Tuesday, December 28, 2010

Pesara Pengarah Pendidikan Insaf

Mendidik Orang Bawahan dan Diri Sendiri
Bekas Pengarah Pendidikan Insaf


Cikgu Kassim sudah lama tidak lagi dipanggil Cikgu kecuali di kampungnya. Beliau lebih senang dipanggil Encik Kassim. Ini adalah kerana alam atau dunia sebagai tenaga pengajar di sekolah ketika menjadi guru sudah lama ditinggalkannya. Beliau pernah menjadi guru selama 15 tahun dan kemudian menjadi pegetua selama 3 tahun. Setelah itu beliau dilantik menjadi pegawai pendidikan dan bersara wajib dengan jawatan timbalan pengarah negeri. Ketika ini Cikgu Kassim telah 4 tahun bersara dan berusia 60 tahun. Beliau kelihatan bahagia dengan 5 orang anak yang telah dewasa dan 3 cucunya yang berusia di antara 2 hingga 6 tahun.

Orang kampong agak berasa janggal apabila Cikgu Kassim meminta mereka memanggil beliau dengan panggilan Encik Kassim saja. Cikgu Kassim sebenarnya memandang rendah dan berasa dirinya tidak setaraf dengan gelaran cikgu kerana beliau bersara sebagai timbalan pegarah pendidikan negeri. Bekas murid-muridnya pula didapati kurang memberi penghormatan kepada beliau sebagai bekas guru yang pernah mengajar mereka. Ini adalah kerana sikap Cikgu Kassim tidak disukai ramai muridnya. Orang kampong pula lebih suka memanggil cikgu seperti adat kebiasaan dan tanda penghormatan.

Di kalangan guru-guru yang mengenali dan yang pernah berurusan dengan Cikgu Kassim, menganggap Cikgu Kassim seorang yang sangat mementingkan status social dan seorang pendendam. Mereka tidak suka bercerita tentang diri Cikgu Kassim. Ini adalah kerana cerita murung lebih banyak daripada cerita gembira ketika berurusan dengannya. Beliau dianggap seorang pegawai atasan yang tiada tolerensi dengan para guru ketika memegang jawatan tinggi di Jabatan Pendidikan Negeri. Beliau tidak pernah menunjukkan rasa ihsan dan simpati kepada guru-guru yang berhadapan masalah pribadi atau keluarga. Masalah murid dan hal ehwal sekolah atau pentadbiran sekolah juga dianggapnya remeh-temeh.

Alasan beliau tidak mempedulikan sebarang cadangan atau rayuan guru atau pegawai bawahan ialah pengalaman beliau ketika menjadi guru. Beliau sering memperlekeh guru-guru yang datang memaklumkan masalah. Beliau beranggapan jika beliau dapat mengatasinya ketika menjadi guru, beliau mahu mereka juga menghadapi dan mengatasinya sendiri seperti pernah beliau lalui.

Seorang daripada mangsa Encik Kassim ialah Cikgu Jamaliah. Permohonan beliau untuk bertukar atau berpindah sekolah kerana mengikut suami dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur tidak disokong oleh Encik Kassim. Akibat dari keputusan itu Cikgu Jamaliah terpaksa hidup sendirian mengurus anak-anaknya yang ramai dan masih kecil di Johor Baharu. Suaminya terpaksa berulang-alik seminggu sekali. Encik Kassim juga pernah menyekat atau tidak menyokong kenaikan pangkat Cikgu Jamaliah sebagai pengetua kerana Cikgu Jamaliah enggan berpindah ke sekolah di sebuah kampong terpencil yang jaraknya 100 km dari rumahnya di Johor Bahru meskipun ditawarkan pangkat guru penolong kanan.

Setelah suami Cikgu Jamaliah menyiasat dan meminta bantuan kenalannya, Cikgu Jamaliah dibenarkan terus mengajar di sekolah asal tetapi jawatan pengetua dan tawaran pemangkuan ditarik balik. Dua tahun kemudian Cikgu Jamaliah mendapat kembali skim gaji pengetua kerana kekanan tanpa menyandang jawatan itu. Suami Cikgu Jamaliah juga mendapat maklumat bahawa Cikgu Kassim ialah seorang penyokong UMNO tegar dan tidak suka pembawaan diri Cikgu Jamaliah yang kelihatan Islamik. Kejayaan Cikgu Jamaliah membimbing murid-muridnya hingga tidak ada yang gagal dalam mata pelajaran, malah graf kejayaan terus meningkat dari tahun ke setahun tidak dihiraukannya.

Ironinya, sekolah tempat Cikgu Jamaliah mengajar sering diarah oleh Encik Kassim membuat atau mencoba program baru yang dikelolakannya. Cikgu Jamaliah sering dikerah menjadi urusetia dan beliau melaksanakannya tanpa bantahan. Rupa-rupanya kepatuhan Cikgu Jamaliah dan kawan-kawannya yang lain dipergunakan semaksima mungkin oleh Encik Kassim untuk menjayakan program-program beliau. Setelah Encik Kassim bersara, hal ini terbongkar kerana Encik Kassim dianggap sebagai seorang pegawai tinggi jabatan pendidikan yang tidak berhati perut. Beliau telah mengguna kuasanya kerana tidak ramai guru-guru yang suka dan bersedia mematuhi arahannya.

Baru-baru ini Cikgu Jamaliah dihubungi oleh kawan-kawan guru sekolahnya memaklumkan bahawa Encik Kassim ingin bertemu mereka untuk meminta maaf. Encik Kassim pernah mengaku menyuruh pengganti beliau supaya meniru teknik beliau memperguna guru seperti Cikgu Jamaliah dan kawan-kawan tanpa mempeduli masalah pribadi mereka. Encik Kassim diberitakan telah insaf, menyesal dan mengaku kesilapan dirinya mengguna kuasa. Keinsafan dan kesedaran ini adalah berikutan perceraian anak perempuannya yang juga seorang guru kerana gagal berpindah mengikut suami ke Kuala Lumpur. Anaknya telah diceraikan dan 3 orang cucu terpaksa dipelihara oleh Encik Kassim.

Apabila Cikgu Jamaliah bertanya kepada suaminya apa yang harus dilakukan, suaminya mengesyorkan Cikgu Jamaliah memaafkan Encik Kassim tanpa perlu bertemu dan menghubunginya malah tidak perlu memberitahu sesiapa kecuali Tuhan. Suami Cikgu Jamaliah beranggap derita dan pengajaran kepada Encik Kassim adalah wajar kerana sehingga kini telah 5 tahun Cikgu Jamaliah masih tidak dapat berpindah mengikut suami angkara Encik Kassim yang mementingkan diri sendiri. Didikan Encik Kassim kepada pegawai penggantinya terhadap teknik yang digunakan masih diamalkan oleh pegawai-pegawai pendidikan yang hidung tinggi bukan sahaja di Johor malah terdapat diseluruh negara. Mereka mungkin lupa bahawa balasan dan takdir Tuhan juga sedang menanti mereka sebagaimana yang sedang dihadapi dan dideritai oleh Encik Kassim.

Orang kampong fikir Encik Kassim bahagia dengan keluarganya tetapi sebenarnya sedang sengsara akibat perbuatannya sendiri yang tidak berhati perut ketika berkuasa………

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere