Thursday, August 18, 2011

Kahwin Tak Sekufu

Kahwin Tak Sekufu

Ahmad adalah seorang kanak-kanak yang bijak dan sangat baik perangainya. Beliau sangat disenangi sanak saudara. Ketika remaja, bapa saudara pupunya yang tidak mempunyai zuriat telah mengambil Ahmad menjadi anak angkatnya. Bapa Ahmad, Long dengan berat hati membenarkan Ahmad dipelihara oleh adik pupunya, Tahir. Tahir berjanji untuk mewariskan segala harta pusaka yang diperolehi daripada datuk mereka kepada Ahmad. Long menyerahkan anaknya untuk dipelihara Tahir bukanlah kerana beliau berhadapan dengan kesempitan hidup tetapi kerana sudah lama beliau menduda sejak kematian isterinya ketika melahirkan anaknya yang bongsu 5 tahun dahulu. Semua anak Long seramai 6 orang berusia antara 16 tahun dan 5 tahun telah tinggal dengan saudara mara Long kecuali Ahmad yang telah dipelihara oleh Long sendiri .

Cerita beribu tiri pada tahun-tahun 40-an memang tiada yang indah kecuali menakutkan. Justeru Ahmad telah membuat keputusan untuk tinggal dengan bapa saudara pupunya, Pak Tahir yang tidak mempunyai anak.. Ketika Long memberitahu ingin bernikah lagi kepada anaknya Ahmad, Ahmad begitu muram kerana takut beribu tiri dan sering demam. Ketika Ahmad mula tinggal dengan Pak Tahir, usianya berusia 10 tahun dan merupakan seorang murid yang pintar di sekolah. Beliau sangat disayangi dan dimanjai oleh Pak Tahir suami isteri sehingga tidak dibenarkan ke sekolah kerana tidak mahu Ahmad bersusah payah kena belajar. Harta Pak Tahir adalah cukup untuk membiayai Ahmad sehingga dewasa malah sampai ke anak cucu.

Pada peringkat awal Ahmad tinggal bersama bapa saudaranya, beliau kelihatan begitu gembira kerana tidak jauh bedanya dengan di rumah sendiri. Makan minumnya lebih teratur. Selalunya makanan yang tersedia ketika tinggal dengan bapanya ialah makanan kiriman jiran yang sengaja dipesan oleh bapanya yang membayar secara bulanan. Makanan yang dihantar biasanya terpaksa dimakan sahaja dan tiada pilihan atau tidak mengikut selera atau keinginannya. Apabila tinggal dengan emak saudara, Ahmad sering ditanya mahu makan masakan apa dan emak saudaranya bersedia memasakkan untuknya.

Setelah dua tahun Ahmad tinggal bersama bapa saudaranya, emaksaudara Ahmad teringin mengambil anak angkat perempuan pula. Pada tahun-tahun 40-an selepas perang, keluarga Melayu memang mudah mendapat anak perempuan pemberian dari keluarga Cina yang tidak suka memelihara anak perempuan dalam keluarga. Sehubungan itu Ahmad dengan mudah mendapat adik baru yang jarak usianya 12 tahun dan kemudian emak saudaranya mengambil anak angkat perempuan dari keluarga India pula. Mereka diambil dan pelihara sejak bayi manakala Ahmad diambil ketika berusia 10 tahun.

Nasib Ahmad berubah ketika berusia 18 tahun apabila beliau telah dinikahkan dengan anak saudara Orangkaya Muar yang diangggap sekufu jika dinilai dari segi keberadaan dan kedudukan social. Ahmad sering diherdik oleh ibu angkatnya kerana hanya tahu memakan hasil kebun sahaja. Pada ketika yang sama dua adik angkat perempuannya di sekolahkan ke sekolah Ingggeris dan sering memerlukan belanja sekolah yang agak besar. Isteri Ahmad pula berperangai suka meminta-minta dan medesak suaminya membeli perabut dan peralatan rumah yang berjenama atau mahal.

Nasib Ahmad bertambah malang apabila Pak Tahir meninggal dunia ketika isteri Ahmad sedang hamil anaknya yang ketiga. Tanpa disangka setelah 3 bulan kematian Pak Tahir, Ahmad dan isterinya telah diusir oleh ibu angkatnya kerana tidak berkenan dengan perangai isteri Ahmad. Ahmad telah kembali ke pangkuan bapanya. Bagi mengelak salah faham, bapanya telah membuat sebuah rumah kecil untuk Ahmad di hujung tanahnya. Ahmad terpaksa menyara anak dan isterinya dengan mengayuh beca apabila didapati semua harta yang dijanjikan oleh Pak Tahir telah bertukar milik kepada ibu dan adik angkat perempuannya.

Keadaan Ahmad tidak disenangi oleh isterinya. Ahmad tidak mampu menyediakan apa yang dikehendaki oleh isterinya manakala dia juga tidak sanggup meminta dari bapanya kerana telah banyak bapanya menolong menyediakan peralatan dan perabut rumah dalam keadaan serba sederhana. Akibatnya rumah tangga Ahmad setiap hari bergolak kerana Ahmad hanya mampu menyediakan makanan sahaja. Pendapatannya menarik beca tidak menentu bak pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Berikutan dari kesempitan itu, isterinya telah tidak mencampuri masyarakat dan bergaul dengan jiran tetangga kerana malu. Saban hari rumah Ahmad tidak sunyi dari pertengkaran sehinggalah lahir anak yang ke 10. Ada sahaja yang tidak kena dan kurang dan sikap isterinya yang tidak dapat menerima kenyataan hidup telah dengan sengaja berlepas tangan tidak mempedulikan nasib anak-anak untuk dibekalkan dengan pendidikan dan adab sopan.

Ahmad pula seperti orang kebingungan tidak tahu berbuat atau berusaha membuat pekerjaan lain kecuali manarik beca dan pada malamnya bertugas mencari tambahan elaun sebagai anggota polis simpanan. Ramai saudara mara menasihatinya agar berubat secara tradisional kerana dipercayai telah disihir oleh ibu angkatnya kerana Ahmad tidak dapat membuka mulut jika ingin menuntut hak harta yang diberikan oleh Pak Tahir. Adik-adik angkat perempuannya pula masing-masing telah menjadi guru sekolah rendah dan berumahtangga dengan keluarga berada tidak mempedulikan nasib Ahmad.

Setelah ibu angkatnya meninggal dunia, adik-adik perempuannya telah bertelagah sesama. sendiri kerana merebut harta peninggalan Pak Tahir. Hingga ke hari ini keluarga mereka bermusuhan dan banyak kebun telah dijual. Nasib Ahmad juga tidak berubah. Anak-anak beliau terbiar dan tiada berpendidikan tinggi kecuali setakat tingkatan 3. Mereka mewarisi kemiskinan Ahmad hingga ke hari ini.

Semasa perihal Ahmad ini ditulis, beliau suami isteri telah pun meninggal dunia 10 tahun lalu (2001) dalam kemiskinan. Manakala jirannya yang sama senasib dengan beliau yang mencari nafkah dengan menarik beca dan juga memiliki anak yang ramai telah mengharungi hidup yang selesa kerana ramai anak-anak mereka berjaya ke peringkat universiti hasil keperihatinan isterinya yang menyedari tangongjawab dan kepentingan pelajaran untuk anak-anak mereka. Inilah kisah benar untuk sama-sama kita renungkan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere