Tuesday, May 29, 2012

Berbelanja Sakan Dan Mendenda Rakyat Untuk Belanja Pilihanraya


Berbelanja Sakan Dan Mendenda Rakyat Untuk Belanja Pilihanraya

Bayangkan jika  tiga orang anak anda meminta bantuan wang  untuk membayar 2 saman polis trafik setiap seorang bernilai purata RM200 setiap saman dalam masa 2 minggu. Anda terpaksa menyediakan RM1200 kerana anak anda tidak mampu membayarnya dengan wang PTPTN yang memang tidak cukup untuk sara diri itu. Hal ini telah mendorong Tun Sheikh untuk menyiasat lebih jauh lagi dan di antara kesalahan lalulintas yang dilakukannya ialah memandu laju 75kmj di kawasan kelajuan 70kmj di hadapan kampus, meletak kereta di bahu jalan kerana mendengar ceramah agama yang dianggap berbau politik di masjid  berdekatan  kampus, lampu isyarat tepi tidak menyala, cukai jalan yang tertanggal di atas dashboard tidak dipaparkan atau dilekatkan di kiri cermin, meninggalkan kereta yang pancit di tepi jalan dan tidak membawa kad pengenalan dan lesen memandu kerana tertinggal di bilik asrama.

 Bila Tun Sheikh bertanya adakah tiada budibicara polis kerana anak-anak Tun Sheikh itu mahasiswa yang tidak berduit dan kena saman ketika meminjam kereta kawan pula. Amat terasa seperti suatu keanihan kerana biasanya anggota polis trafik mempunyai pertimbangan yang baik jika keadaan dan alasan yang diberi adalah lojik dan jujur. Sebagai bapa tentunya anda berusaha mempertahankan nasib atau diri anak sendiri. Memang Tun Sheikh begitu tetapi jika benar mereka seperti samseng jalanan maka Tun Sheikh tidak akan menyebelahi mereka. Bukan apa, ini adalah kerana sebahagian daripada didikan yang diterapkan kepada mereka sangat menekankan  soal moral, maruah dan kemanusiaan.

 Pada dasarnya memanglah patut diterima kerana kesalahan melanggar peraturan memang wajar didenda tetapi apabila difikir dan diselidiki lebih jauh lagi rupa-rupanya ada cerita.  Anak-anak Tun Sheikh cakap, polis suruh datang merayu untuk pengurangan sebelum tempuh tamat. Jika tidak dendanya lebih tinggi. Pening juga Tun Sheikh kerana macam mana pula mereka sudah tahu nilai saman itu. Rupa-rupanya mereka sudah pergi ke balai dan merayu dan polis suruh bayar sebanyak itu tetapi terpaksa  hubungi Tun Sheikh kerana mereka tidak berduit. Terpaksalah Tun Sheikh masukkan duit ke akaun mereka dan suruh mereka pulang pada hujung minggu dengan membawa sekali resit dan salinan saman. Mereka semua pulang dan dua orang anak Tun Sheikh membawa kawannya. Apa yang menariknya ialah kawannya itu adalah anak pegawai polis di tempat mereka belajar di Melaka dan seorang lagi ialah anak polis trafik berpangkat sarjan di ibu kota. Apa kaitannya dan tanpa ditanya anak Tun Sheikh memperkenalkan mereka sebagai bukti terhadap alasan mereka.

Malah bukan itu sahaja,  sahabat anak dari Melaka itu telah coba membantu dengan meminta bapanya camputangan tetapi bapanya hanya dapat memberi  nasihat dan mengingatkan bahawa terdapat arahan atasan supaya kerap mengadakan sekatan dan pemeriksaan dan mengeluarkan sebanyak mungkin saman. Bapanya adalah seorang pegawai yang amanah. Arahan dijalankan dan tujuannya juga dimaklumkan iaitu untuk menambahkan hasil pungutan kerajaan melalui PDRM. Wang ini dikumpulkan dan diserahkan sebagai hasil Negara dan sebahagian akan dikembalikan sebagai peruntukan yang akan digunakan di musim pilihanraya. Seorang lagi sahabat anak Tun Sheikh, memberitahu bahawa bapanya berpesan supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan raya kerana ada arahan supaya menyaman pengguna yang melanggar peraturan dan tidak dibenarkan menggunakan budibicara jika target mengeluarkan saman oleh seseorang anggota polis trafik belum tercapai. Arahan ini kerap keluar apa bila dekat dengan musim pilihanraya.

Sahabat anak Tun Sheikh juga bercerita, ramai sahabat bapanya tertekan dengan arahan ini. Untuk mencukupkan target, mereka kerap mengambil jalan mudah dengan membuat pemeriksaan atau sekatan berdekatan dengan kampus-kampus pengajian tinggi kerana mereka tahu ramai mahasiswa tidak memiliki lessen memandu dan kerap melanggar peraturan jalan raya. Mereka juga sering membuat spot check di kawasan perumahan yang didiami buruh asing. Arahan tidak terhad kepada saman lalulintas tetapi termasuk semua yang boleh disaman kerana matlamatnya ialah kutipan saman yang akan menjadi hasil Negara.

Ketika sembang-sembang dengan jiran Tun Sheikh, seorang inspektor kesihatan DBKL, beliau mengesahkan memang arahan sebegitu sudah menjadi budaya kerajaan apabila menjelang pilihanraya. Beliau sendiri mendapat arahan supaya menggandakan pemeriksaan dan mengeluarkan saman sebanyak mungkin. Beliau juga terdedah dengan cobaan orang yang disaman merasuah dan bagi beliau itu adalah perkara yang susah dihadapinya kerana beliau sangat benci kepada rasuah. Beliau pernah dimaki hamun kerana menolak rasuah. Bagi beliau, jika budaya rasuah dan sebarang penyelewengan tidak ditangani dengan serius maka akan sampai pada suatu masa nanti pekerja-pekerja yang amanah dan jujur tidak berminat bekerja dengan agensi kerajaan yang terdedah dengan rasuah. Jika kerajaan membiarkan budaya rasuah dan diwaktu yang sama mengarahkan agensi yang ada kuasa menyaman untuk mendapat hasil saman daripada rakyat maka akan runtuhlah nilai budaya dan maruah Negara.

Matlamat denda atau hukuman adalah untuk mendidik rakyat supaya mengubah sikap kepada yang terpuji. Tetapi jika pemimpin yang mata duitan sudah gelap mata dengan kebendaan maka hal seperti di atas akan membudaya. Rakyat disaman bukan kerana untuk memperbaiki sikap dan budi mereka tetapi mereka disaman kerana sumber kewangan yang akan masuk ke kantung pemimpin dan untuk kepentingan diri mereka.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
KL 25.5.2012

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere