Tuesday, December 28, 2010

Pesara Pengarah Pendidikan Insaf

Mendidik Orang Bawahan dan Diri Sendiri
Bekas Pengarah Pendidikan Insaf


Cikgu Kassim sudah lama tidak lagi dipanggil Cikgu kecuali di kampungnya. Beliau lebih senang dipanggil Encik Kassim. Ini adalah kerana alam atau dunia sebagai tenaga pengajar di sekolah ketika menjadi guru sudah lama ditinggalkannya. Beliau pernah menjadi guru selama 15 tahun dan kemudian menjadi pegetua selama 3 tahun. Setelah itu beliau dilantik menjadi pegawai pendidikan dan bersara wajib dengan jawatan timbalan pengarah negeri. Ketika ini Cikgu Kassim telah 4 tahun bersara dan berusia 60 tahun. Beliau kelihatan bahagia dengan 5 orang anak yang telah dewasa dan 3 cucunya yang berusia di antara 2 hingga 6 tahun.

Orang kampong agak berasa janggal apabila Cikgu Kassim meminta mereka memanggil beliau dengan panggilan Encik Kassim saja. Cikgu Kassim sebenarnya memandang rendah dan berasa dirinya tidak setaraf dengan gelaran cikgu kerana beliau bersara sebagai timbalan pegarah pendidikan negeri. Bekas murid-muridnya pula didapati kurang memberi penghormatan kepada beliau sebagai bekas guru yang pernah mengajar mereka. Ini adalah kerana sikap Cikgu Kassim tidak disukai ramai muridnya. Orang kampong pula lebih suka memanggil cikgu seperti adat kebiasaan dan tanda penghormatan.

Di kalangan guru-guru yang mengenali dan yang pernah berurusan dengan Cikgu Kassim, menganggap Cikgu Kassim seorang yang sangat mementingkan status social dan seorang pendendam. Mereka tidak suka bercerita tentang diri Cikgu Kassim. Ini adalah kerana cerita murung lebih banyak daripada cerita gembira ketika berurusan dengannya. Beliau dianggap seorang pegawai atasan yang tiada tolerensi dengan para guru ketika memegang jawatan tinggi di Jabatan Pendidikan Negeri. Beliau tidak pernah menunjukkan rasa ihsan dan simpati kepada guru-guru yang berhadapan masalah pribadi atau keluarga. Masalah murid dan hal ehwal sekolah atau pentadbiran sekolah juga dianggapnya remeh-temeh.

Alasan beliau tidak mempedulikan sebarang cadangan atau rayuan guru atau pegawai bawahan ialah pengalaman beliau ketika menjadi guru. Beliau sering memperlekeh guru-guru yang datang memaklumkan masalah. Beliau beranggapan jika beliau dapat mengatasinya ketika menjadi guru, beliau mahu mereka juga menghadapi dan mengatasinya sendiri seperti pernah beliau lalui.

Seorang daripada mangsa Encik Kassim ialah Cikgu Jamaliah. Permohonan beliau untuk bertukar atau berpindah sekolah kerana mengikut suami dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur tidak disokong oleh Encik Kassim. Akibat dari keputusan itu Cikgu Jamaliah terpaksa hidup sendirian mengurus anak-anaknya yang ramai dan masih kecil di Johor Baharu. Suaminya terpaksa berulang-alik seminggu sekali. Encik Kassim juga pernah menyekat atau tidak menyokong kenaikan pangkat Cikgu Jamaliah sebagai pengetua kerana Cikgu Jamaliah enggan berpindah ke sekolah di sebuah kampong terpencil yang jaraknya 100 km dari rumahnya di Johor Bahru meskipun ditawarkan pangkat guru penolong kanan.

Setelah suami Cikgu Jamaliah menyiasat dan meminta bantuan kenalannya, Cikgu Jamaliah dibenarkan terus mengajar di sekolah asal tetapi jawatan pengetua dan tawaran pemangkuan ditarik balik. Dua tahun kemudian Cikgu Jamaliah mendapat kembali skim gaji pengetua kerana kekanan tanpa menyandang jawatan itu. Suami Cikgu Jamaliah juga mendapat maklumat bahawa Cikgu Kassim ialah seorang penyokong UMNO tegar dan tidak suka pembawaan diri Cikgu Jamaliah yang kelihatan Islamik. Kejayaan Cikgu Jamaliah membimbing murid-muridnya hingga tidak ada yang gagal dalam mata pelajaran, malah graf kejayaan terus meningkat dari tahun ke setahun tidak dihiraukannya.

Ironinya, sekolah tempat Cikgu Jamaliah mengajar sering diarah oleh Encik Kassim membuat atau mencoba program baru yang dikelolakannya. Cikgu Jamaliah sering dikerah menjadi urusetia dan beliau melaksanakannya tanpa bantahan. Rupa-rupanya kepatuhan Cikgu Jamaliah dan kawan-kawannya yang lain dipergunakan semaksima mungkin oleh Encik Kassim untuk menjayakan program-program beliau. Setelah Encik Kassim bersara, hal ini terbongkar kerana Encik Kassim dianggap sebagai seorang pegawai tinggi jabatan pendidikan yang tidak berhati perut. Beliau telah mengguna kuasanya kerana tidak ramai guru-guru yang suka dan bersedia mematuhi arahannya.

Baru-baru ini Cikgu Jamaliah dihubungi oleh kawan-kawan guru sekolahnya memaklumkan bahawa Encik Kassim ingin bertemu mereka untuk meminta maaf. Encik Kassim pernah mengaku menyuruh pengganti beliau supaya meniru teknik beliau memperguna guru seperti Cikgu Jamaliah dan kawan-kawan tanpa mempeduli masalah pribadi mereka. Encik Kassim diberitakan telah insaf, menyesal dan mengaku kesilapan dirinya mengguna kuasa. Keinsafan dan kesedaran ini adalah berikutan perceraian anak perempuannya yang juga seorang guru kerana gagal berpindah mengikut suami ke Kuala Lumpur. Anaknya telah diceraikan dan 3 orang cucu terpaksa dipelihara oleh Encik Kassim.

Apabila Cikgu Jamaliah bertanya kepada suaminya apa yang harus dilakukan, suaminya mengesyorkan Cikgu Jamaliah memaafkan Encik Kassim tanpa perlu bertemu dan menghubunginya malah tidak perlu memberitahu sesiapa kecuali Tuhan. Suami Cikgu Jamaliah beranggap derita dan pengajaran kepada Encik Kassim adalah wajar kerana sehingga kini telah 5 tahun Cikgu Jamaliah masih tidak dapat berpindah mengikut suami angkara Encik Kassim yang mementingkan diri sendiri. Didikan Encik Kassim kepada pegawai penggantinya terhadap teknik yang digunakan masih diamalkan oleh pegawai-pegawai pendidikan yang hidung tinggi bukan sahaja di Johor malah terdapat diseluruh negara. Mereka mungkin lupa bahawa balasan dan takdir Tuhan juga sedang menanti mereka sebagaimana yang sedang dihadapi dan dideritai oleh Encik Kassim.

Orang kampong fikir Encik Kassim bahagia dengan keluarganya tetapi sebenarnya sedang sengsara akibat perbuatannya sendiri yang tidak berhati perut ketika berkuasa………

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sunday, October 3, 2010

BEKAS SB DIABAI ISTERI GLAMOR SETELAH BUTA

Pak Long SB Diperlekeh Isteri Setelah Buta

Nama sebenar Pak Long ialah Muhamad Helmi bin Abdullah. Nama ini digunakan ketika pernikahan pertamanya dengan gadis Melayu berasal Perak. Tetapi jodohnya tidak panjang kerana banyak tentangan keluarga isteri kerana Pak Long banyak melanggar atau tidak mengikut adat resam Melayu Perak. Mereka berpisah setelah isterinya selamat melahirkan anak perempuan. Pak Long pula meneruskan cara hidupnya yang glamour sebagai seorang SB dengan budaya bebas keinggerisannya. Kebiasaannya terbawa-bawa walaupun setelah menganut Islam. Masih minum minuman keras dan merayakan Krismas bersama keluarga yang masih beragama Kristian. Nama Kristian atau Mat Sallehnya sebelum mengganut Islam ketika berusia 22 tahun ialah Helm Robinson Junior.(Gelaran Pak Long kerana beliau adalah anak sulung, isteri pertama anak sulung dan isteri kedua juga anak sulung).

Setelah membujang beberapa tahun Pak Long berura-ura untuk kembali ke agama asalnya. Dia mula meminati gadis-gadis Cina yang dikenalinya. Pada suatu hari dalam tahun 1974, dia berkenalan dengan seorang gadis bernama Mary melalui kawan Cinanya dalam majlis tari-menari meraikan kenaikan pangkat seorang doktor di Kuala Lumpur. Pak Long mengakhiri majlis tari-menari dengan mengajak Mary keluar menghirup udara bersih dengan kereta sportnya.

Mary amat seronok ketika bersiar-siar dengan Pak Long yang bertampang Mat Salleh dan berkereta sport setelah penat menari. Akhirnya mereka menjadi begitu intim dan beberapa bulan kemudian Pak Long meluahkan hasratnya untuk melamar Mary. Rupa-rupanya selama berkenalan mereka sama-sama berahsia. Mary menyangka Pak Long adalah lelaki Inggeris beragama Kristian yang masih bujang dan Pak Long menyangka Mary ialah gadis Cina.

Mary sebenarnya ialah gadis kacukan Melayu dan Cina. Bapanya beketurunan Melayu-Bugis dan ibunya Cina. Mary ialah nama pendek dari nama penuhnya Mariam binti Jaafar. Mary sangat suka berkawan dengan gadis Cina kerana beliau sendiri tidak berwajah Melayu. Keluarganya berasal dari Muar Johor. Mary bekerja sebagai jururawat dan merupakan anak sulong daripada 6 beradik, 3 perempuan dan 3 lelaki.

Sejak Mary bekerja setelah tamat persekolahan beliau jarang balik ke kampong kecuali pada hari perayaan. Meskipun begitu beliau tidak lupa membantu keluarganya di kampong dengan mengirim wang dari gaji sebagai jururawat setiap bulan. Hidupnya di Kuala Lumpur penuh dengan glamour dan bebas bersosial. Mary sering menjengok Helmi di hospital ketika dia terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa sedang bertugas.

Hampir 3 tahun mereka mabuk bercinta tetapi Mary masih tidak memberi keputusan kerana berasa Helmi tidak akan diterima keluarga Mary yang kuat mengamalkan agama. Datuknya pula adalah seorang lebai terkenal di kampong. Apabila Helmi mengetahui Mary adalah Melayu beragama Islam, dia juga berterus terang bahawa nama Islamnya ialah Muhamad Helmi dan merubah niatnya untuk kembali ke agama asal bagi memudahkan perkawinannya dengan Mary. Akhirnya mereka berjaya bernikah dan terus mengamalkan cara hidup Barat kerana Mary sangat gembira cara hidup sebegitu yang dianggapnya ada kelas dan standard. Akibatnya, beliau tidak pernah mempelawa ibu bapanya datang ke Kuala Lumpur kerana khuatir diketahui mereka.

Hidup mereka bahagia dan mereka dikurniakan tiga orang anak. Mereka hanya berasa sedikit kelam kabut setiap kali ibu bapa Mary datang menjengok mereka. Ketika itu mereka terpaksa mengemas dan menukar suasana rumah dan terpaksa berlakun seperti hidup dalam adat Melayu. Bagi mengelak keluarga dari kampong sering datang mereka sendiri sering pulang ke kampong tetapi tidak menginap dengan alasan menginap di Melaka di rumah ibu bapa suaminya. Di kampong pula, datuk Mary tidak menunjukkan gembira ketika mereka balik kerana dianggap mencemarkan nama baik keluarganya. Ini adalah kerana kereta sport milik Helmi, mencerminkan amalan budaya hidup mereka.

Rumah tangga Helmi dan Mary yang bahagia dan penuh glamour mula berubah apabila Helmi diberhentikan kerja sebagai SB kerana penyakit matanya. Mereka telah berpindah ke Johor Bahru pada tahun 1990. Di Johor Bahru, Helmi telah menjadi agen penjual kereta dan pada peringkat awalnya perniagaannya berjaya dan menguntungkan. Semua pendapatannya diserahkan kepada isteri yang dicintainya kerana penglihatan matanya semakin hari semakin teruk. Mary bebas menggunakannya mengikut cita rasanya. Helmi pula mula berubah angin dengan membiasakan diri dengan adat Melayu dan ke surau.

Ketika berlaku zaman kemelesetan ekonomi pada tahun 1997 perniagaan Helmi terpaksa ditutup. Helmi mula bergantung kepada isteri dan wang simpanannya yang diuruskan oleh Mary. Tetapi Helmi amat terkejut apabila mengetahui wang simpanannya telah habis dibelanjakan oleh Mary kerana kebiasaan hidup glamour dan berbelanja sakan dengan dua anak gadisnya. Keluarga bahagia yang romantik dan mendapat perhatian jiran-jiran ini mula bergolak dan menjadi buah mulut mereka. Ini adalah kerana perubahan sikap Mary terhadap suaminya Helmi. Mary telah mengabaikan tanggungjawabnya kepada Helmi. Dia tidak menghiraukannya lagi. Mary hanya sibuk dengan dirinya dan diri anak-anaknya sahaja. Suaminya yang semakin hari semakin teruk dan kabur penglihatan dianggap liabiliti. Helmi yang sangat disenangi jiran-jiran kerana ramah dan suka menolong sering ditenangkan mereka agar bersabar dengan karenah Mary. Sebanyak dua kali Mary meluahkan hasrat untuk berpisah tetapi gagal kerana Pejabat Kadi tidak menerima kekurangan Helmi sebagai alasan munasabah. Helmi pula tidak pernah berhajat ingin berpisah.

Pada tahun ini Helmi mengambil keputusan berhari raya dengan anak perempuan dari isteri pertamanya di Perak. Ini adalah kerana isteri dan anak-anaknya tidak mengajaknya ikut serta balik berhari raya di Muar. Saban hari Helmi menelefon Tun Sheikh mengadu cerita yang sama dan becerita keadaannya yang merasa janggal di Perak kerana tidak biasa dengan suasana dan persekitaran rumah anaknya. Penceraian anak perempuannya Ina dengan suaminya Nas yang pernah Tun Sheikh nukilkan juga tidak diketahuinya dengan terperinci kerana dirinya diketepikan. Apa yang menghibakan Tun Sheikh adalah keinsafan dan kesadarannya kerana menganggap ini semua adalah nasibnya yang dihukum Allah sebab memakan dan membesarkan anak dengan sumber yang haram ketika menjadi SB dulu.
Tun Sheikh hanya berupaya mendoakannya semoga Allah mengampuninya dan semoga beliau diberi ketenangan jiwa dan hati meskipun dalam keadaan dipencilkan isteri dan matanya yang buta.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sunday, September 19, 2010

Pentaksub UMNO Mendapat Pentunjuk Pada Syawal 2010

Selamat Hari Raya 2010 dan Maaf Zahir Batin. Pada 1 Syawal rumah kampung Tun Sheikh tidak putus tetamu yang terdiri dari saudara mara terdekat. Kami telah sekian lama ada persefahaman menetapkan hari raya pertama adalah khusus untuk menziarahi saudara tua-tua terdekat seperti datuk, nenek,ibu bapa, emak saudara, bapa saudara, adik beradik dan tidak lupa juga untuk menziarah kubur. Pada hari raya kedua dikhususkan pula menziarahi saudara mara terdekat, keluarga sepupu muda atau tua, anak-anak saudara dan lain-lain. Manakala pada hari raya ketiga barulah menziarahi sahabat handai dan teman taulan.

Ketika emak saudara menjengok adiknya (bapa mertua Tun Sheikh), dia memesan supaya Tun Sheikh sekeluarga datang beraya ke rumahnya yang tidak jauh iaitu kira-kira 2 km sahaja dari rumah kampung kami. Setiap tahun memang Tun Sheikh sekeluarga pergi beraya ke rumahnya di sebelah petang. Bila sampai, kami mesti makan ketupat yang dihidangkan walau pun pagi-pagi lagi sudah ada anak atau cucunya menghantar ketupat dan lauk-pauk yang dikirim dengan mangkuk tepin. Sudah menjadi adat dalam kalangan orang Johor, jika pada bulan puasa, juadah berbuka bertukar-tukar sesama jiran dan begitu juga ketupat pada pagi raya. Pada hari raya pertama, kadang-kadang hingga 5 atau 6 kali makan ketupat. Pada tahun ini agak aneh, dia beria-ia benar mengajak datang tapi tanpa nasihat seperti biasa. Dulu kalau dia ajak datang dia sering pesan bila datang ke rumahnya nanti jangan cerita pasal politik. Selain itu ok… sebabnya ialah anak perempuannya yang tengah, sekeluarga sangat taksub kepada pemikiran UMNO.

Tidak kira sesiapa yang menjadi tetamu, anaknya suami isteri akan bercerita dan berkempen tentang UMNO seolah-olah sedang di musim pilihanraya. Semuanya UMNO baik dan tiada sedikit pun buruk atau busuk seperti orang sedang dilamun cinta, semuanya wangi. Bayangkanlah 2 abang, 2 kakak, 2 adik lelaki dan 2 adik perempuannya berserta keluarga besar mereka semuanya dipengaruhi dengan falsafah dan pemikiran UMNO. Mereka semua tidak berani membantah dan bertukar-tukar fikiran. Mereka seperti kelihatan 100% bersetuju walau pun sebenarnya banyak yang menentang tetapi semuanya tidak berbalah kerana sangat hormat kepada Kak Siah dan suaminya, Abang Ali. Sampai kepada cucu-cucu mahupun menantu dan ipar-duai pun akur dengan pengaruh Kak Siah sebab Kak Siah sangat berjaya dalam keluarga Makcik. Dia juga berjaya merubah cara hidup atau melonjakkan taraf hidup keluarga besar Makcik daripada pekebun yang biasa dengan hidup sederhana kepada sebuah keluarga besar yang berpelajaran tinggi.

Hasil daripada tunjuk ajar dan bimbingannya, sanak saudara dan adik-adiknya termasuk anak-anak buahnya mendapat pelajaran sempurna. Ramai yang mempunyai Phd, master atau sarjana dan ijazah sarjana muda boleh dikatakan semua memilikinya. Keluarga Kak Siah dan Abang Ali sendiri adalah contoh keluarga yang berjaya. Mereka mempunyai 4 orang anak, 3 perempuan dan seorang lelaki. 2 memiliki Phd dan 2 memiliki sarjana dan sedang diberi galakan dan dorongan untuk membuat Phd. Pokoknya, keluarga besar kami khasnya keluarga Mak Cik dan Kak Siah sangat terkenal di Parit Jawa Muar. Terkenal dengan berpendidikan tinggi bukan terkenal seperti orang lain yang banyak harta atau kaya dengan kebun atau mewarisi kekayaan orang tua-tua dulu.

Kak Siah sebenarnya hanya berkelulusan SPM dengan keputusan yang sederhana dan bekerja sebagai kerani atau pembantu tadbir di UPM. Kerana terpengaruh dengan aktiviti UMNO, dia sendiri telah berusaha dan bekerja keras membantu keluarga dan di waktu yang sama belajar secara jarak jauh yang pada ketika itu terkenal dengan nama sekolah malam. Beliau berjaya memperolehi diploma dan kemudian ijazah sarjana muda walau pun pada usia yang agak lewat. Beliau sentiasa memberi galakan dan dorongan kepada adik-adik dan anak-anak buahnya supaya menyahut seruan UMNO terutamanya terhadap pelajaran. Beliau sendiri akhirnya berjaya menjawat Ketua Pendaftar dan bersara dengan jawatan itu di UPM sejak 14 tahun lalu.

Setiap tahun apabila Tun Sheikh bertamu ke rumah ibunya, tiada orang lain yang melayan kami kecuali Kak Siah dan Abang Ali. Keluarga lain bukan tiada bersama tetapi mereka hanya diam mendengar Kak Siah dan Abang Ali melayan kami atau tetamu. Cerita tentang pelajaran boleh dikatakan sampai 50% sama ada suka atau tidak, diperdengarkan dan diberi galakan dan dorongan. Selalunya kepada saudara mara yang meminta nasihat mencari pekerjaan, dia akan menasihatkan agar melupakannya tetapi hendaklah berazam untuk terus belajar atau melanjutkan pelajaran dan mencari kemahiran. 30% perbualan adalah berkisar dengan politik UMNO Johor dan UMNO pusat dan bakinya berkaitan kekeluargaan.

Suaminya, Abang Ali juga seperti mempunyai prinsip dan dasar yang sama. Beliau juga seperti Kak Siah tetapi kerana faktor usia dan sebagai seorang lelaki beliau hanya tamat dengan diploma. Diploma pada zamannya bukanlah seperti sekarang. Ketika angkatannya, hanya anak orang berada sahaja yang berpeluang menuntut atau melanjutkan pelajaran tinggi. Abang Ali berasal dari Melaka. Walau bagaimana pun Abang Ali sempat menjawat jawatan profesional melalui pengalaman dan kemahiran. Yang bagusnya tentang pasangan Kak Siah, ialah semangat dan nasihat mereka adalah ikhlas demi untuk keluarga dan bangsa Melayu. Mereka juga menjadi teladan dan realiti. Mereka juga tidak suka membuang masa kepada perkara yang sia-sia dan juga anti rasuah atau anti salah guna kuasa.

Peliknya pada tahun ini Kak Siah tidak layan kami seperti dulu. Kami sebenarnya ikut juga nasihat dia tetapi tidak semua. Sebab anak-anak kami, kami dedahkan dengan pendidikan sains Islam. Ada yang telah menjadi graduan dan beberapa orang lagi di UIA dan UTM dan beberapa anak sedang berada di peringkat sekolah menengah asrama agama. Dia tidak mendabik dada lagi seperti dulu-dulu dengan penuh semangat dan beria-ia mempengaruhi kami.Kami tercari-cari dan ternanti-nanti buah dan prihal cerita darinya yang dapat memberi jawapan dan memuaskan hati dan fikiran kami. Rupa-rupanya kami memang segaja dipesan dan diundang supaya datang untuk bertukar-tukar fikiran kerana hanya Tun Sheikh sorang yang berani mengeluarkan pendapat selama ini walaupun tidak sekata dengan kesukaan atau pemikiran UMNOnya.

Keberanian Tun Sheikh adalah kerana pembawaan diri yang memang degil untuk tidak mengikut kata orang lain jika mereka tidak dapat menundukkan hujah dan dalil atau fakta yang Tun Sheikh gunakan dalam setiap perbualan mahupun penceritaan. Tun Sheikh pula memang sangat gemar berhujah dengan dalil dari quran dan hadis dan logik serta adat-adat dan kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syariat atau amalan agama.

Rupa-rupanya hal itu lah yang menarik diri Kah Siah dan suami. Dia baru sedar bahawa semua keluarga diam seolah-olah menyetujuinya 100% adalah kerana hormat kepada dirinya. Takut pun ada sehingga tiada yang berani menolak pandangan-nya sehingga beliau berasa pelik kerana gagal mendapat buah fikiran bernas dari akal pemilik Phd, sarjana dan sebagainya. Suasana realiti dan perkembangan politik UMNO semasa pula sangat mencabar dirinya. Politik UMNO dirasai sangat rencam dan terumbang ambing kerana pecah amanah dan jahil dalam agama.

Akhirnya dia mengaku sendiri seolah-olah dirinya gagal meskipun semua orang berjaya dipandu dan didorongnya. Beliau sangat-sangat tersentuh perasaannya apabila anak kandungnya sendiri yang memiliki Phd gagal dalam hidup berumah tangga. Anak perempuannya telah bercerai dengan suaminya yang juga memiliki ijazah Phd dan penceraian ini menyebabkan 3 orang cucunya yang berusia 11, 9 dan 7 tahun ditinggalkan pada Kak Siah untuk menjaga mereka. Beliau tercari-cari apakah kekurangan ilmu yang telah dibekalkan kepada anak-anaknya dan semua orang tua-tua dulu yang mempunyai sedikit ilmu dan amalan agama memberitahu kepadanya bahawa beliau telah meninggalkan kepentingan ilmu agama yang menyebabkan anak-anak yang berjaya walau memiliki Phd telah gagal dalam hidup. Tun Sheikh hanya mengia dan mengesahkannya dan dia berasa insaf dan berazam untuk menghantar cucu-cucunya ke sekolah sains agama.

Apabila ditanya lagi….Tun Sheikh memberi pengakuan dan bersetuju dan memberitahunya bahawa Tun Sheikh sekeluarga mengucap syukur kerana selama ini terasa keluarga Tun Sheikh sering diperlekehkan oleh mereka kerana memberi pendidikan agama yang disangka akan hanya menjadi orang kelas kedua. Tun Sheikh menjelaskan bahawa, hati kita memang mudah terbuka kepada kebajikan daripada kebatilan kerana selama ini kita ikhlas dan tidak suka kepada kecurangan dan tidak terlibat dalam pelbagai rasuah yang diamalkan oleh UMNO. Kak Siah dan Abang Ali mengangguk-angkuk tanda bersetuju dan wajah mereka berseri tanda senang hati. Yang seronoknya, apabila mereka berkata mereka tidak akan menyokong UMNO dengan membabi buta lagi kerana kini mereka sadar UMNO telah banyak mempersenda dan tidak serius dalam hal agama. Tun Sheikh sekeluarga tersenyum sahaja….

Selamat Hari Raya 2010 dan Maaf Zahir Batin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Saturday, August 14, 2010

Coba-Coba Poligami

Urusan Orang Tua Jangan Dibawa Budak Mencampurinya

Pada Mac lepas dalam blog yang sama, Tun Sheikh pernah menceritakan tentang cinta tiga segi dan campurtangan orang tua dalam rumah tangga anak kesayangannya hingga berlaku perceraian dan sehingga hari ini apa yang pernah dirancangkan oleh ibu mahu pun anak lelakinya masih tidak menjadi kenyataan. Anak lelaki terus tinggal bersama emak dan terpaksa berulang-alik ke tempat kerja dari Melaka ke Bangi. Ketika menyelesaikan masalah ini turut dibawa masuk bagi pihak isterinya Yati ialah sepupu perempuan isterinya yang sebaya dengan isterinya bernama Ina.

Ina adalah anak kepada Pak Long dan Mak Long iaitu bapa dan emak saudara Yati. Ina disaran campur tangan oleh ibunya Mak Long atas alasan mereka berkawan baik sejak kecil. Bapanya dan Tun Sheikh pada mulanya tidak bersetuju kerana beliau masih muda dan baru berumah tangga dan baru sahaja lepas bersalin dan lepas pantang. Ina begitu yakin akan dapat menyumbang dan membantu sepupunya Yati supaya dapat bertenang dan menghadapi kenyataan hidup menjanda.

Seperkara yang ibunya tidak terfikirkan ialah apa-apa maklumat dan perkiraan dalam mencari jalan penyelesaian perhubungan rumah tangga antara Yati dan Amir akan juga diketahui oleh Ina dan secara tidak langsung ini juga akan diketahui oleh suami Ina, Nas. Ina memang berjaya memainkan peranannya mendapatkan maklumat yang rahsia daripada Yati. Walaupun ibunya berbangga kerana kejayaan Ina mengorek rahsia untuk diolah dan dijadikan hujah, Tun Sheikh dan bapanya tetap tidak gembira kerana Tun Sheikh merasakan hal ini akan membahayakan dirinya sendiri. Ini adalah kerana sikap suaminya seolah-olah ada menyimpan ketidakpuasan kerana Ina, kakak dan adiknya adalah juga anak kesayangan ibu-bapa mereka dan suasana kehidupan keluarga mereka seakan-akan serupa dengan keluarga Amir.

Tanpa Ina sedari, dia telah menceritakan kekurangan Amir dan Yati kepada suaminya. Ini sangat tidak disenangi oleh Tun Sheikh kerana beranggapan suaminya akan mengambil kesempatan jika masalah yang dihadapinya dalam berumah tangga bersama Ina adalah serupa seperti yang dihadapi Yati. Lebih merisaukan lagi jika apa-apa pandangan dan pendapat Mak Long dan Pak Long iaitu ibu dan bapa mertuanya selaku orang tengah dalam hal rumah tangga Yati akan dapat dibaca dan digunakan oleh Nas untuk kepentingan dirinya. Dan hal ini rupa-rupanya benar-benar berlaku.

Tun Sheikh telah dihubungi oleh bapa Ina mengajak berbincang untuk mencari jalan keluar yang terbaik. Mereka tidak suka hal penceraian anak saudara mereka menyangkit kepada anak mereka sendiri. Hubungan rumah tangga Ina ketika kes Yati sedang diputus oleh mahkamah adalah baik. Tetapi hanya selepas itu mula terbongkar apabila alasan Nas jarang balik ke Johor Bahru tidak dapat diterima oleh isteri dan bapa mertuanya. Setelah bapa mertuanya menyiasat dengan menelefon ke pejabat manantunya bekerja, beliau dapati Nas tidak melakukan kerja lebih masa sehingga tidak dapat pulang setiap minggu menjengok anak dan isteri sebagaimana diberitahu Nas. Rupa-rupanya Nas dikata telah menghabiskan cuti minggunya dengan kekasihnya yang juga disenangi oleh ibunya.

Alasan lain yang membuat hati Nas berubah adalah kerana keengganan Ina untuk terus tinggal di Kuala Lumpur walaupun tempat sekolah beliau mengajar adalah baik dan dekat dengan rumah yang disewa oleh suaminya. Ina telah berkeras mengajak suaminya berpindah ke Johor Bahru kerana dekat dengan ibu bapa dan sanak saudaranya di Johor. Suaminya pada mula bersetuju tetapi beliau tidak dapat berpindah dengan segera kerana masih belum ada kekosongan di cawangan banknya di Johor Bahru. Ina pula telah mendapat kelulusan berpindah dan segera berpindah dan tinggal sementara bersama ibunya.

Beberapa bulan kemudian, Ina segera membeli rumah atas nasihat ibunya tanpa persetujuan suaminya dengan alasan tawaran rumah adalah terhad. Suaminya pula tidak bersetuju kerana beliau diketepikan dan membuat alasan tidak suka kepada rumah itu kerana terletak di dalam sebuah taman perumahan yang bermajoriti kaum Cina. Beliau sangat bimbang dengan keselamatan isterinya lebih-lebih lagi isterinya Ina memang bertampang Cina kerana neneknya adalah Cina.Ibu mertuanya telah campur tangan dan tidak menerima alasannya.

Tun Sheikh berpendapat bahawa Nas sengaja mencari dan membuat alasan setelah mengetahui pendirian mertuanya dalam menyelesaikan kes rumah tangga Yati dimana ibu dan bapa mertuanya berfikiran terbuka dan memujuk Yati agar tabah menerima dugaan dan kenyataan tanpa berdendam dengan bekas suami. SejaK mula lagi Tun Sheikh tidak bersetuju melibatkan orang muda kerana khuatiri hal ini akan berlaku dan pernah menyatakan kepada bapa mertuanya. Kini apa yang Tun Sheikh jangka telah menjadi kenyataan dan bapa Ina telah meminta Tun Sheikh memberi pandangan. Tun Sheikh hanya dapat menasihatkan supaya mereka menunggu perbicaraan di makamah syariah kerana Ina tidak sanggup bermadu manakala Nas sudah tidak datang lagi menjengok anaknya.

Tun Sheikh tidaklah menuding kesilapan Ina tetapi menegaskan bahawa tindakannya mengajak suaminya berpindah telah membuka peluang kepada suaminya berubah hati. Seharusnya beliau taat kepada suami dan sentiasa bersedia mengikuti suami di mana saja suami suka untuk tinggal. Sementara menunggu perbicaraan pada bulan Oktober ini Tun Sheikh telah bertanya sama ada beliau sanggup balik semula ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama suaminya tetapi beliau pada ketika ini tidak dapat membuat keputusan. Tun Sheikh menasihatkan dirinya agar beralah jika sayangkan anak dan sayangkan suami. Jika beliau beralah, ada kemungkinan permohanan mentalaq dirinya oleh suaminya tidak diluluskan oleh mahkamah. Tetapi jika beliau berkeras untuk tinggal di Johor Bahru maka itu akan menjadi bukti bahawa beliau adalah seorang isteri yang engkar dan lebih mementingkan diri dan ibu daripada suami sendiri maka permohonan suami dan fakta pertuduhan suaminya akan diterima sebagai hujah.

Ina kini bertambah kurus kerana tidak menyangka beliau terpaksa mengharungi masalah rumahtangganya sendiri. Manakala anak lelakinya sering demam kerana merindui bapa yang tidak kunjung tiba. Ibunya pula sering datang menjenggok dan menjaga cucunya tanpa menghiraukan suaminya yang memerlukan dirinya di rumah kerana sudah rabun penglihatan. Bapa Ina kini telah mula kerap menelefon Tun Sheikh mengadu akan hal dirinya yang diabaikan.....

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Saturday, July 10, 2010

REMI DAN MARY MENGAKU ROMEO DAN JULIET TETAPI BERCERAI

REMI (Azmi) DAN MARY (Mariyam) MENGAKU ROMEO DAN JULIET TETAPI BERCERAI

Banyak rancangan Tun Sheikh pada bulan Jun lepas tidak menjadi dan terpaksa dibatalkan. Cuti yang dirancang untuk membawa keluaarga berehat di Batu Layar Kota Tinggi di musim percutian sekolah juga dibatalkan. Banyak hal dan terlalu rencam Tun Sheikh pada bulan Jun.Hal yang sering memerlukan Tun Sheikh memberikan fokus yang jitu adalah hal-hal yang berkaitan pergolakan pasangan keluarga. Tidak kira pasangan muda atau yang telah bercucu. Tapi banyak juga hikmatnya. Ini adalah kerana Tun Sheikh tidak menduga dapat memberi sedikit pertolongan dan tidak menduga dapat bertemu dengan teman-teman lama.

Tahun lepas Tun Sheikh pernah menasihatkan agar pasangan Remi (56 tahun) dengan Mary (57 tahun) berpisah secara baik jika telah terlalu buntu dan tiada lagi persefahaman. Mereka akui menggunakan nama Remi dan Mary yang agak kebaratan walhal berasal dari kampong iaitu Parit Botak Batu Pahat. Mereka juga mengakui bahawa mereka pasangan ideal dan romantik tetapi mereka telah berpisah secara baik.Betul dahulu memang sama-sama cantik dan hensem. Cuma yang agak Tun Sheikh kesalkan perkara ini berlaku di usia petang dan amat janggal jika hendak dijadikan teladan yang baik. Walau bagaimanapun terasa ada baiknya dinukilkan disini untuk pengajaran kita bersama.

Pada awal bulan Jun lepas kakak Remi (60 tahun) datang bertemu Tun Sheikh mengadu hal adiknya. Dia tidak dapat menahan sebak dan gelora dukacita mengenang nasib adiknya. Peristiwa yang sangat menggodam hatinya ialah ketika hadir dihari pernikahan dan persandingan anak saudara perempuan yang juga manja dengannya. Di hari persandingan di sebuah hotel mewah di Johor Bahru pada 1 Mei 2010, adiknya Remi yang merupakan bapa pengantin dilayan seolah-olah seperti tunggul. Sedih betul melihat lagak orang kampong yang perasan seperti berasal orang kaya-kaya di bandar. Isteri Remi lupa, bahawa suaminyalah yang terbiasa dengan keadaan sebegitu kerana dia seorang arkitek manakala dirinya hanya seorang jururawat yang baru naik pangkat sister. Remilah yang membelikan kondo dan membelikannya kereta sport yang asyik direngetnya. Remi sendiri hanya memakai sebuah kereta MPV Hyundai.

Tun Sheikh mendengar saja apa yang diluahkan kakak Remi.Dia kelihatan begitu kecewa. Dia terus bercerita yang sebahagiannya telah pun Tun Sheikh tahu tapi Tun Sheikh biarkan saja. Apa yang penting agar nasihat Tun Sheikh supaya jangan campur tangan diikutinya seperti ketika Tun Sheikh memberi pandangan pada peringkat awal lagi kepada pasangan Remi dan Mary ini.

Sebenarnya semasa mereka bertemu 35 tahun lalu, Remi hanya seorang juruteknik manakala Mary seorang jururawat. Mereka bertemu dan berkenalan ketika abang sulong Remi dirawat di Hospital Tun Aminah Johor Bahru. Kakak Remi tidak suka walaupun Mary seorang gadis campuran Bugis dan Banjar kelihatan begitu jelita. Dia mencium bau materialistik pada sikap kaum sejenisnya itu. Tetapi adiknya telah jatuh hati walau dijelaskan bahawa sebenarnya Mary hanya escapism kerana putus cinta ditinggalkan tunangnya.Lagipun usianya tua setahun. Remi tetap berkeras dan berjanji sanggup melaksanakan syarat untuk terus melanjutkan pelajaran.

Tun Sheikh menasihatkan kakak Remi agar bersabar dan jangan campur tangan hal rumah tangga orang jika mereka tidak rela dan redha. Amat susah hendak diterimanya kerana dia membesar bersama Remi dan sangat mengetahui akal dan budi adiknya itu. Sejak mula dia tidak setuju adiknya ingin memperisterikan Mary kerana dapat merasakan kejanggalan mengikut hati perempuan. Kakaknya berasa dipihak benar apabila perceraian berlaku dari sebab-sebab yang pernah dinasihatkan pada masa dahulu kepada adiknya yang tersayang. Tetapi ketika itu cinta telah menguasai dan cinta itu memang buta.

Ketika adiknya berjaya memperoleh diploma dan berjaya menjawat Pembantu Teknik, isterinya berbangga dengan pencapaian diriya sendiri dimana sijil kejururawatan diiktiraf kerajaan standing diploma. Ketika suaminya bejaya memperoleh ijazah, isterinya berazam bekerja keras mengikuti kursus dan sebagainya untuk layak menjadi calon sister dan metron. Pendek kata, suami telah terabai kerana dijadikan pesaing bukan bersama berkongsi hidup berumah tangga. Apa yang dirasa sangat pahit oleh Remi ialah keengganan Mary untuk mengandung kerana hendak menjaga kejelitaan dan tidak sanggup menghadapi kesibukan menjaga dan membela anak.

Mereka dikurniakan hanya sepasang anak. Yang sulung lelaki sudah berusia 33 tahun tetapi masih bujang dan tiada berkeyakinan untuk berumah tangga mungkin disebabkan gejolak rumahtangga orang tua mereka.Peperangan besar terjadi pada tahun 2000 apabila Remi enggan membenarkan Mary menggunakan kereta sport kerana tidak sesuai. Arahan suami agar kereta sport diberikan kepada anak sulung lelaki tetapi tidak diendahkan oleh isterinya. Sejak itu anak lelakinya berkecil hati dan berhenti belajar. Dia menerima tawaran kerja sebagai bellboy di Hotel 5 bintang di Kuala Lumpur. Kini dia menjawat ketua bellboy sahaja kerana hanya bermodalkan SPM.

Remi sangat kecewa apabila didalam pertengkaran itu isterinya memecah rahsia, dia sengaja memakan pil perancang keluarga sejak kelahiran anak kedua tanpa pengetahuan dan keizinan Remi. Dia begitu mudah mendapat bekalan ubat dan dia juga begitu taksub dengan kecantikan dirinya.Gelombang dan gelora rumahtangga ini terumbang ambing sejak itu. Mereka hanya memaparkan kemesraan yang palsu kepada sanak saudara. Hanya kakak Remi yang dapat menghidunya tetapi dinafikan Remi sehinggalah mereka bertemu Tun Sheikh di penghujung tahun lepas dan mereka telah berpisah dengan baik. Mary sungguh beria-ia minta dirinya dilepaskan.

Ramai lelaki meminati Mary tetapi sehingga kini beliau masih menjanda. Tiada sorang pun yang tampil untuk memperisterikannya. Manakala Remi sudah bernikah dengan seorang gadis berusia 34 tahun yang simpati dengannya. Mereka kelihatan bahagia tetapi masih belum hamil. Pada waktu yang sama Mary kerap menghubungi adik beradik Remi menyampaikan rasa cinta kasihnya masih pada Remi dan adakalanya diceritakan juga ada lelaki berjanji untuk mengambilnya sebagai isteri. Remi dan keluarganya hanya membisu kecuali kakaknya menasihatkan Mary supaya kahwin dan lupakan Remi kerana dia pernah terdengar isteri muda adiknya mengatakan Mary sering menelefon Remi walaupun tidak dilayan………dan Mary, ketika Tun Sheikh menghadiri majlis perkahwinan anaknya, dia memang bergaya dan kelihatan muda 10 tahun dari usia sebenarnya. Tapi apalah gunanya sebegitu jika hati tidak tenteram sambil mata akan tetap memandang kecantikan yang terlerai hari demi hari dalam kesepian, manakala lelaki yang selama ini memuji-muji tidak tampil……..betapa pedihnya hidup sebegini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Monday, May 24, 2010

JODOH PERTEMUAN DAN TEMAN HIDUP

JODOH PERTEMUAN & TEMAN HIDUP

Ketika Tun Sheikh sedang berkira-kira mencongak waktu untuk membawa keluarga berehat di Desa Ru Kota Tinggi Johor di musim percutian sekolah pada awal Jun akan datang, Tun Sheikh teringat dan tersenyum terhadap satu tempat peranginan persendirian yang diusahakan oleh orang kampong di Pantai Batu Layar Pengerang Kota Tinggi berhampiran dengan Desa Ru. Pantainya cantik dan rimbunan pokok runya banyak di tepi pantai dan redup walau ketika terik matahari. Apa yang buat tersenyum ialah pengusahanya mengeja chalet menjadi shelly kampong. Kemudahan asasnya sangat asas dan kepada pengunjung ke situ dikenakan duit letak kereta RM2.00, mandi air perigi RM.50, buang air RM0.50, menginap di kemah RM15.00 dan shelly RM50.00 semalam. Shellynya berkeluasan 8 kaki X 8 kaki berbumbung tiga segi jejak ke tanah pun seperti ala kadar saja tetapi kebersihan kawasan ini terjaga baik jika dibanding dengan pengusaha lain. Tempat ini menarik kepada Tun Sheikh dan telah pun menginap beberapa kali di sana hasil dari jodoh pertemuan dengan perkataan shelly itu tadi dimana satu keluarga besar Tun Sheikh amat gembira dan tergelak dengan ejaan dan pelbagai andaian terhadap shelly kampong itu. Kami sangat menghargai kesungguhan tuan punya shelly kampong itu.

Ketika melayari Face Book, sedang senyuman ceria tadi masih belum hilang, Tun Sheikh terjumpa pula jiran lama di zaman kanak-kanak dan remaja bernama Shelly. Usianya lebih kurang seperti Tun Sheikh dan empat orang anak-anaknya sudah hampir dewasa dan remaja. Semuanya cantik-cantik dan hansem seperti emak dan datuk neneknya. Lama juga kami chating, bersembang kerana nostalgia 30 tahun lebih tidak bertemu. Nostalgia kami yang paling menarik ialah apabila mengenang zaman kanak-kanak dengan permainan pondok kawin-kawin atau pengantin, siap ke bilik tidur, ada watak emak, bapa, atuk dan sebagainya, main masak-masak olok-olok dengan pasangan keluarga baru. Pada kesimpulannya kami tergamam kerana kemewahan permainan di zaman ini sangat jauh berbeda dan buah pengajaran yang sangat membimbangkan kami ialah budak-budak sekarang walau hanya baru berusia 9 tahun sudah pandai betul-betul merogol atau memperkosa orang hasil pengaruh permainan canggih itu.
Sambil-sambil gelak bernostalgia Tun Sheikh beritahu padanya ketika zaman remaja ada juga berangan-angan dan ada hati nak simpan dia jadi isteri bila cukup dewasa sebab dia pun cantik dan keluarganya pun baik ketika berjiran dengan kami tetapi itulah jodoh pertemuan namanya. Lagi pun, rupa-rupanya Tun Sheikh bukan tastenya sebab dia berterus-terang sejak kecil dia suka pemuda berkulit hitam. Ketika zaman remaja dulu pun tidak sama dengan sekarang kerana lidah kelu dan fikiran bungkam bila hendak melafazkan suara hati yang murni. Lagipun Tun Sheikh telah terdidik dengan ajaran dan pesanan orang tua supaya jangan berkawan terlalu rapat dan jangan membuat apa-apa janji dengan kawan-kawan wanita ketika masih remaja mahupun sudah dewasa jika belum mampu untuk bertanggongjawab dan berumah tangga.

Chating kami melalut hingga kepada kisah-kisah kawan kampong yang lain yang sama-sama ambil bahagian dalam permainan pondok-pondok di zaman kanak-kanak dan seorang daripadanya ialah Norimah yang sering menjadi penghalang Tun Sheikh untuk rapat dengan sahabat perempuan lain yang ada di kampong hinggalah Tun Sheikh keluar melanjutkan pelajaran. Ini adalah kerana Norimah sering menguar-uarkan bahawa keluarga Tun Sheikh tidak suka kepada sesiapa saja yang cuba mendekati Tun Sheikh kerana anak manja. Hanya dia saja yang boleh kerana kami berjiran dan seperti keluarga sendiri tetapi selama kami bersama Tun Sheikh merasai dia menyukai Tun Sheikh tetapi hanya bertepuk sebelah tangan dan jodoh kami memang tidak ada. Dia kini mempunyai 2 orang anak dan selalu juga bertemu ketika Tun Sheikh balik kampong dan apabila ditanya samada merancang keluarga, dia mengatakan bahawa dia memang moden dan tidak mahu banyak anak kerana menyusahkan dan takut jadi miskin. Inilah jodoh ketentuan sebab Tun Sheikh pula suka banyak anak. Sehingga kini sudah 12 orang. Ini adalah kerana galakan dari emak dan abah kerana mereka berdua datang dari keluarga yang tiada adik beradik yang ramai kecuali 2 orang. Abah dengan adik perempuannya dan emak dengan adik perempuannya sahaja.

Sahabat baik kepada Norimah ialah Norashidah dan tanpa Norimah sedar kami berdua menjadi sahabat rapat dan intim tetapi apabila Norashidah ajak membuat janji untuk berkahwin, Tun Sheikh pun memutuskan hubungan kerana masih remaja dan sedang belajar. Walau pun sudah hampir tamat tingkatan 6 tetapi Tun Sheikh ingin melanjutkan lagi pelajaran . Dan Norashidah juga setelah tiga puluh tahun tidak bertemu, kami bertemu semula dengan keluarga masing-masing. Ini semua Tun Sheikh cerita dengan Shelly ketika bernostalgia chating. Sungguh seronok bernostalgia lebih-lebih mengenai jodoh pertemuan dan jodoh teman hidup.

Norashidah juga telah mempunyai anak yang telah dewasa kerana beliau bernikah cepat dengan kawan sekampung Tun Sheikh juga. Apa yang sangat menarik dan juga rasa kesian kepadanya ialah ketika mereka sekeluarga datang bertemu Tun Sheikh meminta tolong carikan orang yang ahli mengubati penyakit saka. Penyakit saka ini sangat aneh sampai fikiran Tun Sheikh rasa tergamam dan tertanya-tanya sendiri tetapi akhirnya membuat keputusan bahawa tiada yang mustahil jika telah Allah tetapkan begitu. Alhamdulillah beliau sekarang sudah sihat setelah berubat di Kelang. Penyakit aneh sakanya ialah kemaruk tanpa sedar dalam soal ranjang sehingga suaminya menjadi kurus kering dan tidak sanggup melayaninya. Jika tidak diturutkan kehendaknya, dia akan meroyan dan seperti hilang akal.

Di sebalik terkenang dan mengingat kisah-kisah itu, Tun Sheikh juga tersenyum kerana jika ikutkan angan-angan dulu memang Norashidah ingin Tun Sheikh peristerikan tetapi apabila mengenangkan dia ingin berkahwin dalam usia muda dan dengan penyakit sakanya itu maka Tun Sheikh bersyukur kerana ketentuan dan ketetapan tuhan adalah yang terbaik buat kita.

Berbalik kepada Shelly tadi, apabila mendengar dia menjanda kematian suami 5 tahun lepas ada juga Tun Sheikh cuba mencarinya untuk mendengar khabar berita dan berangan juga untuk melamarnya. Tetapi memang jodoh tiada. Kami tidak pernah bertemu sampai sekarang dan kini dia sudah bernikah lagi dengan lelaki bujang yang muda, hebat dan hensem. Tun Sheikh tersenyum girang lebih-lebih lagi apabila dia mengakui ketika dia menjanda dulu dia tidak sanggup bermadu. Betapa hebatnya kebesaran dan ketetapan Tuhan itu yang membuat Tun Sheikh berasa gembira kerana terlihat kekerdilan diri. Kita hanya boleh merancang dan berusaha tetapi Allah jua yang menentukannya dan masing-masing telah ditetapkan dengan irama kehidupanya tersendiri.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Thursday, May 6, 2010

ORANG MELAYU AKAN RUNTUH

PENYAKIT MELAYU PERLU DIUBATI SEGERA

Melayu kontemporari samada sedar atau tidak sebenarnya sangat cekap menguasai politik dan pentadbiran awam. Dalam politik, sejarah tamaddun dan kebudayaan Melayu, banyak mempengaruhi teras politik Melayu dari dulu hingga terkini. Dalam sistem pentadbiran pula, Melayu diterap dan dipengaruhi oleh sistem pentadbiran Inggeris yang lebih moden, maju dan kemas.

Akhir-akhir ini sistem nilai standard dunia tidak lagi meletakkan negara ini dalam senarai negara yang baik dalam politik dan pentadbiran awam. Pada waktu yang sama kita masih berasa atau hanya berperasaan bahawa kita masih berada di kumpulan terbaik. Penurunan pandangan orang luar terhadap kita telah merosot manakala kita berfikir kita masih terbaik. Ini merupakan masalah besar dalaman yang perlu diperbetul dan diubah atau dibaiki segera. Masalah ini sebenarnya adalah penyakit yang parah tetapi jika diri kita tidak mengetahui dan merasainya maka ini adalah penyakit kronik yang boleh membunuh.

Apakah puncanya atau apakah penyakit kronik yang sedang kita hidapi? Ini boleh kita kesan dan mengambil pengajaran dari keluhan beberapa pengusaha bertaraf antarabangsa dan pengusaha kecil yang bekerja cukup untuk membayar gaji empat orang pekerja dan dirinya sendiri. Maklumat ini boleh didapati dari mereka yang menjalankan perniagaan sebagai perantara dan juga dari pemilik sayarikat kecil itu sendiri. Mereka memberi pandangan yang sama iaitu mengapa mereka mesti bayar kepada mereka itu padahal mereka berperanan memmbantu memajukan negara ini.

Kevin seorang pemilik sebuah syarikat yang besar dan 30 tahun pengalaman, bercerita perniagaannya merosot 45% dan kini memasuki tahap berisiko kerana berkemungkinan terpaksa memberhentikan 50% dari sejumlah 1,000 orang pekerjanya. Ini adalah kerana pencapaian sayarikatnya menarik pelabur asing jatuh menjunam. Dalam perbincangannya, sebab atau alasan utama yang diberikan oleh pelabur asing ialah kerenah politik dan agensi kerajaan yang menguruskan legasi dokumen. Maksudnya, negara ini mempunyai sistem dan peraturan perdagangan antarabangsa yang baik dan mudah diterima tetapi mereka terasa dipersulitkan oleh tangan-tangan gaib politik dan pentadbiran awam kerana menuntut wang pelincir (rasuah).

Pelabur asing merungut dan berasa kesal mengapa mereka harus menangung pembayaran yang tidak perlu yang akhirnya kos ini dimasukkan dalam harga produk. Bagi ahli perniagaan antarabangsa, nilai pertukaran asing tidak boleh dijadikan alasan tidak seberapa kerana nisbah nilai pertukaran wang yang berlainan. Apa yang mereka utamakan ialah julat keuntungan yang besar bagi memastikan hayat dan kemajuan serta pengembangan perniagaan itu sendiri. Apabila menyebut saja niat pelaburan mereka yang ingin berdagang di negara ini akan mudah dan dapat dibantu oleh orang politik atau kerabat diraja mereka semacam telah mendapat pengajaran dari teman-teman yang telah terkena agar bertukar ke negara lain. Ini belum lagi penyakit yang disebabkan oleh kerenah birokrasi jabatan atau pejabat pentadbiran awam yang berpunca dari ketua dan pegawai mahupun kakitangan.

Amat susah kita hendak menerima kenyataan ini tetapi pada hakikatnya kemasukan pelaburan asing ke negara kita memang telah menurun ke 40% . Kita seolah-olah berpuas hati dengan alasan bahawa mereka lebih suka ke negeri Cina kerana upah pekerja dan kos perbelanjaan hidup di sana rendah. Kalau benar begitu mengapa Indonesia juga kehilangan pelabur asing. Mengikut kajian statistik, pendidikan rakyat kita dan Indonesia dengan mudah boleh menampung atau menyediakan pekerja berpendidikan yang murah tetapi mengapa mereka tidak berminat lagi melabur di negara kita?

Satu lagi jawapan yang patut direnungkan ialah pengalaman pengusaha kecil tempatan. Samsudin menceritakan bahawa bayaran untuk kerja-kerja kecil yang dilakukan oleh syarikatnya selaku tukang cuci dan bersih bangunan dan di setengah tempat sebagai penyelenggaraan taman atau lanskap di negeri Selangor, tidak pernah menerima bayaran secepat dua minggu dari tarikh tuntutan. Apabila bertanya kepada ketua pengarah atau pengarah jabatan berkaitan, beliau difahamkan imbois atau bil-bil tuntutannya ada yang tersilap dan tidak mengikut prosidur. Tetapi apabila bertemu sendiri dengan kerani yang menyediakan dokumen pembayaran, tidak ada apa-apa masalah pula kecuali kerana beliau jarang mengajak mereka keluar minum atau belanja makan. Akhirnya beliau faham, syarikat yang menyelitkan Rm10-20 diutamakan dulu.

Bayangkan jika seorang kerani kecil sebegini telah membudaya dengan duit upah (rasuah) maka jika besar projek dan pembayarannya maka besar dan tinggi juga pangkat pegawai yang bermain wayang di sebalik urusan proses pembayaran. Apabila masalah dari peringkat sekecil ini telah membudaya hingga ke peringkat pelaburan asing yang berjuta-juta maka amat jelas dan yakinlah kita bahawa negara kita sedang menunggu kehancuran jika penyakit ini tidak segera diubati. Ini adalah penyakit kronik seumpama barah yang akan menyebabkan kematian.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tuesday, April 13, 2010

LEGENDA SEJARAH BAKRI MUAR BUKAN MISTERI

SEJARAH LISAN PEMBUKAAN BAKRI MUAR


Pada bulan Jun 2008, Tun Sheikh diminta oleh kerajaan Johor memberi kerjasama membuat penulisan biografi tokoh Johor iaitu Menteri Besar Dato' Wan Idris bin Wan Ibrahim dan Tan Sri Dato' Mahyuddin Mohd Yasin. Sebenarnya projek ini telah bermula sejak 2001 tetapi ditangguh bagi mengelak dijadikan isu oleh orang yang berkepentingan dan sensitif kerana keadaan dan suasana politik semasa tidak mengizinkan. Pada pertengahan 2001 Tun Sheikh mendapati telah ada banyak transliterasi sejarah mengenai pembukaan dan sejarah awal perkampungan mahupun daerah yang dibuat oleh pihak Yayasan Warisan Johor, Persatuan Sejarah Malaysia, Arkib Johor dan juga Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Johor. Ada yang telah dibukukan dan ada yang masih sebagai bahan mentah yang belum diproses atau dikaji .

Pada tahun 2005 dan 2006 Tun Sheikh dan beberapa teman penyelidik telah melakukan pencarian dan mendapati rekod bertulis Dato' Wan Idris amat sulit diperolehi manakala penulisan mengenai Tan Sri Mahyuddin pula ditangguhkan oleh sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Namun, kumpulan Tun Sheikh meneruskan penyelidikan dan kami melakukan secara lapangan dan juga secara lisan dengan turun padang di Muar dan di sekitarnya. Tun Sheikh teringatkan pesanan atau petua Allahyarham Cikgu Shaharom supaya menulis dan mencatat apa yang teringat jadi sukalah Tun Sheikh memaklumkan di sini bahawa terdapat sebuah syair jawi tulisan tangan yang masih disimpan oleh emak saudara Tan Sri Mahyuddin Mohd Yasin di rumah pusakanya di Bakri Batu 1 1/2.

Keluarga TPM memang terkenal dengan berpendidikan tinggi dalam agama malah sebagai tenaga pengajar. Bapa saudara beliau yang telah meninggal dunia ialah Haji Sulaiman dan Haji Md Noh adalah guru agama Johor yang bertauliah disamping pernah juga mengajar di sekolah abangnya iaitu Sekolah Cikgu Md Yasin Bakri Muar.

Syair ini (Syair Orang Jawi) dianggap sanggat sensitif dan tidak dibenarkan diterbitkan versi jawi yang asal selagi waris atau pemegangnya masih hidup dan jika pemegangnya tidak membenarkannya diterbitkan. Tun Sheikh pernah melihat dan peliknya ia disimpan dengan ala kadarnya tetapi sungguh hati-hati. Pelik kerana disimpan oleh isteri Haji Md Noh yang tinggal di kawasan yang sama berdekatan dengan rumah-rumah isteri Cikgu Md Yasin yang terkenal itu. Pelik kerana disimpan oleh individu yang bukan tokoh ilmuan kecuali sangat amanah.

Tun Sheikh dapati kesensitifannya ialah kerana ia bukan dikarang oleh suaminya Cikgu Haji Md Noh tetapi oleh Haji Md Noh bin Lebai Haji Muhamad peneroka Bakri yang asal. Haji Md Noh dan abangnya Cikgu Md Yasin juga berbinkan sama iaitu Hj Muhamad tetapi mereka bukanlah orang yang sama maka dakwaan sesetengah penduduk kampung Bakri terutamanya dari kawasan Bakri Batu 2 hingga ke bandar mengatakan keluarga Cikgu Md Yasin yang membuka dan membuka Bakri adalah tidak tepat. Dalam temubual itu kami dapati saudara mara yang mengaku ada pertalian dengan Cikgu Md Yasin mempunyai pertalian darah dengan keluarga Orangkaya Muar.

Dari Batu 2 Bakri ke Jalan Haji Abdullah (Teoko) hingga ke Bakri Batu 3 kebanyakan mengaku ada pertalian dengan kerabat diraja Pagoh dan dari Batu 3 Bakri hingga ke Bukit Bakri boleh dikatakan tiada yang tahu sejarah tetapi mengaku berkuturunan Jawa Cerebon (Jawa Barat) dan Jawa Tengah. Golongan muda tidak tahu menahu tentang sejarah Bakri atau Kampung Jawa tetapi empat orang tua berusia 70 tahun yang sudah rabun dan uzur mengaku pernah mendengar cerita dari mulut ke mulut bahawa Bakri dibuka oleh Orang Jawa nakhoda kapal keturunan Raja Cerebon.

Hajah Zainah bt Haji Ramli yang berusia 90 tahun mengaku bahawa syair ini bukan milik suaminya, Cikgu Haji Md Noh bin Haji Muhamad adik beradik Cikgu Md Yasin, telapi milik bekas suami pertamanya iaitu Haji Sharif bin Haji Sulaiman. Dia mengaku berdarah Jawa dari Panchor Muar. Dia juga mengatakan catatan asal sudah hancur dan masih ada sebahagiannya bersama dengan salinan dan memang tidak boleh dibaca kerana rapuh dan rosak, hitam dan kotor dan berlubang-lubang. Syair ini diamanahkan kepadanya oleh bekas suami pertamanya dan dia menyimpannya secara rahsia dan berkeyakinan telah ditulis oleh suaminya itu. Dia menyangkanya sebagai surat wasiat yang terbalut dengan kain putih yang telah lusuh kekuningan dimakan hari. Apa yang sebenarnya ialah bait-bait syair dalam tulisan jawi yang agak cantik tetapi bukan asli lagi kecuali salinan tangan dari asal yang telah hancur itu.

Adalah sangat diharap salinan syair jawi ini masih ada di tangan beliau tetapi jika beliau telah meninggal, keluarganya akan menyimpannya atau menyerahkannya kepada pihak arkib atau universiti untuk penyelidikan lanjut.

Syair ini amat penting walaupun hanya salinan dan dipercayai Haji Sharif anak kepada Haji Sulaiman telah menulis atau menyalinnya semula. Syair ini adalah milik atau dikarang oleh Haji Md. Noh bin Lebai Haji Muhamad iaitu abang kepada Haji Sulaiman, peneroka Bakri. Haji Sulaiman ialah bapa kepada Haji Sharif, suami Hajah Zainah bt haji Ramli yang mewarisi penulisan ini. Haji Sulaiman ialah adik Haji Md Noh yang berkawin dengan keluarga Orangkaya Joned Muar. Tulisan di dalamnya memang sensitif kerana menyindir ketidakadilan dan diskriminasi Orangkaya dan orang Melayu Muar terhadap orang-orang Jawa. Salinan transkripsi ruminya terdapat di Arkib Johor.

Dari transterasi lisan juga terdapat persamaan fakta. Satu daripadaanya ialah yang diceritakan oleh cucu Penghulu Temiang Muar iaitu Haji Azan bin Haji Rebut yang semasa ditemubual tinggal dengan kakaknya di Kampung Seliau Negeri Sembilan. Satu lagi ialah transliterasi sejarah lisan dengan cucu sulung daripada anak sulung Md Yasin JMF iaitu cucu peneroka Kampung Jawa (Bakri) yang tinggal di Puchong Selangor dan transliterasi sejarah lisan dengan Hajah Menah Bakri Batu 3 dan lain-lain. Transliterasi berkenaan ada di Arkib Johor.


Satu lagi sumber yang mungkin boleh membantu ialah Syair Abdul Rahman mengenai pembukaan Parit Jawa Muar oleh Penghulu Jabar yang datang bersama Lebai Haji Muhamad, saudagar Raja Cerebon dalam rombongan perahu atau kapal dari pulau Jawa. Sebahagian Syair Abd Rahman pernah dikaji dan diterbitkan oleh pengkaji pofesional dari universiti-universiti tempatan.

Salinan transliterasi sejarah Bakri Muar akan Tun Sheikh muat turunkan di blog NOSTALGIA.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tuesday, March 30, 2010

MUSLIHAT POLIGAMI ANAK EMAK

YANG DIKEJAR TAK DAPAT YANG DIKENDONG KECICIRAN
CINTA TIGA PENJURU PAKSAAN IBU

Sawiyah anak gadis lincah lulusan dari universiti Amerika hanya ketemu jodoh di usia matang hasil bantuan keluarga. Gadis manis ini terkenal dengan kebebasannya dan kelihatan berubah setelah bernikah dengan suami lulusan agama Universiti Pakistan. Kerana keluarga mereka sekufu dan ada meninggalkan harta, Sawiyah telah menjadi suri rumah sepenuh masa.

Bernikah pada usia 30 tahun dan pernah keguguran, memang banyak risikonya untuk hamil secara normal. Doktor telah mengesahkan bahwa Sawiyah tidak boleh hamil kecuali sekali sahaja dengan risiko yang tinggi. Dengan teknologi tinggi Sawiyah dan suami telah memilih pensenyawaan benih kembar sepasang dan berjaya dilakukan dengan kos yang sangat mahal.

Bagi mengenang jasa doktor pakar perbidanan, Sawiyah dan suami bercita-cita mendidik anak mereka menjadi doktor dan bermenantukan doktor apabila anak kesayangan dewasa. Amir dan Amira dibesarkan dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Anak kembar ini juga bijak seperti ibu bapa mereka dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di UKM. Bersama-sama kumpulan rapat mereka sejak di matrikulasi hingga ke universiti ialah Yati dari Muar dan Rita dari Pontian. Mereka berempat tidak pernah berpisah.

Dalam senyap-senyap, Amir mencintai Yati dan cintanya berbalas. Pada waktu yang sama Rita pula mencintai Amir juga berbalas tetapi Amir lebih mencintai Yatie. Disebabkan pengaruh hayalan dunia percintaan, Amir dan Yatie tidak dapat fokus kepada pelajaran dan mereka tersingkir dan melanjutkan pelajaran ke bidang sains. Tamat sahaja belajar Amir terus mendesak keluarganya untuk bernikah dengan Yatie. Kedua orang tua Amir dan Yatie kecewa dengan kegagalan mereka tetapi mereka mengikut sahaja kehendak anak-anak mereka.

Amir bekerja sebagai penyelidik dan Yatie sebagai Ahli Sains di UKM sementara beliau menyelesaikan sarjananya.Rumah tanga mereka berdua bahagia dan dikurnia dua orang anak perempuan setahun satu. Tetapi suasana keluarga ibubapa Amir kelabu dan kelam kerana ibunya memendam rasa. Sawiyah tidak dapat menerima kenyataan dan menyalahkan Yatie sebagai penyebab Amir gagal menjadi doktor. Adiknya Amira dan sahabat baik mereka Rita berjaya menjadi doktor ketika Amir dan Yatie sibuk menimang cahaya mata.

Setelah menjadi doktor, Rita bertambah bebas di rumah ibu bapa Amir seperti rumah dan keluarganya sendiri. Sawiyah pula sering jatuh sakit kerana keharuan perasaan cita-cita tidak tercapai. Suaminya Bakar sentiasa memberi semangat dan memujuknya agar menerima ketentuan Tuhan. Rita dan anak gadis mereka Mira, sama-sama merawat Sawiyah dan Sawiyah sungguh telah menyayangi Rita dan telah meluahkan kehendaknya agar Rita menjadi menantunya.Rita bersetuju dengan senyuman yang lebar tetapi memberi syarat dia tidak mahu bermadu.

Sawiyah telah memaksa Amir menceraikan isterinya. Pada ketika itu Yatie sedang mengandung anak ketiga berusia 3 bulan. Amir adalah anak yang soleh dan taat. Amir tidak sanggup dianggap derhaka oleh ibunya jika tidak mahu bercerai.Bapanya Bakar yang faham agama dan penyokong kuat PAS Melaka tidak dapat berbuat apa-apa kerana risaukan kesihatan isterinya. Dia seperti tiada kuasa lagi dan tertekan dengan sikap isterinya yang amat keras dan degil walau sudah 25 tahun mentarbiayahnya. Dia telah melepaskan semua jawatan parti kerana malu dan tidak mahu masalahnya menjadi aib parti.

Bakar telah menyerahkan kepada Amir sahaja supaya membuat keputusan. Dia mengambil jalan berkecuali. Amir telah berbincang dan membuat rancangan dengan isteri dicintainya. Yatie juga juga mempunyai perwatakan soleha. Beliau taat kepada suami.
Mereka bersetuju bercerai dan akan rujuk sebelum tamat edah secara rahsia. Amir akan mengikut kehendak ibunya supaya berkahwin dengan Rita. Yatie rela bermadu kerana yakin kepada ketulusan Amir.

Di depan ibunya Sawiyah,bapanya Bakar dan adiknya Mira dan bapa saudaranya iaitu kadi tempatan Melaka, Amir melafazkan talak terhadap isterinya Yatie. Minggu berikutnya Sawiyah telah meminang Rita di Pontian. Sawiyah telah berpakat dengan Rita bagaimana perkahwinannya harus berlaku dalam masa sebulan sahaja.Ini adalah kerana ibu bapa Rita menolak agar terus bernikah kerana Rita adalah anak dara walaupun Amir seorang duda. Keluarga mereka dari suku Bugis di Pontian yang terkenal menjaga adat dan kebudayaan Bugis.

Apabila bapa Yati mendengar anaknya diceraikan dalam keadaan sedang hamil, Rahman dan keluarganya naik angin. Ibu bapa Yatie dan ibu bapa Amir tidak mengetahui persetujuan dan perencanaan Amir dan Yatie. Rahman sangat tidak berpuas hati terhadap layanan keluarga Amir. Sebelum ini mereka sangat hormat kepada mereka kerana fahaman politik. Kelurga Yatie penyokong Parti Keadilan. Dalam beberapa pertemuan maka terkeluarlah semua hal termasuk ungkit mengunkit tentang fahaman parti masing-masing. Rahman dan isterinya terasa tercabar seperti diperbodohkan padahal mereka berdua juga berijazah dan baru pencen dari jawatan tinggi kerajaan. Rahman telah mengheret kes anaknya ini ke mahkamah.

Rahman juga telah menyiasat keluarga Rita dan berjumpa dengan Penghulu Kampung di Pontian. Keluarga Rita amat terkejut kerana mereka dimaklumkan bahawa Amir seorang duda sudah lama berpisah dan mereka tidak pernah mendengar Amir dipaksa menceraikan isterinya untuk berkahwin dengan Rita. Keluarga Rita juga berpelajaran tinggi dalam agama dan banyak menjadi pegawai agama kanan Johor. Tetapi majoriti mereka adalah penyokong tegar UMNO.Keputusan mereka banyak dipengaruhi fahaman politik. Mereka telah membatalkan pertunangan dan pernikahan Rita dan pernah tersembul dari mulut mereka mengatakan biarlah mereka orang PAS dan Keadilan bercakaran, kita UMNO tidak mahu campur kecuali jadi pemerintah bijaksana dan hidup senang.

Masa berjalan begitu pantas dan dalam kecelaruan ini edah Yatie pun tamat kerana Amir serba salah dan tidak tahu bertindak tegas. Ibunya pula terus mendesak manakala Rita dalam dilema kerana keluarganya tidak merestui pernikahannya. Bakar pula telah tidak ke masjid kerana malu apa yang terjadi terhadap dirinya seorang ustaz kerajaan yang dihormati.

Apabila telah menjadi kes mahkamah, kedua belah-pihak terasa tergugat kerana mahkamah bertambah menyulitkan keadaan. Cerita dalam kelambu lebih banyak terkeluar tetapi tiada keputusan segera kecuali berlarut-larut. Padahal ini sama sekali tidak diduga oleh Amir dan Yatie lalu mereka mengeluarkan surat persetujuan dan kerelaan bersama bahawa Yatie sanggup menyerahkan kesemua anaknya termasuk anak lelakinya yang baru lahir kepada Amir dan ibu mertuanya Sawiyah. Hal ini sangat memeranjatkan keluarga Yatie dan Amir telah menang dalam perbicaraan.

Rahman telah menemui Tun Sheikh meminta pandangan. Setelah Tun Sheikh bertemu Yatie dan Amir dan memikirkan telah diputuskan mahkamah maka Tun Sheikh nasihatkan mereka supaya membetulkan rencana mereka dan sementara waktu, ambillah keputusan jalan tengah agar sama-sama terbela dan terasa terjamin tidak khuathir dianiaya. Amir dan Yatie berjanji akan bersatu semula apabila keadaan pulih dan Amir bersetuju hanya mengambil anak sulung di bawah pemeliharaannya dan nafkah adalah sebagaimana ditetapkan oleh mahkamah dan masing-masing berhak menjengok dan mengambil sementara anak-anak mereka.

Ketika irama kehidupan ini ditulis mereka masih belum bersatu kerana ibu Amir jatuh sakit. Bapanya seperti hilang keyakinan memimpin masyarakat. Yatie pula sedang membuat PHD dan ibu bapanya pula masih berkeras tidak mahu menerima Amir kerana keluarga Amir telah menghina mereka. Rita telah keluar negeri melanjutkan pelajaran perubatan pakarnya. Mira masih di sisi keluarga dan merawat ibunya dengan taat dan bercuti dari melanjutkan pelajaran manakala hubungan percintaan dengan kekasihnya yang juga seorang doktor diputuskan sementara. Manakala Amir juga seperti adiknya Amira, masih tinggal bersama ibunya Sawiyah sebagai anak emak dan tidak berani membuat keputusan. Hidup sehariannya dalam keadaan resah dan gelisah kerana serba salah.

Ini adalah satu daripada kisah benar yang pernah Tun Sheikh janjikan akan menulisnya di blog ini. Semoga kita dapat menghayati dan mengambil pelajaran daripadanya.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sunday, March 14, 2010

POLIGAMI: TAYAR GANTI

RAHIMAH ADA PEMINAT JIKA MENJANDA

Kisah benar ini bukanlah suatu kes yang sensitif tetapi adalah menarik dinukilkan dalam IRAMA KEHIDUPAN yang sama sahaja konsepnya seperti DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN dalam sebuah akhbar Melayu yang semakin pupus. Akhbar yang berjasa itu dijangka akan pupus bukan kerana tiada wibawa tetapi disebabkan kebebasannya telah dicucuk hidung oleh politik sempit Melayu yang berkepentingan.

Kepada para pembaca yang sudah menyampah membaca akhbar berkenaan bolehlah menjadikan blog ini sebagai alternatif. Lagipun ia adalah kisah yang betul-betul terjadi dan dihadapi oleh penulis.

Rahimah adalah seorang gadis kampung yang manis tetapi seperti kebanyakan gadis kampung yang lain, Rahimah memang tidak selalu ke kota lebih-lebih lagi terpaksa tinggal bersama ibunya yang sudah kematian suami. Rahimah memiliki STP tetapi oleh kerana setakat lulus sahaja, jawatan yang dipohon tidak pernah berjaya. Sementara menunggu jawatan yang lebih baik dan tetap, Rahimah telah bekerja di kilang kelapa sawit yang kecil di kampungnya di Kuala Selangor.

Setelah tiga tahun bekerja di situ, Rahimah telah berkenalan dengan Syam dan menjejaki pelamin bersama. Mereka mendapat tiga orang anak lelaki dalam usia perkahwinan selama 5 tahun. Hidup Rahimah malang setelah kelahiran anak mereka yang pertama apabila suaminya Syam dibuang kerja kerana terlibat dengan dadah. Syam tidak menunaikan tanggongjawab sebaliknya telah memeras keringat hasil peluh isterinya untuk segala keperluan dirinya termasuk membeli dadah yang ditagihnya.

Setelah anak ketiga lahir dan perbelanjaan semakin besar, Rahimah telah mengadu kepada keluarga suaminya tetapi mereka menempelak Rahimah dan menyalahkan Rahimah kerana membawa ibunya hidup bersama mereka. Ibunya dipersalahkan menyebabkan ketegangan hidup Syam dan menyebabkan penagihan dadahnya semakin parah. Ini tidak diterima oleh Rahimah kerana dia mengetahui suaminya adalah seorang penagih sejak bujang lagi dan pernah masuk ke Pusat Serenti. Setelah berjanji berhenti dari menagih dadah apabila berkahwin barulah Rahimah bersetuju mengawininya tetapi janji tinggal janji.

Rahimah terpaksa mengadu kepada keluarganya dan keputusan dibuat bagi memisahkan mereka. Saksi utama adalah seorang sahabat lelaki yang sama-sama bekerja di kilang kelapa sawit itu. Sebagai seorang sahabat yang ikhlas membantu, Wahid telah mencarikan Rahimah pekerjaan ke sebuah kilang alat elektrik dengan bantuan isterinya yang bekerja di situ. Isteri Wahid adalah juga sahabat baik kepada Rahimah.

Rahimah melalui kehidupan yang getir kerana terpaksa menanggong ibu, tiga anak yang masih kecil dan dirinya sendiri. Sahabat baiknya Samsiah sentiasa membantu setiap kali diperlukan dan begitu juga Wahid. Di luar pengetahuan isterinya Wahid telah bernikah dengan Rahimah. Rahimah menerimanya kerana terhutang budi dan berasa yakin sahabat baiknya Samsiah akan menerimanya sebagai madu.

Apabila Samsiah mengetahui pernikahan mereka telah berusia tiga bulan, Samsiah telah naik angin dan mengamuk. Dia telah memutuskan tali persahabatan dan menjadi musuh kepada Rahimah. Rahimah menolak tuduhan dia merampas suami orang tetapi sebaliknya Wahidlah yang berusaha memikat dan memujuk dirinya menjadi isteri kedua. Wahid juga berasa dirinya mampu kerana sudah dinaikkan pangkat sebagai ketua mandor di kilangnya. Wahid telah diberi kata dua oleh Samsiah dan diwaktu yang sama Samsiah telah berhenti kerja dengan alasan malu dan jika benar Wahid mampu maka dia tidak perlu bekerja lagi di kilang. Tambah pula Rahimah juga bekerja di situ.

Nasib Rahimah banyak yang simpati di tempat dia bekerja kerana perwatakannya yang sederhana jika dibanding dengan Samsiah yang bergaya. Ada yang menawarkan diri untuk mengambil Rahimah jika dia menjanda tetapi semua yang menawarkan diri itu juga telah mempunyai isteri.

Ibu Rahimah yang sering membantu Rahimah dengan hasil kelapa sawitnya juga tidak berdiam diri dan tidak berpuas hati terhadap tokmahan terhadapnya sejak Rahimah bersuamikan Syam dan Wahid. Beliau telah mencarikan ganti jodoh untuk anaknya dan menyuruh Rahimah berpisah dengan Wahid. Wahid terpaksa akur kerana dia mengasihi anak-anaknya seramai 5 orang dan isterinya Samsiah yang telah banyak membantu dirinya dan juga kerana Wahid telah diberi kata dua.Tali perkahwinan Rahimah dengan Wahid pun putus ketika pada hakikatnya mereka masih berkasih-sayang.

Setahun kemudian, Rahimah dijodohkan dengan Baharudin, duda beranak tiga dari Johor atas usaha ibunya sendiri. Usia duda lebih tua 15 tahun tidak menjadi penghalang perkahwinan. Ketika itu Rahimah pun sudah bergelar janda dua kali pada usia yang masih muda iaitu 28 tahun. Mereka telah dikurniakan 2 orang anak perempuan dan pada tahun ini (2010) usia perkahwinan mereka menjangkau 7 tahun.

Baharudin seorang yang baik dan bertanggongjawab tetapi tiada berpendirian tetap dan berpekerjaan tetap. Dia kerap bertukar kerja dan cepat merasa bosan terhadap sesuatu pekerjaan. Baharudin memilik STP awal 1980-an, pernah menjadi kerani sebuah bank terkenal, supervisor Sapura, Setiausaha CEO Kontena National, penolong pengurus kilang ubat homophaty dan lain-lain pekerjaan termasuk pengawal keselamatan dan buruh binaan. Pendapatan tidak menentu ini menyebabkan dirinya terpaksa berhutang dan Rahimah telah menjadi penjaminnya.

Akibatnya, Rahimah tidak pernah berasa bahagia di sepanjang perkahwinannya. Beliau telah beberapa kali mengadu ke pejabat kadi tetapi masalah beliau tidak dapat diselesaikan. Kedudukan ekonomi Rahimah hanya cukup untuk dirinya, 3 anaknya dengan suami pertama dan ibunya. Rahimah terpaksa mengeluarkan belanja untuk 3 orang anak Baharudin dan membayar hutang-hutang suaminya walaupun secara sedikit-sedikit tetapi sangat memeningkan dirinya. Beliau sendiri terpaksa berhutang dengan saudara- mara dan apabila hutang tidak dapat dibayar mengikut janji maka Rahimah akan dicari. Dia terasa dirinya terhimpit gara-gara menanggong suaminya. Ibunya pula telah berubah hati dengan suaminya kerana telah menyusahkan mereka.

Yang menariknya dalam irama kehidupan kali ini ialah penasihat agama kepada Rahimah telah berasa belas kasihan kepada Rahimah. Rahimah pada pendapatnya tidak perlu menderita kerana berpendapatan sendiri dan cukup wang perbelanjaan untuk diri, ibu dan 3 anaknya dari suami yang pertama. Penasihat agama sanggup mengambilnya menjadi isterinya yang ketiga jika Rahimah sanggup menerimanya dan jika ditakdirkan menjanda.
Hal atau isu ini telah ditanyakan kepada Tun Sheikh meminta pandangan. Memang pada mulanya tersemyum juga Tun Sheikh dibuatnya dan hanya berkata bahawa kita sebagai seorang lalaki tidak boleh menaruh harapan dan menjanjikan akan mengawini kepada perempuan yang masih menjadi isteri orang. Itu adalah berdosa.

Ketika ini Rahimah masih seperti cacing kepanasan dan serba-salah kerana suaminya sering bertengkar dengan ibunya. Suaminya pula kuat mempertahankan ego tidak mahu beralah walaupun rumah yang didiami adalah rumah ibu mertuanya. Dalam keadaan resah dan gelisah, Rahimah diberitakan juga tersenyum di sudut hatinya kerana beranggapan telah memiliki tayar gantian........

Oleh Tun Sheikh
 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere