Wednesday, February 29, 2012

Saturday, February 18, 2012

Jangan Guna Ego dan Emosi Ketika Mencari Jodoh

Jangan Guna Ego dan Emosi Ketika Mencari Jodoh

Pada 22 Januari 2012 yang lalu Tun Sheikh telah selamat mengadakan majlis kenduri kahwin anak lelaki di Putrajaya. Tun Sheikh mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah melapangkan masa menghadirinya. Terima kasih juga terhadap doa restu dari semua termasuk yang tidak dapat hadir. Majlis yang diadakan sederhana saja dan ramai juga bertanya mengapa buat di dewan stail moden di Putrajaya dan tidak di rumah sendiri atau di Johor. Ini adalah kerana kawan-kawan Tun Sheikh sedia maklum, Tun Sheikh kuat mempertahan adat dan budaya Melayu yang perlu dipelihara jika ianya tidak bercanggah dengan syariat. Tun Sheikh juga masih menyenangi suasana kampong yang nyaman, aman tenteram dan harmoni .

Sebenarnya majlis itu diadakan di situ kerana Tun Sheikh tidak ada tempat yang sesuai, majlis itu pula dirancang dalam masa 5 bulan sahaja bermula daripada merisik, pertunangan dan kenduri kahwin. Tun Sheikh tidak memiliki rumah yang sesuai kerana di kampong tidak ramai orang tua dan kawan-kawan seangkatan yang rapat. Kebanyakan mereka telah menetap di luar Muar atau Johor. Kebetulan adik ipar bekerja di Putrajaya dan dia telah membantu menguruskannya.

Ramai juga kawan-kawan lama, kawan-kawan sekolah, kawan-kawan tempat kerja lama yang datang. Ada yang datang bersendirian, dengan keluarga atau dengan teman-teman lama yang telah terputus hubungan. Mereka yang bekerja dengan kerajaan boleh dikatakan majoritinya telah berjawatan kanan dan menjadi ketua jabatan dan ketua cawangan. Kawan-kawan yang menjadi guru sudah jadi pengetua atau penolong kanan.Yang swasta pula berjawatan pengurus, pengurus besar dan ada yang CEO syarikat. Yang dari kampong pun semuanya stabil dan ada yang telah bercucu. Maklum sajalah usia kami bukan muda lagi. Kawan-kawan lama yang datang kebanyakan yang akrab. Ada empat atau lima orang sudah begelar dato’ tapi bila diminta duduk di meja khas yang disediakan semuanya tidak mahu malah berasa kurang selesa apabila Tun Sheikh panggil gelaran dato’ mereka. Mereka lebih suka ‘beraku engkau’ macam dulu-dulu. Itulah lambang keikhlasan berkawan.

Bila ditanya mengapa majlis seperti tergesa-gesa atau cepat dibuat dari tarikh pertunangan yang hanya tiga bulan, Tun Sheikh jawab sambil tersenyum bahawa sudah ditakdir dan jodoh. Lagipun anak Tun Sheikh telah disediakan dengan trek agama, jadi dia pun suka segera kahwin. Kawan-kawan ustad sekuliahnya juga banyak bernikah sebaik saja selesai konvokesyen. Mereka mengelak bercinta sebelum kahwin. Mereka bukan berpakat tetapi masing-masing mempunyai kesadaran dan ingin memainkan peranan mengubah kebiasaan anak-anak muda yang bercinta sakan terlebih dahulu kemudian baru bernikah. Silap-silap haribulan, ada yang terlanjur melakukan maksiat dan kefasikan.

Jika diimbas kembali perancangan majlis ini, terasa agak lucu juga tetapi alhamdulliah sebab telah dipermudahkan oleh Allah. Ini adalah kerana anak Tun Sheikh tidak mempunyai calon bila mengajukan niat mahu bernikah dan meminta Tun Sheikh carikan. Jadi bingung juga kita dibuatnya tetapi Tun Sheikh menyerahkan kembali kepadanya dengan nasihat agama dimana seseorang yang hendak kahwin akan berhadapan dengan 4 perkara iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan agama. Berbahagialah yang dapat semuanya tetapi jika tiada maka hendaklah mendahulukan pilihan kepada calon yang beragama. Tun Sheikh juga meminta sahabat-sahabat karibnya membantu.

Selain itu, Tun Sheikh juga menyuruh anak Tun Sheikh solat hajat dan istikharah, berdoa dan bersabar. Terkejut juga bila dia memberitahu sudah berdoa dan solat lebih kurang 50 kali tetapi tidak dapat petunjuk atau bayangan. Bila disaran mengerjakan umrah dan dia pun melakukannya barulah hatinya tenang dan lapang. Calon isteri pun muncul dengan bantuan seorang kawan. Segalanya terasa mudah dan Tun Sheikh sempat pula membawa keluarga besar bercuti dan bersantai di Langkawi ketika meminang.

Isterinya seorang berfikrah dan seorang naqibah dalam barisan kepimpinan muslimah di university. Di masa lapang dia menjadi penulis novel remaja Islam dan bakal menjadi seorang pendidik atau ustazah. Pokoknya air muka anak Tun Sheikh berseri-seri. Sudah tidak rupa apek Cina lagi. Pada mulanya risau juga Tun Sheikh kerana bimbang jika dia belum bersedia. Tetapi Alhamdulillah, dia kelihatan matang dan lebih yakin ketika menyampaikan ceramah dan khutbah jumaat dan mengajar setelah berumah tangga. Malu juga rasa dalam hati apabila beberapa orang tua yang datang mengucapkan tahniah dan memperkenalkan diri selaku murid kepada anak Tun Sheikh. Malah ada yang mengaku memberi galakan supaya cepat berumah tangga dan ada yang rekomen anak mereka secara bergurau. Tun Sheikh tersenyum saja sebab Tun Sheikh dulu bernikah ketika berusia 25 tahun sempena sunah nabi saw dan mungkin ini diikuti oleh anak lelaki Tun Sheikh.

Teman-teman lama yang tidak pernah bertemu dengan anak Tun Sheikh menyangka pengantin perempuan itu anak kami sebab ada iras Tun Sheikh dan isteri. Sebenarnya anak-anak Tun Sheikh yang ramai itu banyak mengikut iras ibu mertua Tun Sheikh, seorang muslimah Cina. Isteri Tun Sheikh juga banyak iras Cina daripada iras bapanya, Melayu-Bugis. Ada yang sengaja menyakat dan bergurau dengan pertanyaan sipengantin itu anak isteri pertama atau kedua. Padahal mereka semua sudah maklum. Ada yang lebih nakal mengatakan pengantin adalah anak isteri ketiga Tun Sheikh. Saja-saja menceriakan suasana dengan canda dan gurauan nostalgia kami masa bujang.

Apabila segalanya telah selesai dan disuatu majlis meraikan menantu beberapa hari setelah majlis itu, Tun Sheikh bertanya terus kepada anak, bagaimana perasaannya sekarang dan bagaimana boleh berjalan dengan mudah jika dibanding sebelum ke Mekah dulu. Dia jawab bahawa Tuhan telah memberikannya perasaan lebih tenang dan yakin. Ketika di Mekah dia tersentap dengan perasaan ego dan emosi lantas segera menetralkannya atau menghentikan perasaan itu dengan disertakan tawakal dan berdoa kepada Allah. Tun Sheikh berdoa semoga jodohnya kekal sehingga anak cucu dan melahirkan keturunan yang soleh dan solehah. Sebaiknya kita juga jangan melibatkan ego dan emosi dalam menentukan atau ketika mencari jodoh.

Tun Sheikh Engku Bendahara

Damansara KL 15.2.2012


 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere