Tuesday, March 30, 2010

MUSLIHAT POLIGAMI ANAK EMAK

YANG DIKEJAR TAK DAPAT YANG DIKENDONG KECICIRAN
CINTA TIGA PENJURU PAKSAAN IBU

Sawiyah anak gadis lincah lulusan dari universiti Amerika hanya ketemu jodoh di usia matang hasil bantuan keluarga. Gadis manis ini terkenal dengan kebebasannya dan kelihatan berubah setelah bernikah dengan suami lulusan agama Universiti Pakistan. Kerana keluarga mereka sekufu dan ada meninggalkan harta, Sawiyah telah menjadi suri rumah sepenuh masa.

Bernikah pada usia 30 tahun dan pernah keguguran, memang banyak risikonya untuk hamil secara normal. Doktor telah mengesahkan bahwa Sawiyah tidak boleh hamil kecuali sekali sahaja dengan risiko yang tinggi. Dengan teknologi tinggi Sawiyah dan suami telah memilih pensenyawaan benih kembar sepasang dan berjaya dilakukan dengan kos yang sangat mahal.

Bagi mengenang jasa doktor pakar perbidanan, Sawiyah dan suami bercita-cita mendidik anak mereka menjadi doktor dan bermenantukan doktor apabila anak kesayangan dewasa. Amir dan Amira dibesarkan dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Anak kembar ini juga bijak seperti ibu bapa mereka dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di UKM. Bersama-sama kumpulan rapat mereka sejak di matrikulasi hingga ke universiti ialah Yati dari Muar dan Rita dari Pontian. Mereka berempat tidak pernah berpisah.

Dalam senyap-senyap, Amir mencintai Yati dan cintanya berbalas. Pada waktu yang sama Rita pula mencintai Amir juga berbalas tetapi Amir lebih mencintai Yatie. Disebabkan pengaruh hayalan dunia percintaan, Amir dan Yatie tidak dapat fokus kepada pelajaran dan mereka tersingkir dan melanjutkan pelajaran ke bidang sains. Tamat sahaja belajar Amir terus mendesak keluarganya untuk bernikah dengan Yatie. Kedua orang tua Amir dan Yatie kecewa dengan kegagalan mereka tetapi mereka mengikut sahaja kehendak anak-anak mereka.

Amir bekerja sebagai penyelidik dan Yatie sebagai Ahli Sains di UKM sementara beliau menyelesaikan sarjananya.Rumah tanga mereka berdua bahagia dan dikurnia dua orang anak perempuan setahun satu. Tetapi suasana keluarga ibubapa Amir kelabu dan kelam kerana ibunya memendam rasa. Sawiyah tidak dapat menerima kenyataan dan menyalahkan Yatie sebagai penyebab Amir gagal menjadi doktor. Adiknya Amira dan sahabat baik mereka Rita berjaya menjadi doktor ketika Amir dan Yatie sibuk menimang cahaya mata.

Setelah menjadi doktor, Rita bertambah bebas di rumah ibu bapa Amir seperti rumah dan keluarganya sendiri. Sawiyah pula sering jatuh sakit kerana keharuan perasaan cita-cita tidak tercapai. Suaminya Bakar sentiasa memberi semangat dan memujuknya agar menerima ketentuan Tuhan. Rita dan anak gadis mereka Mira, sama-sama merawat Sawiyah dan Sawiyah sungguh telah menyayangi Rita dan telah meluahkan kehendaknya agar Rita menjadi menantunya.Rita bersetuju dengan senyuman yang lebar tetapi memberi syarat dia tidak mahu bermadu.

Sawiyah telah memaksa Amir menceraikan isterinya. Pada ketika itu Yatie sedang mengandung anak ketiga berusia 3 bulan. Amir adalah anak yang soleh dan taat. Amir tidak sanggup dianggap derhaka oleh ibunya jika tidak mahu bercerai.Bapanya Bakar yang faham agama dan penyokong kuat PAS Melaka tidak dapat berbuat apa-apa kerana risaukan kesihatan isterinya. Dia seperti tiada kuasa lagi dan tertekan dengan sikap isterinya yang amat keras dan degil walau sudah 25 tahun mentarbiayahnya. Dia telah melepaskan semua jawatan parti kerana malu dan tidak mahu masalahnya menjadi aib parti.

Bakar telah menyerahkan kepada Amir sahaja supaya membuat keputusan. Dia mengambil jalan berkecuali. Amir telah berbincang dan membuat rancangan dengan isteri dicintainya. Yatie juga juga mempunyai perwatakan soleha. Beliau taat kepada suami.
Mereka bersetuju bercerai dan akan rujuk sebelum tamat edah secara rahsia. Amir akan mengikut kehendak ibunya supaya berkahwin dengan Rita. Yatie rela bermadu kerana yakin kepada ketulusan Amir.

Di depan ibunya Sawiyah,bapanya Bakar dan adiknya Mira dan bapa saudaranya iaitu kadi tempatan Melaka, Amir melafazkan talak terhadap isterinya Yatie. Minggu berikutnya Sawiyah telah meminang Rita di Pontian. Sawiyah telah berpakat dengan Rita bagaimana perkahwinannya harus berlaku dalam masa sebulan sahaja.Ini adalah kerana ibu bapa Rita menolak agar terus bernikah kerana Rita adalah anak dara walaupun Amir seorang duda. Keluarga mereka dari suku Bugis di Pontian yang terkenal menjaga adat dan kebudayaan Bugis.

Apabila bapa Yati mendengar anaknya diceraikan dalam keadaan sedang hamil, Rahman dan keluarganya naik angin. Ibu bapa Yatie dan ibu bapa Amir tidak mengetahui persetujuan dan perencanaan Amir dan Yatie. Rahman sangat tidak berpuas hati terhadap layanan keluarga Amir. Sebelum ini mereka sangat hormat kepada mereka kerana fahaman politik. Kelurga Yatie penyokong Parti Keadilan. Dalam beberapa pertemuan maka terkeluarlah semua hal termasuk ungkit mengunkit tentang fahaman parti masing-masing. Rahman dan isterinya terasa tercabar seperti diperbodohkan padahal mereka berdua juga berijazah dan baru pencen dari jawatan tinggi kerajaan. Rahman telah mengheret kes anaknya ini ke mahkamah.

Rahman juga telah menyiasat keluarga Rita dan berjumpa dengan Penghulu Kampung di Pontian. Keluarga Rita amat terkejut kerana mereka dimaklumkan bahawa Amir seorang duda sudah lama berpisah dan mereka tidak pernah mendengar Amir dipaksa menceraikan isterinya untuk berkahwin dengan Rita. Keluarga Rita juga berpelajaran tinggi dalam agama dan banyak menjadi pegawai agama kanan Johor. Tetapi majoriti mereka adalah penyokong tegar UMNO.Keputusan mereka banyak dipengaruhi fahaman politik. Mereka telah membatalkan pertunangan dan pernikahan Rita dan pernah tersembul dari mulut mereka mengatakan biarlah mereka orang PAS dan Keadilan bercakaran, kita UMNO tidak mahu campur kecuali jadi pemerintah bijaksana dan hidup senang.

Masa berjalan begitu pantas dan dalam kecelaruan ini edah Yatie pun tamat kerana Amir serba salah dan tidak tahu bertindak tegas. Ibunya pula terus mendesak manakala Rita dalam dilema kerana keluarganya tidak merestui pernikahannya. Bakar pula telah tidak ke masjid kerana malu apa yang terjadi terhadap dirinya seorang ustaz kerajaan yang dihormati.

Apabila telah menjadi kes mahkamah, kedua belah-pihak terasa tergugat kerana mahkamah bertambah menyulitkan keadaan. Cerita dalam kelambu lebih banyak terkeluar tetapi tiada keputusan segera kecuali berlarut-larut. Padahal ini sama sekali tidak diduga oleh Amir dan Yatie lalu mereka mengeluarkan surat persetujuan dan kerelaan bersama bahawa Yatie sanggup menyerahkan kesemua anaknya termasuk anak lelakinya yang baru lahir kepada Amir dan ibu mertuanya Sawiyah. Hal ini sangat memeranjatkan keluarga Yatie dan Amir telah menang dalam perbicaraan.

Rahman telah menemui Tun Sheikh meminta pandangan. Setelah Tun Sheikh bertemu Yatie dan Amir dan memikirkan telah diputuskan mahkamah maka Tun Sheikh nasihatkan mereka supaya membetulkan rencana mereka dan sementara waktu, ambillah keputusan jalan tengah agar sama-sama terbela dan terasa terjamin tidak khuathir dianiaya. Amir dan Yatie berjanji akan bersatu semula apabila keadaan pulih dan Amir bersetuju hanya mengambil anak sulung di bawah pemeliharaannya dan nafkah adalah sebagaimana ditetapkan oleh mahkamah dan masing-masing berhak menjengok dan mengambil sementara anak-anak mereka.

Ketika irama kehidupan ini ditulis mereka masih belum bersatu kerana ibu Amir jatuh sakit. Bapanya seperti hilang keyakinan memimpin masyarakat. Yatie pula sedang membuat PHD dan ibu bapanya pula masih berkeras tidak mahu menerima Amir kerana keluarga Amir telah menghina mereka. Rita telah keluar negeri melanjutkan pelajaran perubatan pakarnya. Mira masih di sisi keluarga dan merawat ibunya dengan taat dan bercuti dari melanjutkan pelajaran manakala hubungan percintaan dengan kekasihnya yang juga seorang doktor diputuskan sementara. Manakala Amir juga seperti adiknya Amira, masih tinggal bersama ibunya Sawiyah sebagai anak emak dan tidak berani membuat keputusan. Hidup sehariannya dalam keadaan resah dan gelisah kerana serba salah.

Ini adalah satu daripada kisah benar yang pernah Tun Sheikh janjikan akan menulisnya di blog ini. Semoga kita dapat menghayati dan mengambil pelajaran daripadanya.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

1 comment:

  1. Kisahnya bercelaru.Irama kehidupannya lebih-lebih lagi merumitkan.Umpama lagu tanpa iramanya.Inilah masalahnya apabila seorang perempuan menjadi raja.Fikir-fikirkanlah..

    ReplyDelete

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere