Sunday, October 3, 2010

BEKAS SB DIABAI ISTERI GLAMOR SETELAH BUTA

Pak Long SB Diperlekeh Isteri Setelah Buta

Nama sebenar Pak Long ialah Muhamad Helmi bin Abdullah. Nama ini digunakan ketika pernikahan pertamanya dengan gadis Melayu berasal Perak. Tetapi jodohnya tidak panjang kerana banyak tentangan keluarga isteri kerana Pak Long banyak melanggar atau tidak mengikut adat resam Melayu Perak. Mereka berpisah setelah isterinya selamat melahirkan anak perempuan. Pak Long pula meneruskan cara hidupnya yang glamour sebagai seorang SB dengan budaya bebas keinggerisannya. Kebiasaannya terbawa-bawa walaupun setelah menganut Islam. Masih minum minuman keras dan merayakan Krismas bersama keluarga yang masih beragama Kristian. Nama Kristian atau Mat Sallehnya sebelum mengganut Islam ketika berusia 22 tahun ialah Helm Robinson Junior.(Gelaran Pak Long kerana beliau adalah anak sulung, isteri pertama anak sulung dan isteri kedua juga anak sulung).

Setelah membujang beberapa tahun Pak Long berura-ura untuk kembali ke agama asalnya. Dia mula meminati gadis-gadis Cina yang dikenalinya. Pada suatu hari dalam tahun 1974, dia berkenalan dengan seorang gadis bernama Mary melalui kawan Cinanya dalam majlis tari-menari meraikan kenaikan pangkat seorang doktor di Kuala Lumpur. Pak Long mengakhiri majlis tari-menari dengan mengajak Mary keluar menghirup udara bersih dengan kereta sportnya.

Mary amat seronok ketika bersiar-siar dengan Pak Long yang bertampang Mat Salleh dan berkereta sport setelah penat menari. Akhirnya mereka menjadi begitu intim dan beberapa bulan kemudian Pak Long meluahkan hasratnya untuk melamar Mary. Rupa-rupanya selama berkenalan mereka sama-sama berahsia. Mary menyangka Pak Long adalah lelaki Inggeris beragama Kristian yang masih bujang dan Pak Long menyangka Mary ialah gadis Cina.

Mary sebenarnya ialah gadis kacukan Melayu dan Cina. Bapanya beketurunan Melayu-Bugis dan ibunya Cina. Mary ialah nama pendek dari nama penuhnya Mariam binti Jaafar. Mary sangat suka berkawan dengan gadis Cina kerana beliau sendiri tidak berwajah Melayu. Keluarganya berasal dari Muar Johor. Mary bekerja sebagai jururawat dan merupakan anak sulong daripada 6 beradik, 3 perempuan dan 3 lelaki.

Sejak Mary bekerja setelah tamat persekolahan beliau jarang balik ke kampong kecuali pada hari perayaan. Meskipun begitu beliau tidak lupa membantu keluarganya di kampong dengan mengirim wang dari gaji sebagai jururawat setiap bulan. Hidupnya di Kuala Lumpur penuh dengan glamour dan bebas bersosial. Mary sering menjengok Helmi di hospital ketika dia terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa sedang bertugas.

Hampir 3 tahun mereka mabuk bercinta tetapi Mary masih tidak memberi keputusan kerana berasa Helmi tidak akan diterima keluarga Mary yang kuat mengamalkan agama. Datuknya pula adalah seorang lebai terkenal di kampong. Apabila Helmi mengetahui Mary adalah Melayu beragama Islam, dia juga berterus terang bahawa nama Islamnya ialah Muhamad Helmi dan merubah niatnya untuk kembali ke agama asal bagi memudahkan perkawinannya dengan Mary. Akhirnya mereka berjaya bernikah dan terus mengamalkan cara hidup Barat kerana Mary sangat gembira cara hidup sebegitu yang dianggapnya ada kelas dan standard. Akibatnya, beliau tidak pernah mempelawa ibu bapanya datang ke Kuala Lumpur kerana khuatir diketahui mereka.

Hidup mereka bahagia dan mereka dikurniakan tiga orang anak. Mereka hanya berasa sedikit kelam kabut setiap kali ibu bapa Mary datang menjengok mereka. Ketika itu mereka terpaksa mengemas dan menukar suasana rumah dan terpaksa berlakun seperti hidup dalam adat Melayu. Bagi mengelak keluarga dari kampong sering datang mereka sendiri sering pulang ke kampong tetapi tidak menginap dengan alasan menginap di Melaka di rumah ibu bapa suaminya. Di kampong pula, datuk Mary tidak menunjukkan gembira ketika mereka balik kerana dianggap mencemarkan nama baik keluarganya. Ini adalah kerana kereta sport milik Helmi, mencerminkan amalan budaya hidup mereka.

Rumah tangga Helmi dan Mary yang bahagia dan penuh glamour mula berubah apabila Helmi diberhentikan kerja sebagai SB kerana penyakit matanya. Mereka telah berpindah ke Johor Bahru pada tahun 1990. Di Johor Bahru, Helmi telah menjadi agen penjual kereta dan pada peringkat awalnya perniagaannya berjaya dan menguntungkan. Semua pendapatannya diserahkan kepada isteri yang dicintainya kerana penglihatan matanya semakin hari semakin teruk. Mary bebas menggunakannya mengikut cita rasanya. Helmi pula mula berubah angin dengan membiasakan diri dengan adat Melayu dan ke surau.

Ketika berlaku zaman kemelesetan ekonomi pada tahun 1997 perniagaan Helmi terpaksa ditutup. Helmi mula bergantung kepada isteri dan wang simpanannya yang diuruskan oleh Mary. Tetapi Helmi amat terkejut apabila mengetahui wang simpanannya telah habis dibelanjakan oleh Mary kerana kebiasaan hidup glamour dan berbelanja sakan dengan dua anak gadisnya. Keluarga bahagia yang romantik dan mendapat perhatian jiran-jiran ini mula bergolak dan menjadi buah mulut mereka. Ini adalah kerana perubahan sikap Mary terhadap suaminya Helmi. Mary telah mengabaikan tanggungjawabnya kepada Helmi. Dia tidak menghiraukannya lagi. Mary hanya sibuk dengan dirinya dan diri anak-anaknya sahaja. Suaminya yang semakin hari semakin teruk dan kabur penglihatan dianggap liabiliti. Helmi yang sangat disenangi jiran-jiran kerana ramah dan suka menolong sering ditenangkan mereka agar bersabar dengan karenah Mary. Sebanyak dua kali Mary meluahkan hasrat untuk berpisah tetapi gagal kerana Pejabat Kadi tidak menerima kekurangan Helmi sebagai alasan munasabah. Helmi pula tidak pernah berhajat ingin berpisah.

Pada tahun ini Helmi mengambil keputusan berhari raya dengan anak perempuan dari isteri pertamanya di Perak. Ini adalah kerana isteri dan anak-anaknya tidak mengajaknya ikut serta balik berhari raya di Muar. Saban hari Helmi menelefon Tun Sheikh mengadu cerita yang sama dan becerita keadaannya yang merasa janggal di Perak kerana tidak biasa dengan suasana dan persekitaran rumah anaknya. Penceraian anak perempuannya Ina dengan suaminya Nas yang pernah Tun Sheikh nukilkan juga tidak diketahuinya dengan terperinci kerana dirinya diketepikan. Apa yang menghibakan Tun Sheikh adalah keinsafan dan kesadarannya kerana menganggap ini semua adalah nasibnya yang dihukum Allah sebab memakan dan membesarkan anak dengan sumber yang haram ketika menjadi SB dulu.
Tun Sheikh hanya berupaya mendoakannya semoga Allah mengampuninya dan semoga beliau diberi ketenangan jiwa dan hati meskipun dalam keadaan dipencilkan isteri dan matanya yang buta.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere