Wednesday, August 31, 2011

Gara-Gara Mercun Atau Budaya Pemikiran?

Gara-Gara Mercun Atau Budaya Pemikiran?

Suasana Hariraya 2011 Diselubungi Kekesalan

Kelmarin Tun Sheikh menziarahi dan berhariraya ke rumah saudara terdekat Bugis di Benut Pontian. Sedang berbual-bual menikmati juadah kuih serta burasak Bugis, suasana rumah menjadi kecoh seketika. Sebagai tetamu dan saudara yang agak dekat, Tun Sheikh buat tak tahu saja tetapi tidak dapat mengelak dari mendengar. Bukan itu sahaja, Pak Bacok pula berterus terang menjadikannya topik perbualan pula. Tun Sheikh terasa seperti dapat ilham untuk dikongsi bersama di sini. Ia berkisar dengan sebuah keluarga Bugis di Benut berasal dari keturunan kaya atau banyak harta iaitu keluarga Pak Bacok yang miskin tetapi sedang membangun semula.

Pada hari minggu lepas, Pak Bacok ditimpa kemalangan ketika gairah mencari barang-barang keperluan dapur untuk hari raya. Beliau begitu bersemangat kerana semua anak-anaknya akan balik awal. Pak Bacok berusia 71 tahun tetapi masih sihat dan rajin ke kebun dan ke Pontian dengan kereta kancil yang dihadiahkan oleh anak sulungnya, Rus. Rus bekerja sebagai kerani di Johor Bahru. Boleh dikatakan mereka bergantung kepadanya kerana setelah Rus tamat SPM dan bekerja, nasib keluarga ini berubah. Dulu Pak Bacok hanya bergantung kepada hasil kebun yang tidak seberapa dan hasil menjual daun pisang yang dicari di sepanjang sungai di kampungnya. Kerana terlalu bergantung kepada anak sulungnya, Pak Bacok pernah memutuskan pertunangan Rus sebanyak 3 kali kerana kuatir bantuan wang yang diterima terputus.

Rus hanya bertemu jodoh ketika berusia 30 tahun setelah bernikah tanpa pengetahuan bapanya. Kini telah berusia 41 tahun dan beranak 3, yang sulung baru berusia 7 tahun dan bongsu berusia tahun. Tetapi suaminya diakui oleh Pak Bacok sebagai seorang yang gentlemen kerana sedikit pun tidak mengganggu duit isteri yang memberi Pak Bacok sebanyak RM650 sebulan. Malah menantunya tidak pernah tidak mengulur wang RM100 atau RM200 ketika pulang ke kampong 2 kali sebulan.

Pada hari raya tahun ini seperti pada tahun-tahun lepas Pak Bacok suka membawa anak-cucunya berhari-raya ke rumah sanak saudaranya di seluruh Pontian. Dia suka cerita mengenai kemajuan anak-anaknya walau pun tidaklah terlalu cemerlang. Pak Bacok seolah-olah sungguh bangga kerana keluarganya telah senang dan tidak lagi dibelenggu kemiskinan. Anaknya yang kedua, Azman seorang teknisyen kilang di Pekan Nenas, sudah berkhwin dan mempunyai 2 orang anak. Beliau jarang menghulur wang kerana berdendam kepada bapanya yang tidak benarkannya melanjutkan pelajaran. Anak ketiga, Ita seorang kerani di sebuah syarikat pembinaan, mempunyai 2 orang anak juga masih kecil sering terikut-ikut gaya kakaknya Rus sehingga suaminya terpaksa menanggong hutang. Anak keempat Amit, teknisyen computer di UTM, beranak 1, seorang yang sungguh kuat berjimat hingga dianggap kedekut. Dan lelaki bongsu Fin, sedang belajar di tahun akhir pengajian diploma computer di KUIM Melaka. Abang-abang dan kakak menganggap adiknya Fin telah rosak perangai dan minda kerana biadab akibat terlalu dimanja oleh ibu bapa mereka.

Setiap tetamu yang datang, cerita Pak Bacok adalah sama. Begitu juga bila beliau berhari raya ke rumah saudara mara. Saudara mara faham kerana dulu Pak Bacok sangat susah sampai tidak mampu menghantar anak-anak ke universiti meskipun semua anak-anaknya cerdek dan pandai di sekolah. Saudara mara tidak bersetuju Pak Bacok menghentikan persekolahan anak untuk cepat bekerja dan membantunya. Pak Bacok sungguh bangga terhadap keluarganya meskipun beliau tahu saudara mara beliau lebih berada dan mewah kerana berharta dan anak-anak bekerja setelah berijazah dari dalam dan luar negeri.

Hari raya tahun ini ialah mengenai dirinya yang terlibat dalam kemalangan. Beliau telah berangan-angan hendak menukar kereta besar dan disangkanya itu yang mengakibatkan kereta kancilnya remuk teruk kerana merajuk setelah terlanggar tiang telefon. Keretanya hancur tetapi beliau sedikit pun tidak cedera atau luka. Sebenarnya beliau terlelap ketika memandu pulang setelah berbelanja sakan untuk hari raya. Saudara mara memang tahu keturunan mereka memang ada ilmu atau saka yang pelik-pelik menyebabakan Pak Bacok tidak cedera. Tahun lepas ceritanya mengenai sakit batu karang dan pembedahan pakar beharga RM11,000 diceritakannya berulang-ulang kerana mendapat perkhidmatan pakar yang dibayar oleh anak sulungnya. Saudara mara sampai faham sebenarnya bukan sakit batu karang yang hendak diceritakannya tetapi rasa bangga terhadap Rus dan kerana mampu membayar pakar.

Kadang-kadang cerita Pak Bacok mengenai kemajuan anak-anaknya hingga menimbulkan fitnah dan menjadi bualan orang kampong. Ini adalah kerana anak sulungnya memang cantik dan bergaya tetapi jika hanya sebagai seorang kerani tentu sekali tidak mampu membiayai kemewahan yang ditunjukkan. Orang mula mengesyaki seolah-olah dapat duit daripada sumber tidak baik. Perbelanjaan membesarkan rumah, membeli perabut, memiliki kereta baru dan barang kemas yang agak mahal tidak dapat diterima jika hanya dengan gaji kerani. Pernah orang kampung cerita anaknya ialah seorang pengikis, suka mengoda bos-bosnya yang kaya dan suka minta belanja daripada teman lelaki dan wanita sehingga gajinya sendiri tidak terusik. Tetapi apalah ertinya kepada orang yang miskin dan susah. Orang boleh bercerita sama ada fitnah atau betul-betul berlaku tidak dihiraukan oleh Pak Bacok. Ini adalah kerana semasa dia miskin dan susah menjual daun pisang, tiada siapa pun datang membantu malah beliau pernah dimarahi dan bertengkar kerana mengambil daun pisang yang dianggap tidak bertuan kerana pokok pisang itu terbiar di atas tanah rezab sungai dan taliair tanah kerajaan.

Oleh kerana usia dan seperti pangkat abang, Tun Sheikh menjelaskan, sebenarnya saudara mara berasa bangga dan hormat kepada Pak Bacok. Pada ketika ini, Pak Bacok berhadapan dengan masalah persaingan keluarga sendiri. Pak Bacok tidak perlu lagi memberitahu kesenangan Pak Bacok kepada saudara mara kerana mereka pun prihatin. Malah boleh dianggap riak pula nanti. Lagipun mereka tidak boleh disamakan dengan kesenangan dan kemewahan yang dinikmati Pak Bacok kerana mereka lebih daripada Pak Bacok sendiri dan kesusahan Pak Bacok dulu adalah disebabkan oleh Pak Bacok sendiri yang tidak suka ke sekolah, berlagak kaya dan suka menghabiskan harta orang tua dengan menjual kebun.

Buktinya ialah perangai anak-anak Pak Bacok sendiri seolah-olah mewarisinya. Amit telah mengemas barang dan mengajak isterinya pulang tergesa-gesa kerana menyalahkan abang iparnya yang telah mengakibatkan cermin kereta perdananya retak. Dia kecewa kerana kereta itu baru sahaja dibelinya untuk menunjuk kepada saudara mara sempena hari raya. Dia langsung tidak terfikir bahawa tindakannya sangat menghampakan ibubapanya sendiri. Dia terlalu mementingkan diri sendiri. Suami Rus pula membantah kerana tidak lojik dituduh membakarkan mercun bola untuk anak-anaknya mengakibatkan cermin kereta pecah. Abang iparnya mendakwa itu adalah kesilapan Amit sendiri yang meletak kereta di tengah panas tanpa membuka sedikit lubang tingkap.

Abang iparnya juga mengambil tindakan sama, mengemas beg dan terus pulang tetapi isterinya enggan ikut kerana dia belum puas beraya di kampung dengan kereta baru Exoranya. Isterinya sempat mengungkit kerana suaminya balik hanya di raya pertama berikutan kerja pada hari Isnin dan enggan pulang walau pun di beritahu bapanya kemalangan. Kerana Rus pulang memandu sendiri maka dia tidak menghiraukan ajakan suaminya untuk sama-sama konvoi balik. Suami Rus juga kecewa dan alasan terpaksa kerja pada hari Isnin tidak diterima oleh Rus. Suami Rus tidak mahu pulang di hari kemalangan kerana beranggapan bapa mertuanya selamat dan sihat. Dia juga masak dengan perangai isteri dan ibu mertuanya yang suka berlebih-lebih dalam segala hal. Dia dimaklumkan kereta kancil mertuanya hancur tetapi apabila ditanya sama ada mertuanya cedera parah, dan mendapati tidak luka pun, lalu mengetahui isterinya berlebih-lebih mengenai kemalangan itu.

Pak Bacok sungguh sedih dengan sikap anak-anaknya. Beliau mengaku telah tidak memberi didikan sempurna kerana miskin dan sibuk mencari nafkah membesarkan mereka. Pada raya pertama, anaknya Azman juga tergesa-gesa mengekori isterinya balik ke rumah sendiri kerana berselisih faham dengan adiknya Ita dan ibunya yang memarahi kenakalan anak-anaknya. Anak bongsunya Fin pula sejak balik jarang lama di rumah kerana tidak selesa dengan abang-abang dan kakak-kakak yang tidak menyukainya. Apabila kawan perempuan datang ajak beraya bersama, beliau diperli sedang kemaruk cinta dan gila betina.

Tun Sheikh hanya dapat menasihati agar Pak Bacok bersabar dan tidaklah perlu terikut-ikut kehendak hati menunjukkan gembira kerana anak-anaknya telah memiliki kereta dan sebagainya kepada orang lain. Tetapi Pak Bacok mestilah berusaha memberitahu keinginannya melihat anak-anaknya bersefahaman dan jangan menjadikan adik-beradik sendiri sebagai persaingan hingga mudah sensitif, bersangka buruk dan irihati sesama sendiri. Apa yang sedang mereka nikmati adalah kurniaan Tuhan dan juga sebagai dugaan.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Thursday, August 18, 2011

Kahwin Tak Sekufu

Kahwin Tak Sekufu

Ahmad adalah seorang kanak-kanak yang bijak dan sangat baik perangainya. Beliau sangat disenangi sanak saudara. Ketika remaja, bapa saudara pupunya yang tidak mempunyai zuriat telah mengambil Ahmad menjadi anak angkatnya. Bapa Ahmad, Long dengan berat hati membenarkan Ahmad dipelihara oleh adik pupunya, Tahir. Tahir berjanji untuk mewariskan segala harta pusaka yang diperolehi daripada datuk mereka kepada Ahmad. Long menyerahkan anaknya untuk dipelihara Tahir bukanlah kerana beliau berhadapan dengan kesempitan hidup tetapi kerana sudah lama beliau menduda sejak kematian isterinya ketika melahirkan anaknya yang bongsu 5 tahun dahulu. Semua anak Long seramai 6 orang berusia antara 16 tahun dan 5 tahun telah tinggal dengan saudara mara Long kecuali Ahmad yang telah dipelihara oleh Long sendiri .

Cerita beribu tiri pada tahun-tahun 40-an memang tiada yang indah kecuali menakutkan. Justeru Ahmad telah membuat keputusan untuk tinggal dengan bapa saudara pupunya, Pak Tahir yang tidak mempunyai anak.. Ketika Long memberitahu ingin bernikah lagi kepada anaknya Ahmad, Ahmad begitu muram kerana takut beribu tiri dan sering demam. Ketika Ahmad mula tinggal dengan Pak Tahir, usianya berusia 10 tahun dan merupakan seorang murid yang pintar di sekolah. Beliau sangat disayangi dan dimanjai oleh Pak Tahir suami isteri sehingga tidak dibenarkan ke sekolah kerana tidak mahu Ahmad bersusah payah kena belajar. Harta Pak Tahir adalah cukup untuk membiayai Ahmad sehingga dewasa malah sampai ke anak cucu.

Pada peringkat awal Ahmad tinggal bersama bapa saudaranya, beliau kelihatan begitu gembira kerana tidak jauh bedanya dengan di rumah sendiri. Makan minumnya lebih teratur. Selalunya makanan yang tersedia ketika tinggal dengan bapanya ialah makanan kiriman jiran yang sengaja dipesan oleh bapanya yang membayar secara bulanan. Makanan yang dihantar biasanya terpaksa dimakan sahaja dan tiada pilihan atau tidak mengikut selera atau keinginannya. Apabila tinggal dengan emak saudara, Ahmad sering ditanya mahu makan masakan apa dan emak saudaranya bersedia memasakkan untuknya.

Setelah dua tahun Ahmad tinggal bersama bapa saudaranya, emaksaudara Ahmad teringin mengambil anak angkat perempuan pula. Pada tahun-tahun 40-an selepas perang, keluarga Melayu memang mudah mendapat anak perempuan pemberian dari keluarga Cina yang tidak suka memelihara anak perempuan dalam keluarga. Sehubungan itu Ahmad dengan mudah mendapat adik baru yang jarak usianya 12 tahun dan kemudian emak saudaranya mengambil anak angkat perempuan dari keluarga India pula. Mereka diambil dan pelihara sejak bayi manakala Ahmad diambil ketika berusia 10 tahun.

Nasib Ahmad berubah ketika berusia 18 tahun apabila beliau telah dinikahkan dengan anak saudara Orangkaya Muar yang diangggap sekufu jika dinilai dari segi keberadaan dan kedudukan social. Ahmad sering diherdik oleh ibu angkatnya kerana hanya tahu memakan hasil kebun sahaja. Pada ketika yang sama dua adik angkat perempuannya di sekolahkan ke sekolah Ingggeris dan sering memerlukan belanja sekolah yang agak besar. Isteri Ahmad pula berperangai suka meminta-minta dan medesak suaminya membeli perabut dan peralatan rumah yang berjenama atau mahal.

Nasib Ahmad bertambah malang apabila Pak Tahir meninggal dunia ketika isteri Ahmad sedang hamil anaknya yang ketiga. Tanpa disangka setelah 3 bulan kematian Pak Tahir, Ahmad dan isterinya telah diusir oleh ibu angkatnya kerana tidak berkenan dengan perangai isteri Ahmad. Ahmad telah kembali ke pangkuan bapanya. Bagi mengelak salah faham, bapanya telah membuat sebuah rumah kecil untuk Ahmad di hujung tanahnya. Ahmad terpaksa menyara anak dan isterinya dengan mengayuh beca apabila didapati semua harta yang dijanjikan oleh Pak Tahir telah bertukar milik kepada ibu dan adik angkat perempuannya.

Keadaan Ahmad tidak disenangi oleh isterinya. Ahmad tidak mampu menyediakan apa yang dikehendaki oleh isterinya manakala dia juga tidak sanggup meminta dari bapanya kerana telah banyak bapanya menolong menyediakan peralatan dan perabut rumah dalam keadaan serba sederhana. Akibatnya rumah tangga Ahmad setiap hari bergolak kerana Ahmad hanya mampu menyediakan makanan sahaja. Pendapatannya menarik beca tidak menentu bak pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Berikutan dari kesempitan itu, isterinya telah tidak mencampuri masyarakat dan bergaul dengan jiran tetangga kerana malu. Saban hari rumah Ahmad tidak sunyi dari pertengkaran sehinggalah lahir anak yang ke 10. Ada sahaja yang tidak kena dan kurang dan sikap isterinya yang tidak dapat menerima kenyataan hidup telah dengan sengaja berlepas tangan tidak mempedulikan nasib anak-anak untuk dibekalkan dengan pendidikan dan adab sopan.

Ahmad pula seperti orang kebingungan tidak tahu berbuat atau berusaha membuat pekerjaan lain kecuali manarik beca dan pada malamnya bertugas mencari tambahan elaun sebagai anggota polis simpanan. Ramai saudara mara menasihatinya agar berubat secara tradisional kerana dipercayai telah disihir oleh ibu angkatnya kerana Ahmad tidak dapat membuka mulut jika ingin menuntut hak harta yang diberikan oleh Pak Tahir. Adik-adik angkat perempuannya pula masing-masing telah menjadi guru sekolah rendah dan berumahtangga dengan keluarga berada tidak mempedulikan nasib Ahmad.

Setelah ibu angkatnya meninggal dunia, adik-adik perempuannya telah bertelagah sesama. sendiri kerana merebut harta peninggalan Pak Tahir. Hingga ke hari ini keluarga mereka bermusuhan dan banyak kebun telah dijual. Nasib Ahmad juga tidak berubah. Anak-anak beliau terbiar dan tiada berpendidikan tinggi kecuali setakat tingkatan 3. Mereka mewarisi kemiskinan Ahmad hingga ke hari ini.

Semasa perihal Ahmad ini ditulis, beliau suami isteri telah pun meninggal dunia 10 tahun lalu (2001) dalam kemiskinan. Manakala jirannya yang sama senasib dengan beliau yang mencari nafkah dengan menarik beca dan juga memiliki anak yang ramai telah mengharungi hidup yang selesa kerana ramai anak-anak mereka berjaya ke peringkat universiti hasil keperihatinan isterinya yang menyedari tangongjawab dan kepentingan pelajaran untuk anak-anak mereka. Inilah kisah benar untuk sama-sama kita renungkan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara.

Wednesday, April 20, 2011

Kalau Jodoh Tidak Ke Mana

Kalau Jodoh Tidak Ke Mana

Soal Jodoh, Kematian dan Hukum-hakam Bukanlah Mainan

Namun, Usaha dan Ikhtiar Serta Tawakal Adalah Menjadi Tuntutan

16 April 2011 Tun Sheikh balik kampung di Muar menghadiri majlis pertunangan. Tun Sheikh menjadi wakil atau juru cakap bagi sebelah anak saudara perempuan Tun Sheikh. Kerana mewakili sebelah perempuan dan mengetahui keputusan risikan terdahulu, maka banyaklah mendengar dari berkata-kata. Sebelum itu kakak Tun Sheikh sudah beri bayangan bahawa pihak lelaki akan datang dan menawarkan wang hantaran sebanyak RM10,000 serba satu dan hari pernikahan atau walimatulurus itu akan berlangsung pada bulan Syawal tahun ini. Ketika berbincang Tun Sheikh dapati agak banyak istilah yang disalah pakai dan Tun Sheikh terus kepada pokok persoalan dengan bahasa yang mudah. Pihak lelaki sesama sendiri seolah-olah tidak pasti untuk menentukan istilah serba satu, serba berdiri, bersih atau suci dengan barang iringan, hadiah dan sebagainya. Sebelum itu, kakak Tun Sheikh kata, mereka menawarkan RM10,000 serba satu dan hadiah iringan, masa mereka datang merisik sebulan lepas.

Ketika majlis meminang, bakal tunangnya dan ibunya pula, tanpa memberitahu pihak keluarga mereka dan juga kakak Tun Sheikh, telah menghadiahkan perbelanjaan membuat kemah atau garaj kereta kekal, menghantar tukang solek dan membuat pelamin pertunangan. Kakak Tun Sheikh sekeluarga terkejut tetapi tentulah suka. Hal ini terjadi kerana ibunya begitu gembira anak sulong mereka dapat bertemu jodoh insyaallah kerana telah berusia 32 tahun. Sebelum itu dia tidak pernah menunjukkan minat untuk berumahtangga. Dengan itu Tun Sheikh dapat mengagak kenapa bapa saudara sebelah lelaki atau wakil mereka seperti belum ada kata pemutus samada RM10,000 atau RM12,000 dan sebagainya. Masa risik katanya RM10,000 serba satu tapi jadi RM12,000 pula dan dengan serbanya yang seperti tidak pasti. Lalu Tun Sheikh putuskan bahawa pihak kami menerima RM12,000 bersih berserta barang iringan dan hadiah. Ini adalah kerana sebelum itu, bila Tun Sheikh tanya anak saudara perempuan, dia ada membayangkan mereka mungkin menawarkan lebih daripada itu. Mungkin RM15,000 atau RM16,000 kerana gembira tapi mungkin adik-beradik ibunya tidak sependapat.

Anak saudara Tun Sheikh juga pernah cerita, mereka berdua sebenarnya sama pejabat dulu ketika di Johor Bahru. Sama-sama buat kerja tanpa ada perasaan apa-apa. Bila dia tukar ke Muar empat tahun lalu, kawannya itu juga tukar tetapi dia berhenti kerja terus dan jadi kontrektor binaan di Muar. Rupa-rupanya, dia ada hati tapi tidak tahu untuk berterus terang. Bila di Muar, dia dapati anak saudara Tun Sheikh kelihatan intim pula dengan kawan lelaki baru. Apa lagi, katanya menggigit jarilah tetapi kerana keluarga semua di Muar dan dia pun ialah anak yang sulung, keluarga sentiasa memberi dorongan dan menasihatkan bersabar dan suruh fokus kepada kerja.

Di pihak keluarga Tun Sheikh pula, pernah juga Tun Sheikh pesan pada anak saudara perempuan, suruh kawannya yang dikatakan intim dulu masuk meminang sebab tidak baik berkawan lama walaupun dengan alasan satu pejabat. Ini adalah kerana ada batas-batas dalam Islam dan Tun Sheikh memang sentiasa cuba mempengaruhi keluarga agar tahu membedakan nilai adat dan nilai agama. Maklumlah, orang Johor walaupun dikatakan oleh orang dari luar memang tahu tentang agama tetapi bagi Tun Sheikh itu sebenarnya tidak mencukupi, lebih-lebih lagi pengaruh politik Melayu UMNO begitu kuat mencengkam. Adat dan agama menjadi kabur.

Tun Sheikh sudah terasa macam tidak kena kerana kalau mengikut kemampuan kawannya itu memang sudah mampu. Pernah anak saudara Tun Sheikh itu bermasam muka dengan Tun Sheikh kerana mendesak dia bertanya supaya mengetahui apa rancangan dan pemikiran kawan lelakinya itu setidak-tidaknya. Lagipun anak saudara Tun Sheikh juga sudah membuat persiapan seperti tabungan, rumah, memiliki kenderaan dan sebagainya kerana usianya pun sudah 27 tahun dan berijazah pula. Rupa-rupanya kawannya itu menjadikan anak saudara Tun Sheikh sebagai pilihan kedua kerana pilihan pertamanya belum habis belajar di universiti. Tun Sheikh nasihatkan anak saudara supaya membuka hati kepada yang lain kerana pada realitinya, perempuan tidak boleh mengikut perancangan seseorang lelaki yang tidak pasti. Dia pun putus apabila mendapat tahu berita teman lelakinya ada menunggu perempuan yang lain daripada adik perempuan teman lelakinya itu.

Dengan tidak disangka-sangka, belum pun sebulan tetapi badannya sudah susut kerana sedih, kawan sepejabatnya pula memberitahu bahawa Azman iaitu kawan lama mereka di Johor Bahru yang pernah kecewa dengan anak saudara Tun Sheikh kini ingin meminang. Rupa-rupanya dia sentiasa mengikuti perkembangan anak saudara Tun Sheikh dari jauh kerana tidak tahu menyampaikan hasrat dan gelora hati sejak dulu. Perempuan seharusnya sedar kerana faktor usia dan kesuburan tubuh badan sangat penting dalam berkeluarga. Kini Azman dan Lia telah selamat bertunang dan jika diizinkan Allah, mereka akan diijabkabulkan pada bulan September ini.

Perwatakan Lia yang agak manja dengan Tun Sheikh sejak kecil dan telah berubah lebih kurang setahun kini berputik kembali. Ibu bapa dan orang tua perlulah berhati-hati apabila mencampuri urusan percintaan anak muda mereka. Mereka harus bertindak seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak rosak. Orang tua mesti menggunakan pengalaman diri mereka sendiri dan yakin bahawa cinta itu memang indah dan buta. Mereka mesti rasional dan memberi alasan dan pilihan terbuka tanpa paksaan kepada anak-anak yang sedang dilamun cinta. Ketika mengundurkan kereta untuk balik ke Kuala Lumpur, Lia sempat memesan Tun Sheikh supaya menaja lembu dua ekor di hari pernikahannya. Tun Sheikh hanya tersenyum, di dalam hati terfikir biarlah walimatulurus itu dilangsungkan dengan sederhana mengikut kemampuan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Monday, March 14, 2011

Anak Muda Lambang Kemajuan Sesebuah Bangsa

Anak Muda Lambang Kemajuan Sesebuah Bangsa

Bentuklah Jiwa Anak Muda Dengan Acuan Agama Islam

Kekuatan sesebuah negara pada kebiasaannya memang dilihat daripada kemajuan pemuda pemudinya. Tidaklah keliru jika kekuatan sesebuah pertubuhan sama ada sosial atau politik dapat dilihat daripada keaktifan ahli-ahlinya dan ahli-ahli yang aktif ialah barisan pemuda pemudi. Sehubungan dengan itu UMNO kelihatan mula bertenaga semula setelah barisan pemudanya mula bersuara. Sebelum ini mereka seolah-olah dilarang aktif lebih-lebih lagi jika mencampuri urusan seniour atau mengkritik keputusan mahupun dasar pihak tertinggi dalam UMNO. Pendek kata dengan melihat barisan pemuda dan pemudinya, kita akan tergambar halatuju UMNO sama ada hebat, sesat, kuat, baik, buruk dan sebagainya.

Baru-baru ini Tun Sheikh telah didatangi seorang pemuda UMNO yang telah Tun Sheikh kenali selama 3 tahun. Beliau kelihatan begitu ceria setelah penat berkempen di 3 tempat piliharaya kecil iaitu di Tenang, Merlimau dan Kerdau. Sebelum ini, beliau bertemu Tun Sheikh untuk mendapat petua mahupun cara mengatasi rasa takut atau jiwa yang pengecut terhadap benda atau hal gaib seperti takut kepada jin, hantu dan syaitan. Apa-apa cerita yang berkaitan dengan makhluk gaib itu sangat tidak disenanginya kerana berasa takut. Beliau sangat percaya kepada cerita-cerita kuasa gaib seperti kuasa sihir, pukau, buatan orang dan sebagainya.

Setelah Tun Sheikh memberitahu beberapa petua mengenai kuasa makhluk gaib yang pada hakikatnya berasal dari satu sumber yang sama, cara-cara beramal dan cara melindungi darinya dengan mengamalkan beberapa ayat suci al Quran dan memegang teguh ilmu tauhid kepada Allah, pemuda UMNO yang bernama Basri itu yakin, sebenarnya beliau bukanlah disihir ketika kecewa dalam percintaan dahulu. Apa yang sebenarnya berlaku sehingga kekasihnya enggan bersetuju untuk bertunang ialah kerana sikapnya yang agak panas baran dan suka menunjuk-nunjuk serta suka cakap besar. Basri memiliki tubuh badan yang agak besar tetapi setiap kali kekasih atau kawan-kawannya mengajak beliau berdepan dengan lawan mereka yang dikatakan ada ilmu bathin, beliau akan menjauhkan diri kerana takut.

Basri datang bertemu Tun Sheikh kerana mengucapkan terima kasih. Beliau mengaku setelah mengamalkan petua yang diberi, beliau berasa telah mengubah perilaku buruknya dan kini kekaksihnya telah menerimanya kembali dan telah bertunang. Beliau akan bernikah pada hari raya puasa atau pada musim cuti persekolahan hujung tahun ini. Di samping itu, beliau juga datang menunjukkan keceriaan, usaha dan kegigihan beliau berkempen dalam UMNO berjaya. Beliau menganggap segala sihir daripada PAS tidak mengena dirinya kerana tidak terasa takut seperti dulu. Apabila Tun Sheikh bertanya apa kaitanya antara perasaan takutnya dengan kegiatan kempen pilihanraya yang beliau ikuti? Beliau menjelaskan, barisan pemuda sering diingatkan dengan sihir dan ilmu pukau yang diamalkan oleh pihak lawan sehingga sering mereka tidak dapat bersuara ketika berkempen sebelum ini. Tun Sheikh menjelaskan bahawa Tun Sheikh tidak pernah mendengar pejuang Islam yang menggunakan platfom Pas mengamalkan sihir kecuali UMNO sendiri yang sering memakai khidmat bomoh dan pawang. Apa yang berlaku selama ini sehingga pihak UMNO terkedu lidah adalah kerana segala tuduhan parti Pas atau parti lawan terhadap kebusukan UMNO atau BN menipu rakyat adalah benar belaka.

Basri tiba-tiba naik berang kerana tidak bersetuju dengan penjelasan Tun Sheikh. Tun Sheikh terpaksa menenangkan beliau apabila beliau berkata beliau sanggup mati kerana UMNO. Tun Sheikh segera suruh dia bertaubat dan menjelaskan kedudukan sebenar sehingga beliau berperasaan begitu. Apabila beliau bertanya apa yang salah dan apa yang tidak kena pada dirinya kalau berniat macam itu, Tun Sheikh hanya menceritakan asal-usul dan pengaruh kehidupan yang telah membentuk pendirian Basri. Dia gairah bertanya hendak tahu, tapi sebenarnya seolah-olah hendak mencabar dan mencari kesilapan Tun Sheikh.

Kenapa beliau jadi begitu adalah kerana kedua orang tuanya merupakan anak jati Negeri Sembilan dan kuat mengamalkan adat pepatih. Ini bererti ibunya lebih berkuasa dari bapanya malah ibunya lebih berharta daripada bapanya sendiri. Orang negeri Sembilan sangat percaya kuasa gaib seperti sihir dan buatan orang kerana sering menjadi amalan atau digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Ini diakui Basri. Adat pepatih pula, mengakibatkan banyak pemuda minang atau pemuda kaum yang mengamalkan adat ini merantau untuk mencari bekal hidup sama ada dengan berdagang berniaga atau pun membuat apa-apa pekerjaan untuk mengumpul harta atau duit yang akan dibawa pulang. Biasanya kepada anak-anak muda yang tidak ada wawasan atau tidak berupaya, mereka akan masuk askar dan membawa hal atau nasib sendiri. Dan ini diakui oleh Basri kerana ibunya lebih kuat pengaruh dan berkuasa daripada bapanya, seorang bekas askar pencen. Malah pendapatan ibunya yang bekerja menjual insuran lebih besar daripada bapanya dan ini juga mempengaruhi suasana rumahtangga dan anak-anak mereka. Basri pula adalah anak sulung daripada 3 beradik dalam keluarga ini.

Ibu Basri disamping berketurunan dan mengamalkan adat pepatih Minangkabau juga berkuturunan Bugis. Perwatakan ibu diwarisi Basri termasuk tampangnya dan ini dibenarkan oleh Basri. Tun Sheikh pernah menegor Basri kerana sanggup mengherdik kedua ibu bapa mereka jika tidak bersetuju dengan pendapat mereka. Ketika Basri menyesal dan bertanya kepada Tun Sheikh, Tun Sheikh beritahu bahawa itu adalah pembawaan ibunya malah ibunya seperti bangga Basri mengikut perangainya. Orang Bugis memang panas baran kerana faktor keturunan dan orang perempuan Minang memang sombong sedikit kerana pengaruh amalan adat resam. Walau bagaimanapun amalan dan hukum-hakam agama adalah terbaik untuk diikuti.

Menyentuh tentang soal pengetahuan agama, keluarga Basri berfikir adat adalah agama atau sama seperti agama. Inilah fahaman kebanyakan pemimpin dan ahli UMNO. Mereka tidak tahu membedakan perkara adat dan hukum-hukum agama hingga menyebabkan dasar dan perjuangan Melayu UMNO menjadi cacamarba. Basri sekeluarga pula telah lama menganggotai UMNO dan aktif pula. Ibubapa mereka sering mendapat habuan dan tidak mustahil selama ini mereka juga biasa bersyubahat memakan hasil rasuah atau hasil haram hingga menjadi darah daging yang mendorong jiwa mereka kuat dan cenderong kepada jiwa-jiwa yang sama dalam perjuangan walaupun perjuangan mereka ke arah kegelinciran mahupun penyelewengan.Contohnya seperti rumah dan tapak rumah kediaman mereka di Kuala Lumpur adalah hasil pemberian UMNO. Semua orang tahu ketika itu siapa yang tidak menyokong dan menjadi ahli UMNO tidak akan diberi tanah dan rumah di Selayang. Peneroka bukan UMNO dinafikan hak mereka dan dibiarkan terus merempat. Itulah dasar UMNO ketika itu sehingga ke hari ini. Kini Basri adalah warisan cara hidup UMNO sampai sanggup mati kerana UMNO bukan kerana Islam.

Ya Allah ya Tuhan kami...tiada sesiapa kecuali Engkau yang berupaya menyelamatkan hambaMu daripada kesesatan. Maka selamatkanlah kami jika kami sesat dan jauhkan kami daripada kesesatan. Amin amin ya Rabalalamin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere