anaknya bersefahaman dan jangan menjadikan adik-beradik sendiri sebagai persaingan hingga mudah sensitif, bersangka buruk dan irihati sesama sendiri. Apa yang sedang mereka nikmati adalah kurniaan Tuhan dan juga sebagai dugaan.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere