Sunday, September 19, 2010

Pentaksub UMNO Mendapat Pentunjuk Pada Syawal 2010

Selamat Hari Raya 2010 dan Maaf Zahir Batin. Pada 1 Syawal rumah kampung Tun Sheikh tidak putus tetamu yang terdiri dari saudara mara terdekat. Kami telah sekian lama ada persefahaman menetapkan hari raya pertama adalah khusus untuk menziarahi saudara tua-tua terdekat seperti datuk, nenek,ibu bapa, emak saudara, bapa saudara, adik beradik dan tidak lupa juga untuk menziarah kubur. Pada hari raya kedua dikhususkan pula menziarahi saudara mara terdekat, keluarga sepupu muda atau tua, anak-anak saudara dan lain-lain. Manakala pada hari raya ketiga barulah menziarahi sahabat handai dan teman taulan.

Ketika emak saudara menjengok adiknya (bapa mertua Tun Sheikh), dia memesan supaya Tun Sheikh sekeluarga datang beraya ke rumahnya yang tidak jauh iaitu kira-kira 2 km sahaja dari rumah kampung kami. Setiap tahun memang Tun Sheikh sekeluarga pergi beraya ke rumahnya di sebelah petang. Bila sampai, kami mesti makan ketupat yang dihidangkan walau pun pagi-pagi lagi sudah ada anak atau cucunya menghantar ketupat dan lauk-pauk yang dikirim dengan mangkuk tepin. Sudah menjadi adat dalam kalangan orang Johor, jika pada bulan puasa, juadah berbuka bertukar-tukar sesama jiran dan begitu juga ketupat pada pagi raya. Pada hari raya pertama, kadang-kadang hingga 5 atau 6 kali makan ketupat. Pada tahun ini agak aneh, dia beria-ia benar mengajak datang tapi tanpa nasihat seperti biasa. Dulu kalau dia ajak datang dia sering pesan bila datang ke rumahnya nanti jangan cerita pasal politik. Selain itu ok… sebabnya ialah anak perempuannya yang tengah, sekeluarga sangat taksub kepada pemikiran UMNO.

Tidak kira sesiapa yang menjadi tetamu, anaknya suami isteri akan bercerita dan berkempen tentang UMNO seolah-olah sedang di musim pilihanraya. Semuanya UMNO baik dan tiada sedikit pun buruk atau busuk seperti orang sedang dilamun cinta, semuanya wangi. Bayangkanlah 2 abang, 2 kakak, 2 adik lelaki dan 2 adik perempuannya berserta keluarga besar mereka semuanya dipengaruhi dengan falsafah dan pemikiran UMNO. Mereka semua tidak berani membantah dan bertukar-tukar fikiran. Mereka seperti kelihatan 100% bersetuju walau pun sebenarnya banyak yang menentang tetapi semuanya tidak berbalah kerana sangat hormat kepada Kak Siah dan suaminya, Abang Ali. Sampai kepada cucu-cucu mahupun menantu dan ipar-duai pun akur dengan pengaruh Kak Siah sebab Kak Siah sangat berjaya dalam keluarga Makcik. Dia juga berjaya merubah cara hidup atau melonjakkan taraf hidup keluarga besar Makcik daripada pekebun yang biasa dengan hidup sederhana kepada sebuah keluarga besar yang berpelajaran tinggi.

Hasil daripada tunjuk ajar dan bimbingannya, sanak saudara dan adik-adiknya termasuk anak-anak buahnya mendapat pelajaran sempurna. Ramai yang mempunyai Phd, master atau sarjana dan ijazah sarjana muda boleh dikatakan semua memilikinya. Keluarga Kak Siah dan Abang Ali sendiri adalah contoh keluarga yang berjaya. Mereka mempunyai 4 orang anak, 3 perempuan dan seorang lelaki. 2 memiliki Phd dan 2 memiliki sarjana dan sedang diberi galakan dan dorongan untuk membuat Phd. Pokoknya, keluarga besar kami khasnya keluarga Mak Cik dan Kak Siah sangat terkenal di Parit Jawa Muar. Terkenal dengan berpendidikan tinggi bukan terkenal seperti orang lain yang banyak harta atau kaya dengan kebun atau mewarisi kekayaan orang tua-tua dulu.

Kak Siah sebenarnya hanya berkelulusan SPM dengan keputusan yang sederhana dan bekerja sebagai kerani atau pembantu tadbir di UPM. Kerana terpengaruh dengan aktiviti UMNO, dia sendiri telah berusaha dan bekerja keras membantu keluarga dan di waktu yang sama belajar secara jarak jauh yang pada ketika itu terkenal dengan nama sekolah malam. Beliau berjaya memperolehi diploma dan kemudian ijazah sarjana muda walau pun pada usia yang agak lewat. Beliau sentiasa memberi galakan dan dorongan kepada adik-adik dan anak-anak buahnya supaya menyahut seruan UMNO terutamanya terhadap pelajaran. Beliau sendiri akhirnya berjaya menjawat Ketua Pendaftar dan bersara dengan jawatan itu di UPM sejak 14 tahun lalu.

Setiap tahun apabila Tun Sheikh bertamu ke rumah ibunya, tiada orang lain yang melayan kami kecuali Kak Siah dan Abang Ali. Keluarga lain bukan tiada bersama tetapi mereka hanya diam mendengar Kak Siah dan Abang Ali melayan kami atau tetamu. Cerita tentang pelajaran boleh dikatakan sampai 50% sama ada suka atau tidak, diperdengarkan dan diberi galakan dan dorongan. Selalunya kepada saudara mara yang meminta nasihat mencari pekerjaan, dia akan menasihatkan agar melupakannya tetapi hendaklah berazam untuk terus belajar atau melanjutkan pelajaran dan mencari kemahiran. 30% perbualan adalah berkisar dengan politik UMNO Johor dan UMNO pusat dan bakinya berkaitan kekeluargaan.

Suaminya, Abang Ali juga seperti mempunyai prinsip dan dasar yang sama. Beliau juga seperti Kak Siah tetapi kerana faktor usia dan sebagai seorang lelaki beliau hanya tamat dengan diploma. Diploma pada zamannya bukanlah seperti sekarang. Ketika angkatannya, hanya anak orang berada sahaja yang berpeluang menuntut atau melanjutkan pelajaran tinggi. Abang Ali berasal dari Melaka. Walau bagaimana pun Abang Ali sempat menjawat jawatan profesional melalui pengalaman dan kemahiran. Yang bagusnya tentang pasangan Kak Siah, ialah semangat dan nasihat mereka adalah ikhlas demi untuk keluarga dan bangsa Melayu. Mereka juga menjadi teladan dan realiti. Mereka juga tidak suka membuang masa kepada perkara yang sia-sia dan juga anti rasuah atau anti salah guna kuasa.

Peliknya pada tahun ini Kak Siah tidak layan kami seperti dulu. Kami sebenarnya ikut juga nasihat dia tetapi tidak semua. Sebab anak-anak kami, kami dedahkan dengan pendidikan sains Islam. Ada yang telah menjadi graduan dan beberapa orang lagi di UIA dan UTM dan beberapa anak sedang berada di peringkat sekolah menengah asrama agama. Dia tidak mendabik dada lagi seperti dulu-dulu dengan penuh semangat dan beria-ia mempengaruhi kami.Kami tercari-cari dan ternanti-nanti buah dan prihal cerita darinya yang dapat memberi jawapan dan memuaskan hati dan fikiran kami. Rupa-rupanya kami memang segaja dipesan dan diundang supaya datang untuk bertukar-tukar fikiran kerana hanya Tun Sheikh sorang yang berani mengeluarkan pendapat selama ini walaupun tidak sekata dengan kesukaan atau pemikiran UMNOnya.

Keberanian Tun Sheikh adalah kerana pembawaan diri yang memang degil untuk tidak mengikut kata orang lain jika mereka tidak dapat menundukkan hujah dan dalil atau fakta yang Tun Sheikh gunakan dalam setiap perbualan mahupun penceritaan. Tun Sheikh pula memang sangat gemar berhujah dengan dalil dari quran dan hadis dan logik serta adat-adat dan kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syariat atau amalan agama.

Rupa-rupanya hal itu lah yang menarik diri Kah Siah dan suami. Dia baru sedar bahawa semua keluarga diam seolah-olah menyetujuinya 100% adalah kerana hormat kepada dirinya. Takut pun ada sehingga tiada yang berani menolak pandangan-nya sehingga beliau berasa pelik kerana gagal mendapat buah fikiran bernas dari akal pemilik Phd, sarjana dan sebagainya. Suasana realiti dan perkembangan politik UMNO semasa pula sangat mencabar dirinya. Politik UMNO dirasai sangat rencam dan terumbang ambing kerana pecah amanah dan jahil dalam agama.

Akhirnya dia mengaku sendiri seolah-olah dirinya gagal meskipun semua orang berjaya dipandu dan didorongnya. Beliau sangat-sangat tersentuh perasaannya apabila anak kandungnya sendiri yang memiliki Phd gagal dalam hidup berumah tangga. Anak perempuannya telah bercerai dengan suaminya yang juga memiliki ijazah Phd dan penceraian ini menyebabkan 3 orang cucunya yang berusia 11, 9 dan 7 tahun ditinggalkan pada Kak Siah untuk menjaga mereka. Beliau tercari-cari apakah kekurangan ilmu yang telah dibekalkan kepada anak-anaknya dan semua orang tua-tua dulu yang mempunyai sedikit ilmu dan amalan agama memberitahu kepadanya bahawa beliau telah meninggalkan kepentingan ilmu agama yang menyebabkan anak-anak yang berjaya walau memiliki Phd telah gagal dalam hidup. Tun Sheikh hanya mengia dan mengesahkannya dan dia berasa insaf dan berazam untuk menghantar cucu-cucunya ke sekolah sains agama.

Apabila ditanya lagi….Tun Sheikh memberi pengakuan dan bersetuju dan memberitahunya bahawa Tun Sheikh sekeluarga mengucap syukur kerana selama ini terasa keluarga Tun Sheikh sering diperlekehkan oleh mereka kerana memberi pendidikan agama yang disangka akan hanya menjadi orang kelas kedua. Tun Sheikh menjelaskan bahawa, hati kita memang mudah terbuka kepada kebajikan daripada kebatilan kerana selama ini kita ikhlas dan tidak suka kepada kecurangan dan tidak terlibat dalam pelbagai rasuah yang diamalkan oleh UMNO. Kak Siah dan Abang Ali mengangguk-angkuk tanda bersetuju dan wajah mereka berseri tanda senang hati. Yang seronoknya, apabila mereka berkata mereka tidak akan menyokong UMNO dengan membabi buta lagi kerana kini mereka sadar UMNO telah banyak mempersenda dan tidak serius dalam hal agama. Tun Sheikh sekeluarga tersenyum sahaja….

Selamat Hari Raya 2010 dan Maaf Zahir Batin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere