Thursday, May 6, 2010

ORANG MELAYU AKAN RUNTUH

PENYAKIT MELAYU PERLU DIUBATI SEGERA

Melayu kontemporari samada sedar atau tidak sebenarnya sangat cekap menguasai politik dan pentadbiran awam. Dalam politik, sejarah tamaddun dan kebudayaan Melayu, banyak mempengaruhi teras politik Melayu dari dulu hingga terkini. Dalam sistem pentadbiran pula, Melayu diterap dan dipengaruhi oleh sistem pentadbiran Inggeris yang lebih moden, maju dan kemas.

Akhir-akhir ini sistem nilai standard dunia tidak lagi meletakkan negara ini dalam senarai negara yang baik dalam politik dan pentadbiran awam. Pada waktu yang sama kita masih berasa atau hanya berperasaan bahawa kita masih berada di kumpulan terbaik. Penurunan pandangan orang luar terhadap kita telah merosot manakala kita berfikir kita masih terbaik. Ini merupakan masalah besar dalaman yang perlu diperbetul dan diubah atau dibaiki segera. Masalah ini sebenarnya adalah penyakit yang parah tetapi jika diri kita tidak mengetahui dan merasainya maka ini adalah penyakit kronik yang boleh membunuh.

Apakah puncanya atau apakah penyakit kronik yang sedang kita hidapi? Ini boleh kita kesan dan mengambil pengajaran dari keluhan beberapa pengusaha bertaraf antarabangsa dan pengusaha kecil yang bekerja cukup untuk membayar gaji empat orang pekerja dan dirinya sendiri. Maklumat ini boleh didapati dari mereka yang menjalankan perniagaan sebagai perantara dan juga dari pemilik sayarikat kecil itu sendiri. Mereka memberi pandangan yang sama iaitu mengapa mereka mesti bayar kepada mereka itu padahal mereka berperanan memmbantu memajukan negara ini.

Kevin seorang pemilik sebuah syarikat yang besar dan 30 tahun pengalaman, bercerita perniagaannya merosot 45% dan kini memasuki tahap berisiko kerana berkemungkinan terpaksa memberhentikan 50% dari sejumlah 1,000 orang pekerjanya. Ini adalah kerana pencapaian sayarikatnya menarik pelabur asing jatuh menjunam. Dalam perbincangannya, sebab atau alasan utama yang diberikan oleh pelabur asing ialah kerenah politik dan agensi kerajaan yang menguruskan legasi dokumen. Maksudnya, negara ini mempunyai sistem dan peraturan perdagangan antarabangsa yang baik dan mudah diterima tetapi mereka terasa dipersulitkan oleh tangan-tangan gaib politik dan pentadbiran awam kerana menuntut wang pelincir (rasuah).

Pelabur asing merungut dan berasa kesal mengapa mereka harus menangung pembayaran yang tidak perlu yang akhirnya kos ini dimasukkan dalam harga produk. Bagi ahli perniagaan antarabangsa, nilai pertukaran asing tidak boleh dijadikan alasan tidak seberapa kerana nisbah nilai pertukaran wang yang berlainan. Apa yang mereka utamakan ialah julat keuntungan yang besar bagi memastikan hayat dan kemajuan serta pengembangan perniagaan itu sendiri. Apabila menyebut saja niat pelaburan mereka yang ingin berdagang di negara ini akan mudah dan dapat dibantu oleh orang politik atau kerabat diraja mereka semacam telah mendapat pengajaran dari teman-teman yang telah terkena agar bertukar ke negara lain. Ini belum lagi penyakit yang disebabkan oleh kerenah birokrasi jabatan atau pejabat pentadbiran awam yang berpunca dari ketua dan pegawai mahupun kakitangan.

Amat susah kita hendak menerima kenyataan ini tetapi pada hakikatnya kemasukan pelaburan asing ke negara kita memang telah menurun ke 40% . Kita seolah-olah berpuas hati dengan alasan bahawa mereka lebih suka ke negeri Cina kerana upah pekerja dan kos perbelanjaan hidup di sana rendah. Kalau benar begitu mengapa Indonesia juga kehilangan pelabur asing. Mengikut kajian statistik, pendidikan rakyat kita dan Indonesia dengan mudah boleh menampung atau menyediakan pekerja berpendidikan yang murah tetapi mengapa mereka tidak berminat lagi melabur di negara kita?

Satu lagi jawapan yang patut direnungkan ialah pengalaman pengusaha kecil tempatan. Samsudin menceritakan bahawa bayaran untuk kerja-kerja kecil yang dilakukan oleh syarikatnya selaku tukang cuci dan bersih bangunan dan di setengah tempat sebagai penyelenggaraan taman atau lanskap di negeri Selangor, tidak pernah menerima bayaran secepat dua minggu dari tarikh tuntutan. Apabila bertanya kepada ketua pengarah atau pengarah jabatan berkaitan, beliau difahamkan imbois atau bil-bil tuntutannya ada yang tersilap dan tidak mengikut prosidur. Tetapi apabila bertemu sendiri dengan kerani yang menyediakan dokumen pembayaran, tidak ada apa-apa masalah pula kecuali kerana beliau jarang mengajak mereka keluar minum atau belanja makan. Akhirnya beliau faham, syarikat yang menyelitkan Rm10-20 diutamakan dulu.

Bayangkan jika seorang kerani kecil sebegini telah membudaya dengan duit upah (rasuah) maka jika besar projek dan pembayarannya maka besar dan tinggi juga pangkat pegawai yang bermain wayang di sebalik urusan proses pembayaran. Apabila masalah dari peringkat sekecil ini telah membudaya hingga ke peringkat pelaburan asing yang berjuta-juta maka amat jelas dan yakinlah kita bahawa negara kita sedang menunggu kehancuran jika penyakit ini tidak segera diubati. Ini adalah penyakit kronik seumpama barah yang akan menyebabkan kematian.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere