Monday, May 24, 2010

JODOH PERTEMUAN DAN TEMAN HIDUP

JODOH PERTEMUAN & TEMAN HIDUP

Ketika Tun Sheikh sedang berkira-kira mencongak waktu untuk membawa keluarga berehat di Desa Ru Kota Tinggi Johor di musim percutian sekolah pada awal Jun akan datang, Tun Sheikh teringat dan tersenyum terhadap satu tempat peranginan persendirian yang diusahakan oleh orang kampong di Pantai Batu Layar Pengerang Kota Tinggi berhampiran dengan Desa Ru. Pantainya cantik dan rimbunan pokok runya banyak di tepi pantai dan redup walau ketika terik matahari. Apa yang buat tersenyum ialah pengusahanya mengeja chalet menjadi shelly kampong. Kemudahan asasnya sangat asas dan kepada pengunjung ke situ dikenakan duit letak kereta RM2.00, mandi air perigi RM.50, buang air RM0.50, menginap di kemah RM15.00 dan shelly RM50.00 semalam. Shellynya berkeluasan 8 kaki X 8 kaki berbumbung tiga segi jejak ke tanah pun seperti ala kadar saja tetapi kebersihan kawasan ini terjaga baik jika dibanding dengan pengusaha lain. Tempat ini menarik kepada Tun Sheikh dan telah pun menginap beberapa kali di sana hasil dari jodoh pertemuan dengan perkataan shelly itu tadi dimana satu keluarga besar Tun Sheikh amat gembira dan tergelak dengan ejaan dan pelbagai andaian terhadap shelly kampong itu. Kami sangat menghargai kesungguhan tuan punya shelly kampong itu.

Ketika melayari Face Book, sedang senyuman ceria tadi masih belum hilang, Tun Sheikh terjumpa pula jiran lama di zaman kanak-kanak dan remaja bernama Shelly. Usianya lebih kurang seperti Tun Sheikh dan empat orang anak-anaknya sudah hampir dewasa dan remaja. Semuanya cantik-cantik dan hansem seperti emak dan datuk neneknya. Lama juga kami chating, bersembang kerana nostalgia 30 tahun lebih tidak bertemu. Nostalgia kami yang paling menarik ialah apabila mengenang zaman kanak-kanak dengan permainan pondok kawin-kawin atau pengantin, siap ke bilik tidur, ada watak emak, bapa, atuk dan sebagainya, main masak-masak olok-olok dengan pasangan keluarga baru. Pada kesimpulannya kami tergamam kerana kemewahan permainan di zaman ini sangat jauh berbeda dan buah pengajaran yang sangat membimbangkan kami ialah budak-budak sekarang walau hanya baru berusia 9 tahun sudah pandai betul-betul merogol atau memperkosa orang hasil pengaruh permainan canggih itu.
Sambil-sambil gelak bernostalgia Tun Sheikh beritahu padanya ketika zaman remaja ada juga berangan-angan dan ada hati nak simpan dia jadi isteri bila cukup dewasa sebab dia pun cantik dan keluarganya pun baik ketika berjiran dengan kami tetapi itulah jodoh pertemuan namanya. Lagi pun, rupa-rupanya Tun Sheikh bukan tastenya sebab dia berterus-terang sejak kecil dia suka pemuda berkulit hitam. Ketika zaman remaja dulu pun tidak sama dengan sekarang kerana lidah kelu dan fikiran bungkam bila hendak melafazkan suara hati yang murni. Lagipun Tun Sheikh telah terdidik dengan ajaran dan pesanan orang tua supaya jangan berkawan terlalu rapat dan jangan membuat apa-apa janji dengan kawan-kawan wanita ketika masih remaja mahupun sudah dewasa jika belum mampu untuk bertanggongjawab dan berumah tangga.

Chating kami melalut hingga kepada kisah-kisah kawan kampong yang lain yang sama-sama ambil bahagian dalam permainan pondok-pondok di zaman kanak-kanak dan seorang daripadanya ialah Norimah yang sering menjadi penghalang Tun Sheikh untuk rapat dengan sahabat perempuan lain yang ada di kampong hinggalah Tun Sheikh keluar melanjutkan pelajaran. Ini adalah kerana Norimah sering menguar-uarkan bahawa keluarga Tun Sheikh tidak suka kepada sesiapa saja yang cuba mendekati Tun Sheikh kerana anak manja. Hanya dia saja yang boleh kerana kami berjiran dan seperti keluarga sendiri tetapi selama kami bersama Tun Sheikh merasai dia menyukai Tun Sheikh tetapi hanya bertepuk sebelah tangan dan jodoh kami memang tidak ada. Dia kini mempunyai 2 orang anak dan selalu juga bertemu ketika Tun Sheikh balik kampong dan apabila ditanya samada merancang keluarga, dia mengatakan bahawa dia memang moden dan tidak mahu banyak anak kerana menyusahkan dan takut jadi miskin. Inilah jodoh ketentuan sebab Tun Sheikh pula suka banyak anak. Sehingga kini sudah 12 orang. Ini adalah kerana galakan dari emak dan abah kerana mereka berdua datang dari keluarga yang tiada adik beradik yang ramai kecuali 2 orang. Abah dengan adik perempuannya dan emak dengan adik perempuannya sahaja.

Sahabat baik kepada Norimah ialah Norashidah dan tanpa Norimah sedar kami berdua menjadi sahabat rapat dan intim tetapi apabila Norashidah ajak membuat janji untuk berkahwin, Tun Sheikh pun memutuskan hubungan kerana masih remaja dan sedang belajar. Walau pun sudah hampir tamat tingkatan 6 tetapi Tun Sheikh ingin melanjutkan lagi pelajaran . Dan Norashidah juga setelah tiga puluh tahun tidak bertemu, kami bertemu semula dengan keluarga masing-masing. Ini semua Tun Sheikh cerita dengan Shelly ketika bernostalgia chating. Sungguh seronok bernostalgia lebih-lebih mengenai jodoh pertemuan dan jodoh teman hidup.

Norashidah juga telah mempunyai anak yang telah dewasa kerana beliau bernikah cepat dengan kawan sekampung Tun Sheikh juga. Apa yang sangat menarik dan juga rasa kesian kepadanya ialah ketika mereka sekeluarga datang bertemu Tun Sheikh meminta tolong carikan orang yang ahli mengubati penyakit saka. Penyakit saka ini sangat aneh sampai fikiran Tun Sheikh rasa tergamam dan tertanya-tanya sendiri tetapi akhirnya membuat keputusan bahawa tiada yang mustahil jika telah Allah tetapkan begitu. Alhamdulillah beliau sekarang sudah sihat setelah berubat di Kelang. Penyakit aneh sakanya ialah kemaruk tanpa sedar dalam soal ranjang sehingga suaminya menjadi kurus kering dan tidak sanggup melayaninya. Jika tidak diturutkan kehendaknya, dia akan meroyan dan seperti hilang akal.

Di sebalik terkenang dan mengingat kisah-kisah itu, Tun Sheikh juga tersenyum kerana jika ikutkan angan-angan dulu memang Norashidah ingin Tun Sheikh peristerikan tetapi apabila mengenangkan dia ingin berkahwin dalam usia muda dan dengan penyakit sakanya itu maka Tun Sheikh bersyukur kerana ketentuan dan ketetapan tuhan adalah yang terbaik buat kita.

Berbalik kepada Shelly tadi, apabila mendengar dia menjanda kematian suami 5 tahun lepas ada juga Tun Sheikh cuba mencarinya untuk mendengar khabar berita dan berangan juga untuk melamarnya. Tetapi memang jodoh tiada. Kami tidak pernah bertemu sampai sekarang dan kini dia sudah bernikah lagi dengan lelaki bujang yang muda, hebat dan hensem. Tun Sheikh tersenyum girang lebih-lebih lagi apabila dia mengakui ketika dia menjanda dulu dia tidak sanggup bermadu. Betapa hebatnya kebesaran dan ketetapan Tuhan itu yang membuat Tun Sheikh berasa gembira kerana terlihat kekerdilan diri. Kita hanya boleh merancang dan berusaha tetapi Allah jua yang menentukannya dan masing-masing telah ditetapkan dengan irama kehidupanya tersendiri.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere