Sunday, March 14, 2010

POLIGAMI: TAYAR GANTI

RAHIMAH ADA PEMINAT JIKA MENJANDA

Kisah benar ini bukanlah suatu kes yang sensitif tetapi adalah menarik dinukilkan dalam IRAMA KEHIDUPAN yang sama sahaja konsepnya seperti DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN dalam sebuah akhbar Melayu yang semakin pupus. Akhbar yang berjasa itu dijangka akan pupus bukan kerana tiada wibawa tetapi disebabkan kebebasannya telah dicucuk hidung oleh politik sempit Melayu yang berkepentingan.

Kepada para pembaca yang sudah menyampah membaca akhbar berkenaan bolehlah menjadikan blog ini sebagai alternatif. Lagipun ia adalah kisah yang betul-betul terjadi dan dihadapi oleh penulis.

Rahimah adalah seorang gadis kampung yang manis tetapi seperti kebanyakan gadis kampung yang lain, Rahimah memang tidak selalu ke kota lebih-lebih lagi terpaksa tinggal bersama ibunya yang sudah kematian suami. Rahimah memiliki STP tetapi oleh kerana setakat lulus sahaja, jawatan yang dipohon tidak pernah berjaya. Sementara menunggu jawatan yang lebih baik dan tetap, Rahimah telah bekerja di kilang kelapa sawit yang kecil di kampungnya di Kuala Selangor.

Setelah tiga tahun bekerja di situ, Rahimah telah berkenalan dengan Syam dan menjejaki pelamin bersama. Mereka mendapat tiga orang anak lelaki dalam usia perkahwinan selama 5 tahun. Hidup Rahimah malang setelah kelahiran anak mereka yang pertama apabila suaminya Syam dibuang kerja kerana terlibat dengan dadah. Syam tidak menunaikan tanggongjawab sebaliknya telah memeras keringat hasil peluh isterinya untuk segala keperluan dirinya termasuk membeli dadah yang ditagihnya.

Setelah anak ketiga lahir dan perbelanjaan semakin besar, Rahimah telah mengadu kepada keluarga suaminya tetapi mereka menempelak Rahimah dan menyalahkan Rahimah kerana membawa ibunya hidup bersama mereka. Ibunya dipersalahkan menyebabkan ketegangan hidup Syam dan menyebabkan penagihan dadahnya semakin parah. Ini tidak diterima oleh Rahimah kerana dia mengetahui suaminya adalah seorang penagih sejak bujang lagi dan pernah masuk ke Pusat Serenti. Setelah berjanji berhenti dari menagih dadah apabila berkahwin barulah Rahimah bersetuju mengawininya tetapi janji tinggal janji.

Rahimah terpaksa mengadu kepada keluarganya dan keputusan dibuat bagi memisahkan mereka. Saksi utama adalah seorang sahabat lelaki yang sama-sama bekerja di kilang kelapa sawit itu. Sebagai seorang sahabat yang ikhlas membantu, Wahid telah mencarikan Rahimah pekerjaan ke sebuah kilang alat elektrik dengan bantuan isterinya yang bekerja di situ. Isteri Wahid adalah juga sahabat baik kepada Rahimah.

Rahimah melalui kehidupan yang getir kerana terpaksa menanggong ibu, tiga anak yang masih kecil dan dirinya sendiri. Sahabat baiknya Samsiah sentiasa membantu setiap kali diperlukan dan begitu juga Wahid. Di luar pengetahuan isterinya Wahid telah bernikah dengan Rahimah. Rahimah menerimanya kerana terhutang budi dan berasa yakin sahabat baiknya Samsiah akan menerimanya sebagai madu.

Apabila Samsiah mengetahui pernikahan mereka telah berusia tiga bulan, Samsiah telah naik angin dan mengamuk. Dia telah memutuskan tali persahabatan dan menjadi musuh kepada Rahimah. Rahimah menolak tuduhan dia merampas suami orang tetapi sebaliknya Wahidlah yang berusaha memikat dan memujuk dirinya menjadi isteri kedua. Wahid juga berasa dirinya mampu kerana sudah dinaikkan pangkat sebagai ketua mandor di kilangnya. Wahid telah diberi kata dua oleh Samsiah dan diwaktu yang sama Samsiah telah berhenti kerja dengan alasan malu dan jika benar Wahid mampu maka dia tidak perlu bekerja lagi di kilang. Tambah pula Rahimah juga bekerja di situ.

Nasib Rahimah banyak yang simpati di tempat dia bekerja kerana perwatakannya yang sederhana jika dibanding dengan Samsiah yang bergaya. Ada yang menawarkan diri untuk mengambil Rahimah jika dia menjanda tetapi semua yang menawarkan diri itu juga telah mempunyai isteri.

Ibu Rahimah yang sering membantu Rahimah dengan hasil kelapa sawitnya juga tidak berdiam diri dan tidak berpuas hati terhadap tokmahan terhadapnya sejak Rahimah bersuamikan Syam dan Wahid. Beliau telah mencarikan ganti jodoh untuk anaknya dan menyuruh Rahimah berpisah dengan Wahid. Wahid terpaksa akur kerana dia mengasihi anak-anaknya seramai 5 orang dan isterinya Samsiah yang telah banyak membantu dirinya dan juga kerana Wahid telah diberi kata dua.Tali perkahwinan Rahimah dengan Wahid pun putus ketika pada hakikatnya mereka masih berkasih-sayang.

Setahun kemudian, Rahimah dijodohkan dengan Baharudin, duda beranak tiga dari Johor atas usaha ibunya sendiri. Usia duda lebih tua 15 tahun tidak menjadi penghalang perkahwinan. Ketika itu Rahimah pun sudah bergelar janda dua kali pada usia yang masih muda iaitu 28 tahun. Mereka telah dikurniakan 2 orang anak perempuan dan pada tahun ini (2010) usia perkahwinan mereka menjangkau 7 tahun.

Baharudin seorang yang baik dan bertanggongjawab tetapi tiada berpendirian tetap dan berpekerjaan tetap. Dia kerap bertukar kerja dan cepat merasa bosan terhadap sesuatu pekerjaan. Baharudin memilik STP awal 1980-an, pernah menjadi kerani sebuah bank terkenal, supervisor Sapura, Setiausaha CEO Kontena National, penolong pengurus kilang ubat homophaty dan lain-lain pekerjaan termasuk pengawal keselamatan dan buruh binaan. Pendapatan tidak menentu ini menyebabkan dirinya terpaksa berhutang dan Rahimah telah menjadi penjaminnya.

Akibatnya, Rahimah tidak pernah berasa bahagia di sepanjang perkahwinannya. Beliau telah beberapa kali mengadu ke pejabat kadi tetapi masalah beliau tidak dapat diselesaikan. Kedudukan ekonomi Rahimah hanya cukup untuk dirinya, 3 anaknya dengan suami pertama dan ibunya. Rahimah terpaksa mengeluarkan belanja untuk 3 orang anak Baharudin dan membayar hutang-hutang suaminya walaupun secara sedikit-sedikit tetapi sangat memeningkan dirinya. Beliau sendiri terpaksa berhutang dengan saudara- mara dan apabila hutang tidak dapat dibayar mengikut janji maka Rahimah akan dicari. Dia terasa dirinya terhimpit gara-gara menanggong suaminya. Ibunya pula telah berubah hati dengan suaminya kerana telah menyusahkan mereka.

Yang menariknya dalam irama kehidupan kali ini ialah penasihat agama kepada Rahimah telah berasa belas kasihan kepada Rahimah. Rahimah pada pendapatnya tidak perlu menderita kerana berpendapatan sendiri dan cukup wang perbelanjaan untuk diri, ibu dan 3 anaknya dari suami yang pertama. Penasihat agama sanggup mengambilnya menjadi isterinya yang ketiga jika Rahimah sanggup menerimanya dan jika ditakdirkan menjanda.
Hal atau isu ini telah ditanyakan kepada Tun Sheikh meminta pandangan. Memang pada mulanya tersemyum juga Tun Sheikh dibuatnya dan hanya berkata bahawa kita sebagai seorang lalaki tidak boleh menaruh harapan dan menjanjikan akan mengawini kepada perempuan yang masih menjadi isteri orang. Itu adalah berdosa.

Ketika ini Rahimah masih seperti cacing kepanasan dan serba-salah kerana suaminya sering bertengkar dengan ibunya. Suaminya pula kuat mempertahankan ego tidak mahu beralah walaupun rumah yang didiami adalah rumah ibu mertuanya. Dalam keadaan resah dan gelisah, Rahimah diberitakan juga tersenyum di sudut hatinya kerana beranggapan telah memiliki tayar gantian........

Oleh Tun Sheikh

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere