Wednesday, April 20, 2011

Kalau Jodoh Tidak Ke Mana

Kalau Jodoh Tidak Ke Mana

Soal Jodoh, Kematian dan Hukum-hakam Bukanlah Mainan

Namun, Usaha dan Ikhtiar Serta Tawakal Adalah Menjadi Tuntutan

16 April 2011 Tun Sheikh balik kampung di Muar menghadiri majlis pertunangan. Tun Sheikh menjadi wakil atau juru cakap bagi sebelah anak saudara perempuan Tun Sheikh. Kerana mewakili sebelah perempuan dan mengetahui keputusan risikan terdahulu, maka banyaklah mendengar dari berkata-kata. Sebelum itu kakak Tun Sheikh sudah beri bayangan bahawa pihak lelaki akan datang dan menawarkan wang hantaran sebanyak RM10,000 serba satu dan hari pernikahan atau walimatulurus itu akan berlangsung pada bulan Syawal tahun ini. Ketika berbincang Tun Sheikh dapati agak banyak istilah yang disalah pakai dan Tun Sheikh terus kepada pokok persoalan dengan bahasa yang mudah. Pihak lelaki sesama sendiri seolah-olah tidak pasti untuk menentukan istilah serba satu, serba berdiri, bersih atau suci dengan barang iringan, hadiah dan sebagainya. Sebelum itu, kakak Tun Sheikh kata, mereka menawarkan RM10,000 serba satu dan hadiah iringan, masa mereka datang merisik sebulan lepas.

Ketika majlis meminang, bakal tunangnya dan ibunya pula, tanpa memberitahu pihak keluarga mereka dan juga kakak Tun Sheikh, telah menghadiahkan perbelanjaan membuat kemah atau garaj kereta kekal, menghantar tukang solek dan membuat pelamin pertunangan. Kakak Tun Sheikh sekeluarga terkejut tetapi tentulah suka. Hal ini terjadi kerana ibunya begitu gembira anak sulong mereka dapat bertemu jodoh insyaallah kerana telah berusia 32 tahun. Sebelum itu dia tidak pernah menunjukkan minat untuk berumahtangga. Dengan itu Tun Sheikh dapat mengagak kenapa bapa saudara sebelah lelaki atau wakil mereka seperti belum ada kata pemutus samada RM10,000 atau RM12,000 dan sebagainya. Masa risik katanya RM10,000 serba satu tapi jadi RM12,000 pula dan dengan serbanya yang seperti tidak pasti. Lalu Tun Sheikh putuskan bahawa pihak kami menerima RM12,000 bersih berserta barang iringan dan hadiah. Ini adalah kerana sebelum itu, bila Tun Sheikh tanya anak saudara perempuan, dia ada membayangkan mereka mungkin menawarkan lebih daripada itu. Mungkin RM15,000 atau RM16,000 kerana gembira tapi mungkin adik-beradik ibunya tidak sependapat.

Anak saudara Tun Sheikh juga pernah cerita, mereka berdua sebenarnya sama pejabat dulu ketika di Johor Bahru. Sama-sama buat kerja tanpa ada perasaan apa-apa. Bila dia tukar ke Muar empat tahun lalu, kawannya itu juga tukar tetapi dia berhenti kerja terus dan jadi kontrektor binaan di Muar. Rupa-rupanya, dia ada hati tapi tidak tahu untuk berterus terang. Bila di Muar, dia dapati anak saudara Tun Sheikh kelihatan intim pula dengan kawan lelaki baru. Apa lagi, katanya menggigit jarilah tetapi kerana keluarga semua di Muar dan dia pun ialah anak yang sulung, keluarga sentiasa memberi dorongan dan menasihatkan bersabar dan suruh fokus kepada kerja.

Di pihak keluarga Tun Sheikh pula, pernah juga Tun Sheikh pesan pada anak saudara perempuan, suruh kawannya yang dikatakan intim dulu masuk meminang sebab tidak baik berkawan lama walaupun dengan alasan satu pejabat. Ini adalah kerana ada batas-batas dalam Islam dan Tun Sheikh memang sentiasa cuba mempengaruhi keluarga agar tahu membedakan nilai adat dan nilai agama. Maklumlah, orang Johor walaupun dikatakan oleh orang dari luar memang tahu tentang agama tetapi bagi Tun Sheikh itu sebenarnya tidak mencukupi, lebih-lebih lagi pengaruh politik Melayu UMNO begitu kuat mencengkam. Adat dan agama menjadi kabur.

Tun Sheikh sudah terasa macam tidak kena kerana kalau mengikut kemampuan kawannya itu memang sudah mampu. Pernah anak saudara Tun Sheikh itu bermasam muka dengan Tun Sheikh kerana mendesak dia bertanya supaya mengetahui apa rancangan dan pemikiran kawan lelakinya itu setidak-tidaknya. Lagipun anak saudara Tun Sheikh juga sudah membuat persiapan seperti tabungan, rumah, memiliki kenderaan dan sebagainya kerana usianya pun sudah 27 tahun dan berijazah pula. Rupa-rupanya kawannya itu menjadikan anak saudara Tun Sheikh sebagai pilihan kedua kerana pilihan pertamanya belum habis belajar di universiti. Tun Sheikh nasihatkan anak saudara supaya membuka hati kepada yang lain kerana pada realitinya, perempuan tidak boleh mengikut perancangan seseorang lelaki yang tidak pasti. Dia pun putus apabila mendapat tahu berita teman lelakinya ada menunggu perempuan yang lain daripada adik perempuan teman lelakinya itu.

Dengan tidak disangka-sangka, belum pun sebulan tetapi badannya sudah susut kerana sedih, kawan sepejabatnya pula memberitahu bahawa Azman iaitu kawan lama mereka di Johor Bahru yang pernah kecewa dengan anak saudara Tun Sheikh kini ingin meminang. Rupa-rupanya dia sentiasa mengikuti perkembangan anak saudara Tun Sheikh dari jauh kerana tidak tahu menyampaikan hasrat dan gelora hati sejak dulu. Perempuan seharusnya sedar kerana faktor usia dan kesuburan tubuh badan sangat penting dalam berkeluarga. Kini Azman dan Lia telah selamat bertunang dan jika diizinkan Allah, mereka akan diijabkabulkan pada bulan September ini.

Perwatakan Lia yang agak manja dengan Tun Sheikh sejak kecil dan telah berubah lebih kurang setahun kini berputik kembali. Ibu bapa dan orang tua perlulah berhati-hati apabila mencampuri urusan percintaan anak muda mereka. Mereka harus bertindak seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak rosak. Orang tua mesti menggunakan pengalaman diri mereka sendiri dan yakin bahawa cinta itu memang indah dan buta. Mereka mesti rasional dan memberi alasan dan pilihan terbuka tanpa paksaan kepada anak-anak yang sedang dilamun cinta. Ketika mengundurkan kereta untuk balik ke Kuala Lumpur, Lia sempat memesan Tun Sheikh supaya menaja lembu dua ekor di hari pernikahannya. Tun Sheikh hanya tersenyum, di dalam hati terfikir biarlah walimatulurus itu dilangsungkan dengan sederhana mengikut kemampuan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere