Saturday, July 10, 2010

REMI DAN MARY MENGAKU ROMEO DAN JULIET TETAPI BERCERAI

REMI (Azmi) DAN MARY (Mariyam) MENGAKU ROMEO DAN JULIET TETAPI BERCERAI

Banyak rancangan Tun Sheikh pada bulan Jun lepas tidak menjadi dan terpaksa dibatalkan. Cuti yang dirancang untuk membawa keluaarga berehat di Batu Layar Kota Tinggi di musim percutian sekolah juga dibatalkan. Banyak hal dan terlalu rencam Tun Sheikh pada bulan Jun.Hal yang sering memerlukan Tun Sheikh memberikan fokus yang jitu adalah hal-hal yang berkaitan pergolakan pasangan keluarga. Tidak kira pasangan muda atau yang telah bercucu. Tapi banyak juga hikmatnya. Ini adalah kerana Tun Sheikh tidak menduga dapat memberi sedikit pertolongan dan tidak menduga dapat bertemu dengan teman-teman lama.

Tahun lepas Tun Sheikh pernah menasihatkan agar pasangan Remi (56 tahun) dengan Mary (57 tahun) berpisah secara baik jika telah terlalu buntu dan tiada lagi persefahaman. Mereka akui menggunakan nama Remi dan Mary yang agak kebaratan walhal berasal dari kampong iaitu Parit Botak Batu Pahat. Mereka juga mengakui bahawa mereka pasangan ideal dan romantik tetapi mereka telah berpisah secara baik.Betul dahulu memang sama-sama cantik dan hensem. Cuma yang agak Tun Sheikh kesalkan perkara ini berlaku di usia petang dan amat janggal jika hendak dijadikan teladan yang baik. Walau bagaimanapun terasa ada baiknya dinukilkan disini untuk pengajaran kita bersama.

Pada awal bulan Jun lepas kakak Remi (60 tahun) datang bertemu Tun Sheikh mengadu hal adiknya. Dia tidak dapat menahan sebak dan gelora dukacita mengenang nasib adiknya. Peristiwa yang sangat menggodam hatinya ialah ketika hadir dihari pernikahan dan persandingan anak saudara perempuan yang juga manja dengannya. Di hari persandingan di sebuah hotel mewah di Johor Bahru pada 1 Mei 2010, adiknya Remi yang merupakan bapa pengantin dilayan seolah-olah seperti tunggul. Sedih betul melihat lagak orang kampong yang perasan seperti berasal orang kaya-kaya di bandar. Isteri Remi lupa, bahawa suaminyalah yang terbiasa dengan keadaan sebegitu kerana dia seorang arkitek manakala dirinya hanya seorang jururawat yang baru naik pangkat sister. Remilah yang membelikan kondo dan membelikannya kereta sport yang asyik direngetnya. Remi sendiri hanya memakai sebuah kereta MPV Hyundai.

Tun Sheikh mendengar saja apa yang diluahkan kakak Remi.Dia kelihatan begitu kecewa. Dia terus bercerita yang sebahagiannya telah pun Tun Sheikh tahu tapi Tun Sheikh biarkan saja. Apa yang penting agar nasihat Tun Sheikh supaya jangan campur tangan diikutinya seperti ketika Tun Sheikh memberi pandangan pada peringkat awal lagi kepada pasangan Remi dan Mary ini.

Sebenarnya semasa mereka bertemu 35 tahun lalu, Remi hanya seorang juruteknik manakala Mary seorang jururawat. Mereka bertemu dan berkenalan ketika abang sulong Remi dirawat di Hospital Tun Aminah Johor Bahru. Kakak Remi tidak suka walaupun Mary seorang gadis campuran Bugis dan Banjar kelihatan begitu jelita. Dia mencium bau materialistik pada sikap kaum sejenisnya itu. Tetapi adiknya telah jatuh hati walau dijelaskan bahawa sebenarnya Mary hanya escapism kerana putus cinta ditinggalkan tunangnya.Lagipun usianya tua setahun. Remi tetap berkeras dan berjanji sanggup melaksanakan syarat untuk terus melanjutkan pelajaran.

Tun Sheikh menasihatkan kakak Remi agar bersabar dan jangan campur tangan hal rumah tangga orang jika mereka tidak rela dan redha. Amat susah hendak diterimanya kerana dia membesar bersama Remi dan sangat mengetahui akal dan budi adiknya itu. Sejak mula dia tidak setuju adiknya ingin memperisterikan Mary kerana dapat merasakan kejanggalan mengikut hati perempuan. Kakaknya berasa dipihak benar apabila perceraian berlaku dari sebab-sebab yang pernah dinasihatkan pada masa dahulu kepada adiknya yang tersayang. Tetapi ketika itu cinta telah menguasai dan cinta itu memang buta.

Ketika adiknya berjaya memperoleh diploma dan berjaya menjawat Pembantu Teknik, isterinya berbangga dengan pencapaian diriya sendiri dimana sijil kejururawatan diiktiraf kerajaan standing diploma. Ketika suaminya bejaya memperoleh ijazah, isterinya berazam bekerja keras mengikuti kursus dan sebagainya untuk layak menjadi calon sister dan metron. Pendek kata, suami telah terabai kerana dijadikan pesaing bukan bersama berkongsi hidup berumah tangga. Apa yang dirasa sangat pahit oleh Remi ialah keengganan Mary untuk mengandung kerana hendak menjaga kejelitaan dan tidak sanggup menghadapi kesibukan menjaga dan membela anak.

Mereka dikurniakan hanya sepasang anak. Yang sulung lelaki sudah berusia 33 tahun tetapi masih bujang dan tiada berkeyakinan untuk berumah tangga mungkin disebabkan gejolak rumahtangga orang tua mereka.Peperangan besar terjadi pada tahun 2000 apabila Remi enggan membenarkan Mary menggunakan kereta sport kerana tidak sesuai. Arahan suami agar kereta sport diberikan kepada anak sulung lelaki tetapi tidak diendahkan oleh isterinya. Sejak itu anak lelakinya berkecil hati dan berhenti belajar. Dia menerima tawaran kerja sebagai bellboy di Hotel 5 bintang di Kuala Lumpur. Kini dia menjawat ketua bellboy sahaja kerana hanya bermodalkan SPM.

Remi sangat kecewa apabila didalam pertengkaran itu isterinya memecah rahsia, dia sengaja memakan pil perancang keluarga sejak kelahiran anak kedua tanpa pengetahuan dan keizinan Remi. Dia begitu mudah mendapat bekalan ubat dan dia juga begitu taksub dengan kecantikan dirinya.Gelombang dan gelora rumahtangga ini terumbang ambing sejak itu. Mereka hanya memaparkan kemesraan yang palsu kepada sanak saudara. Hanya kakak Remi yang dapat menghidunya tetapi dinafikan Remi sehinggalah mereka bertemu Tun Sheikh di penghujung tahun lepas dan mereka telah berpisah dengan baik. Mary sungguh beria-ia minta dirinya dilepaskan.

Ramai lelaki meminati Mary tetapi sehingga kini beliau masih menjanda. Tiada sorang pun yang tampil untuk memperisterikannya. Manakala Remi sudah bernikah dengan seorang gadis berusia 34 tahun yang simpati dengannya. Mereka kelihatan bahagia tetapi masih belum hamil. Pada waktu yang sama Mary kerap menghubungi adik beradik Remi menyampaikan rasa cinta kasihnya masih pada Remi dan adakalanya diceritakan juga ada lelaki berjanji untuk mengambilnya sebagai isteri. Remi dan keluarganya hanya membisu kecuali kakaknya menasihatkan Mary supaya kahwin dan lupakan Remi kerana dia pernah terdengar isteri muda adiknya mengatakan Mary sering menelefon Remi walaupun tidak dilayan………dan Mary, ketika Tun Sheikh menghadiri majlis perkahwinan anaknya, dia memang bergaya dan kelihatan muda 10 tahun dari usia sebenarnya. Tapi apalah gunanya sebegitu jika hati tidak tenteram sambil mata akan tetap memandang kecantikan yang terlerai hari demi hari dalam kesepian, manakala lelaki yang selama ini memuji-muji tidak tampil……..betapa pedihnya hidup sebegini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Irama Kehidupan
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere